JIKA di sebut mengenai pulau di negara ini, saya pasti ramai terbayangkan kecantikan Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Namun, Pulau Tioman juga tidak kurang hebatnya dan turut menjadi salah satu tumpuan penyelam di Semenanjung Malaysia. Terdapat pelbagai spesies marin di situ dan jika bernasib baik, whale shark juga sesekali muncul di pulau ini. Malah, tidak keterlaluan kalau saya katakan hubungan antara Pulau Tioman dan komuniti penyelam di negara juga ini sangat dekat.Buktinya jelas menerusi penganjuran program Start In Tioman (SIT) 2022 yang diadakan baru-baru ini.
Apa yang menarik, edisi SIT kali ke-13 ini juga agak berbeza berbanding sebelumnya dan berjaya mengubah pandangan kononnya Pulau Tioman hanyalah ‘syurga’ menyelam dan snorkelling semata-mata.
Sebaliknya, pulau bermitos ini sebenarnya mempunyai sisi tersembunyi yang masih belum diteroka sepenuhnya.
Salah satu tempat yang kurang dikenali adalah Kampung Mukut dan saya pasti masih ramai terpinga-pinga tidak tahu sama ada ia terletak di Pulau Tioman atau di lokasi lain.
Bagaimanapun dalam program SIT 2022, saya berkesempatan melawat Kampung Mukut yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Kampung Genting bersama peserta program.
Berada di kampung ini tidak seperti di kampung lain yang lebih meriah dengan kehadiran pelancong sama ada dalam mahu pun luar negara.
Menurut Pengarah Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Datuk Idros Yahya, Kampung Mukut bukanlah kawasan tumpuan disebabkan keadaan kawasan pantainya berbatu dan kurang sesuai untuk menjalankan aktiviti snorkelling.
Namun kata Idros, kampung ini sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri iaitu keunikan Gunung Nenek Semukut setinggi 703 meter yang berbentuk tanduk dua dan menjadi ikon pulau ini.
Jadi dengan setinggi itu, boleh saya katakan Gunung Nenek Semukut sesuai kepada mereka yang masih baru dalam aktiviti pendakian.
Treknya juga tidak sesukar gunung lain dan tempoh pendakian lebih kurang tiga jam sahaja dengan melepasi enam checkpoint (selepas beberapa kali berhenti rehat).
Pendaki akan menemui pelbagai jenis tumbuhan dan juga batu besar seakan-akan gua di laluan ke puncak gunung tersebut.
Sekiranya pengunjung mahu melakukan aktiviti pendakian, adalah lebih baik menggunakan khidmat juru pandu untuk memudahkan perjalanan disamping menjaga keselamatan.
Waktu yang sesuai untuk memulakan pendakian pula sudah semestinya waktu pagi.
Selain Gunung Nenek Semukut, pengunjung boleh berkelah dan berehat di kawasan air terjun Asah selain mencuba beberapa makanan tradisi seperti gulai lemak koyong dan ambuyat yang dimakan bersama sambal ikan.
Untuk pengetahuan, koyong adalah sejenis siput yang agak terkenal di Pulau Tioman Kampung Mukut.
Rasanya lebih sedap dan mempunyai saiz hampir sama seperti siput sedut biasa.
Siput ini juga tidak seperti siput sedut yang menjadi kelaziman di kebanyakan tempat kerana ia perlu dicungkil dengan menggunakan jarum di bahagian bawahnya.
Malah, ada penduduk sempat bergurau dan berkata kepada saya, sekiranya disedut, isi siput ini tidak akan terkeluar sehingga hari kiamat sekalipun.
Sebenarnya ada banyak pengalaman dan aktiviti lain yang patut dicuba di Pulau Tioman terutama di Kampung Mukut dan Genting selain aktiviti yang saya nyatakan.
Jadi,sekiranya ada yang mahu berubah ‘angin’ atau menambah aktivi lain selain menyelam ataupun snorkelling, Kampung Mukut dan program SIT patut dimasukkan dalam senarai percutian anda.
Sekiranya tidak berkesempatan untuk menyertai program SIT sekalipun, anda sebenarnya masih berpeluang menyertai semua aktiviti dan menikmati hidangan tersebut dengan menghubungi Pengarah Program SIT, Syed Rizalman Syed Abu Bakar di talian 012-7387700. – MINGGUAN MALAYSIA
SIT 2022: Tunjuk sisi lain Pulau Tioman
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 24 Julai 2022, 4:33 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Tentang KL Sundown 2023 yang santai, jadi terapi minda
10 Disember 2023, 5:43 pm
Tarikan tersembunyi untuk ‘healing’ di Putrajaya, Selangor
26 November 2023, 5:19 pm
‘Bikers’ kongsi pengalaman di Pokhara
5 November 2023, 4:56 pm