Misteri lombong tinggal - Utusan Malaysia

Misteri lombong tinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA sudah lama aku ingin kongsikan kisah ini kepada pembaca sekalian namun kali ini baru berkesempatan. Kisah misteri yang terjadi kepadaku kira-kira 10 tahun lepas. Walaupun ia sudah lama berlalu namun masih segar di ingatanku tambah pula bila setiap kali aku pulang ke kampung dan melewati tempat tersebut.
Baiklah, sebenarnya aku ini seorang kaki pancing tegar. Pantang jika ada cuti atau waktu terluang pasti aku akan keluar memancing, baik bersama teman-teman ataupun seorang diri. Bagi aku ‘feel’ memancing ini memang tidak boleh dinafikan. Hanya ‘kaki’ pancing sahaja mengetahuinya.
Begini ceritanya…
Cuti dua hari pada hujung minggu itu aku gunakan sepenuhnya untuk pulang ke kampung. Selain menziarahi orang tua, aku juga merancang untuk pergi memancing di lombong tinggal yang tidak jauh dari situ. Sebelum ini, sudah banyak kali aku dengar cerita daripada rakan-rakan sekampung kononnya di situ adalah lubuk rohu, tongsan dan patin. Sebab itulah aku tak fikir panjang. Inilah waktu sesuai.
Setelah lebih tiga jam menghabiskan masa bersama keluarga, aku lantas minta diri untuk keluar memancing. Keluarga pun cukup faham dengan hobi aku ini. Cuma mereka pesan jangan pulang lewat kerana emak sudah masak istimewa untuk makan malam nanti.
Aku sampai di kawasan lombong lebih kurang pukul 5 petang. Tanpa buang masa aku terus cari ‘port’ sesuai untuk melabuhkan Joran. Aku tinjau sekeliling, nampaknya tiada seorang pemancing pun di situ. Setelah letakkan perkakas lantas aku pasang umpan di mata Joran.
Zuppppp… Sayup kelihatan Joran berisi mata kail yang ku lontar tercampak di tengah permukaan lombong. Sementara menunggu umpan disambar ikan, aku keluarkan sebatang rokok dari beg sandang. Mataku masih liar memandang sekeliling. Amat sunyi dan tenang sekali.
Rasanya sudah lama benar aku tidak menjejakkan kaki di lombong terbiar ini. Ikut perkiraanku hampir tiga tahun. Bukannya aku tidak mahu datang ke sini, namun sejak kebelakangan ini aku sering ikut rakan-rakan memancing di laut. Bagi aku memancing di laut lebih thrill kerana pilihan ikan-ikannya lebih besar dan menarik.
Sesekali aku menjeling ke arah Joran yang diletakkan berhampiran tebing. Masih kaku tanpa pergerakan. Aku toleh jam di tangan. Sudah hampir 6 petang. Sudah beberapa kali juga aku menguap, entah kenapa mata terasa mengantuk sangat. Namun tidak sampai beberapa saat kemudian aku lihat Joran yang dipasang sudah mengena. Bergegas aku capai batang pancing. Alhamdulillah, aku tersenyum puas apabila seekor ikan rohu sebesar lengan tersangkut di mata kail. Dengan cermat aku keluarkan lantas ku masukkan ke dalam bekas.
Hampir satu jam memancing aku berjaya menaikkan lima ekor hasil tangkapan. Nampaknya tidak sia-sia kedatanganku di sini. Terasa amat berbaloi. Tidak mustahil selepas ini aku akan ajak rakan-rakan ku dari Kuala Lumpur untuk memancing di sini.
Sedang mengelamun aku tiba-tiba tersentak. Serta merta telingaku menangkap bunyi hilai ketawa kanak-kanak di situ. Lantas aku toleh sekeliling mencari dari mana arah datangnya bunyi tersebut.
Dengan tidak semena-mena kelihatan tiga kanak-kanak perempuan datang berlari-lari ke arahku. Nampak mereka riang bermain. Mereka membuat bulatan sambil berlari-lari mengikut pusingan di belakangku.
Aku amati mereka seorang demi seorang, rasanya mungkin usia dalam lingkungan enam ke tujuh tahun. Masing-masing memakai pakaian berwarna putih sambil di telinga masing-masing terselit sekuntum bunga kuning yang aku sendiri tidak tahu apa jenisnya.
Yang peliknya mereka langsung tidak mengen­dahkan aku. Usahkan ingin menegur, malah langsung tidak memandangku sama sekali. Seolah-olah aku tidak wujud. Aku jadi leka memandang gelagat mereka sehinggakan terlupa dengan joran yang ada di situ.
Dalam hati aku terfikir, anak siapalah yang bermain di sini. Kalau iya pun ada ahli keluarganya di kawasan berhampiran, kenapalah berani membiarkan kanak-kanak bermain di sekitar lombong ini. Kalaulah terjadi sesuatu hal di luar jangkaan bukankah akan mendatangkan masalah. Aku menghela nafas dan mengge­lengkan kepala.
Hampir lima minit juga kanak-kanak tersebut berlari-lari di belakangku, tiba-tiba mereka terus menghilang menyusup masuk di lorong belukar berdekatan. Aku fikir mungkin mereka pulang ke rumah, maklumlah hari sudah hampir Maghrib. Langit pun sudah beransur gelap.
Suasana kembali sunyi sepi. Kicauan burung juga sudah tidak semeriah tadi. Sesekali nampak sekawan burung di langit terbang menuju ke sarang. Aku dongak memandang langit yang semakin gelap. Lantas aku kemas semua perkakas dan menuju ke kereta untuk pulang. Walaupun hasil tangkapan tidak seberapa namun aku tetap berpuas hati. Sekurang-kurangnya ada juga buah tangan yang boleh ku bawa.
Sejurus kenderaan yang ku pandu bergerak meninggalkan kawasan lombong tersebut, tiba-tiba mataku terpandang ke arah pokok kayu ara besar yang ada berdekatan. Nampak jelas tiga kanak-kanak tadi sedang seronok bermain sambil ditemani seorang wanita tua yang asyik memetik pucuk-pucuk daun yang ada di situ.
Bagaimanapun yang masih menjadi persoalan di fikiranku kenapa mereka masih belum lagi pulang sedangkan hari sudah pun gelap? Aku malas untuk berfikir jauh, apa yang pasti aku ingin pulang cepat ke rumah kerana kalau sampai lewat nanti pasti akan dibebel oleh ibu dan ayah, lagipun sudah hampir masuk waktu Maghrib.
Malam itu ketika sedang makan bersama keluarga terus aku ceritakan pengalaman memancing pada waktu siang tadi sambil itu sempat juga aku bercerita tentang kehadiran tiga kanak-kanak yang bermain berhampiran tempat aku memancing tadi.
“Kau memancing dekat lombong tinggal tu?” tanya ayah sambil berhenti menyuap.
Aku mengerutkan dahi sambil mengangguk perlahan. Aku lihat ayah dan ibu berpandangan.
“Lepas ini kau jangan pergi memancing di situ lagi. Tempat itu ‘keras’. Macam-macam kejadian pelik orang dah jumpa di situ,” kata ayah kepadaku.
Aku terdiam sebelum menyambung kata-kata. “Pelik macam mana tu?” tanyaku inginkan kepastian.
Ayah lantas menceritakan apa yang berlaku selama ini, katanya ramai kaki pancing telah alami pelbagai kejadian aneh ketika memancing di situ. Antaranya bertemu tiga budak perempuan seperti yang ku jumpa senja tadi. Selain itu, ada juga terjumpa perkampungan bunian dan wanita tua dengan wajah hodoh.
“Lagipun di situ mana ada rumah atau pun kampung. Apa yang kau jumpa bukan manusia biasa,” sambung ayah lagi.
Aku terdiam mendengar cerita ayah. Kalau benarlah apa yang dikatakan ayah kepadaku, jadi siapakah budak dan wanita tua yang ku lihat senja tadi? Adakah mereka orang bunian atau? Aku tiada jawapan.
Patutlah kawasan itu sunyi sepi tanpa ada kelibat kaki-kaki pancing, rupa-rupanya ada rahsia tersembunyi yang baru aku ketahui. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya