BILA ada yang memberi emoji ketawa tentang dua gambar seorang graduan yang tular di media sosial baru-baru ini – satu gambar ketika majlis konvokesyennya dan satu lagi gambar dia bekerja di restoran makanan segera, saya rasa tidak ada apa-apa melucukan yang perlu ditertawakan apatah lagi kalau mahu memperlekeh pekerjaannya.
Bagi saya, dia sedang melalui satu fasa dalam kehidupan yang kebanyakan kita pun dulu yang memiliki ijazah atau diploma turut melaluinya.
Bukan sesuatu yang teruk atau luar biasa, apabila seorang siswazah bekerja di restoran makanan segera, menjadi pembantu kedai atau penghantar makanan sebagai permulaan untuk mencari pengalaman bekerja.
Mungkin dengan pekerjaan berskil rendah itu dia akan terdedah dengan cabaran yang menjadikan dia lebih mempunyai daya ketahanan tinggi apabila memperoleh kerja setaraf dengan pendidikannya nanti.
Bermula dari bawah, belajar berkomunikasi dengan pelbagai peringkat masyarakat dan pada masa sama memperluaskan rangkaian hubungan, pada saya ia adalah asas yang baik untuk proses pekerjaan seterusnya.
Ini adalah lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa, menunggu pekerjaan yang sesuai dengan pendidikan kemudian merungut pula tiada duit dan menagih bantuan.
Pada saya yang teruk dan luar biasa itu apabila golongan profesional ini yang diletakkan bekerja dalam kategori pegawai tetapi dibayar gaji sama saja dengan pekerja makanan segera atau penghantar makanan yang berskil rendah.
Perangai ini memang menjadi ‘kegemaran’ kebanyakan majikan di negara ini, yang kedekut untuk membayar gaji tinggi atau sekurang-kurangnya setaraf dengan pendidikan dengan alasan ekonomi sedang menjunam teruk.
Tahun 80-an bagi alasan ekonomi, 90-an pun begitu juga dan sekarang berlebih-lebihlah lagi, ekonomi satu dunia merudum. Mereka pun ambil kesempatan bayar gaji rendah lagi.
Sedangkan golongan pekerja lah paling terkesan dengan kenaikan harga barangan. Harga barangan naik, gaji tak naik. Inilah yang terpaksa dihadam oleh pekerja. Sampai bila majikan mahu bersikap suruh buat kerja macam-macam, tapi bayar gaji ‘ala kadar’?
Saya pernah didatangi oleh seorang perempuan, dia penjual insurans ketika makan di sebuah restoran segera. Memanglah selalunya, bila sedang makan kita tak suka diganggu. Tetapi saya dapat rasakan dia sebaya anak saya. Melihat bibirnya terketar-terketar ketika bercakap dengan saya, mungkin masih baru dengan pekerjaan itu, saya ajak dia duduk dan makan sekali.
Katanya dia sedang mengikuti kempen yang dijalankan oleh syarikat insurans di pusat beli-belah itu yang saya nampak booth nya di luar restoran kami makan.
Dia kata, dia mempunyai ijazah perakaunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) tetapi sukar untuk mendapat pekerjaan ketika ini. Jadi, dia ‘rembat’ saja apa peluang pekerjaan yang ada kerana tidak mahu berterusan mengharapkan duit orang tuanya. Bapanya sudah tiada. Ibunya yang menyaranya.
Katanya lagi, ada kawan-kawannya yang menjadi guru tadika, pembantu klinik, juruwang di pasar raya dan ada juga yang menjadi usahawan online.
Hakikatnya, mereka tidak boleh pilih kerja. Lebih-lebih lagi ketika ini. Kerjalah kategori berkemahiran rendah dulu asalkan setiap bulan ada duit untuk membayar bil-bil sendiri jika tinggal dengan ibu bapa, kalau menyewa bersama kawan-kawan bertambah lagi kos sara hidup bulanan.
Betul, kalau hendak tunggu kerja yang setaraf dengan pendidikan, memang tak makanlah. Lainlah kalau anak orang kaya.
Menurut Jabatan Perangkaan, pada tahun lalu komposisi utama penduduk bekerja di negara ini adalah dalam kategori separuh mahir yang menyumbang lebih daripada separuh (57.7 peratus) daripada jumlah penduduk bekerja keseluruhan 15.1 juta orang atau bersamaan dengan 8.7 juta orang.
Dalam pada itu, penduduk bekerja dalam kategori mahir merangkumi 29.6 peratus ( 4.5 juta orang) manakala kategori berkemahiran rendah adalah sebanyak 12.7 peratus ( 1.9 juta orang).
Mengikut sektor pula, majoriti bekerja dalam sektor perkhidmatan dengan menyumbang kepada 64.9 peratus, diikuti pembuatan (16.6 peratus) dan pertanian (10.3 peratus).
Pun begitu, ada juga pemegang ijazah dan diploma ini yang akhirnya selesa dengan pekerjaan berskil rendah dan separuh mahir yang mereka lakukan.
Ada yang bekerja di restoran segera, tidak berapa lama kemudian dia dinaikkan pangkat dan mendapat gaji yang ‘masuk akal’ berbanding gaji pegawai yang bekerja di pejabat tetapi dibayar tidak sampai RM3,000.
Dalam komen pada gambar graduan yang bekerja di restoran makanan segera itu, ramai pemilik ijazah dan diploma tampil memberitahu mereka juga tidak bekerja setaraf pendidikan.
Seorang pemandu Grab yang mempunyai ijazah, sudah dua tahun bekerja dalam bidang e-hailing itu. Katanya, dia seronok dan selesa bekerja begitu dan pendapatannya pun boleh tahan. Sementara seorang lagi memberitahu, dia juga ada ijazah komunikasi tetapi kerja jual karpet. Katanya, dia tidak malu. Buat apa malu, buat kerja halal. Kalau tak ada kerja, asyik meminta bantuan, lagi malu.
Ada yang berkata, di negara ini sudah terlalu banyak universiti dan kolej swasta yang memberi peluang kepada pelajar yang tidak cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia untuk melanjutkan pelajaran mengikut kursus-kursus yang mereka minati.
Golongan ini yang ibu bapanya berduit, boleh menghantar anak-anak mereka untuk belajar tinggi kemudian bila tamat belajar ada juga menggunakan kabel atau orang dalam untuk mendapat pekerjaan di sektor swasta atau awam.
Isu guna orang dalam untuk dapat pekerjaan walaupun tidak mempunyai kelayakan bukan sesuatu yang baru. Ini juga salah satu penyumbang pada sukarnya untuk siswazah mendapat kerja, walaupun mereka layak
Dalam pada itu, majikan pun macam-macam juga. Harapan terlalu tinggi. Masa pengambilan pekerja tanya soalan-soalan macam hendak cari seorang CEO kemudian bayar gaji underpaid.
Pada siswazah yang membuat kerja-kerja skil rendah, anda sedang melalui fasa kelangsungan hidup (survival). Inilah realiti dunia pekerjaan sebenar yang ‘sepak terajangnya’ tidak diajar di universiti atau kolej. Bergelut untuk hidup, memang tiada jalan mudah. Belajarlah dengan pengalaman ini.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.