Kenapa tubuhnya berat sangat? - Utusan Malaysia

Kenapa tubuhnya berat sangat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZURA melangkah perlahan sambil sesekali matanya mencuri pandang ke arah deretan katil yang bersusun di kiri kanannya. Sesekali dia menguap kecil sambil menggosok-gosok mata, maklumlah hari ini dia baru memulakan syif malam setelah hampir dua bulan bertugas di waktu siang. Sedikit sebanyak kitaran waktu tidur dan jaganya juga sudah mula berubah.
Sebaik sampai di kaunter dia terus membelek-belek susunan fail yang tersusun kemas di hadapannya.
Rakannya Amira yang duduk bersebelahan hanya memandang dengan senyuman.
“Seronokkan kerja syif malam ini, sunyi sepi saja. Pesakit pun semua sudah tidur. Kalau kerja siang memang tak boleh rilekslah kita.
“Itu tak campur dengan kerenah pelawat yang datang lagi, macam-macam perangai kita kena hadap,” kata Amira sambil membuka bungkusan makanan yang dibawanya.
Zura tersenyum sambil menganggukkan kepala. Benar kata rakannya itu. Kerja syif malam memang seronok, tambah pula boleh curi-curi masa untuk melelapkan mata.
“Malam ini berapa orang yang jaga di wad ini? Kita berdua saja? Tanya Zura lagi.
“Kita berdua saja. Sepatutnya Yasmin ada tapi dia mohon cuti tiga hari sebab nak jenguk keluarga di kampung katanya,” kata Amira sambil mempelawa rakannya makan.
Zura jeling jam di dinding, sudah hampir 2 pagi, lantas dia minta diri untuk melakukan rutin melawat katil-katil pesakit.
Memang begitulah situasinya jika bekerja syif malam, setiap satu jam dia akan bergilir-gilir dengan rakannya meronda ke katil pesakit untuk memastikan tiada sebarang masalah.
Satu persatu katil dijengahnya. Kebanyakannya semua sedang dibuai mimpi. Sedang dia membetulkan selimut salah seorang pesakit, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi aneh. Zura lantas pasang telinga.
Krohhh… krohhhh… krohhhh… krohhhh…
Zura menarik nafas lega. Rupa-rupanya bunyi dengkuran itu datang dari katil pesakit di tepi tingkap wad tersebut.
Bunyi itu cukup jelas kedengaran apatah lagi dalam keadaan malam sunyi sepi begitu. Lantas dia melangkah menghampiri pesakit tersebut.
Zura lihat seorang wanita tua berusia lebih separuh abad sedang nyenyak tidur. Pelik! Tiba-tiba sahaja bunyi dengkuran kuat tadi hilang serta merta. Dan sebaik sahaja dia ingin melangkah pergi tiba-tiba tangannya ditarik seseorang. Zura terkejut. Hampir terlepas fail yang dipegangnya ketika itu.
“Nak…tolong mak cik boleh? Tolong bawa mak cik ke tandas,” kata wanita tua tersebut sambil tangannya masih menggenggam erat pergelangan tangan Zura.
Dalam kesamaran cahaya lampu Zura dapat melihat jelas raut wajah wanita tersebut. Mukanya hampir dipenuhi kedut seribu manakala rambut putih di kepalanya mengerbang kusut langsung tidak terurus.
Sekali pandang memang menyeramkan apatah lagi wanita itu merenungnya dengan pandangan cukup tajam, namun Zura cuba berfikiran positif. Fikirnya mungkin wanita itu tidak mampu untuk menguruskan dirinya, maklumlah orang sedang sakit.
Zura tersenyum sambil mengang­gukkan kepala. Lantas dipapahnya tubuh wanita tua itu dengan cermat menuruni katil.
Dengan penuh berhati-hati dia memaut pinggang wanita tersebut dan membawanya perlahan-lahan menuju ke tandas.
Dalam perjalanan menuju ke tandas yang terletak hanya beberapa meter dari katil tersebut, Zura dapat merasakan sesuatu yang aneh.
Tubuh wanita tersebut cukup berat sedangkan tubuhnya amat kurus dan kecil berbanding dirinya. Seperkara lagi dia berasakan cengkaman jari jemari wanita tersebut di bahunya cukup kuat dan menyakitkan.
Zura tidak bertanya. Tidak sampai beberapa minit kemudian kedengaran bunyi air di pam. Zura lantas membuka pintu tandas dan memimpin semula wanita tua itu menuju ke katilnya.
Kejadian yang sama berulang lagi. Zura dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan wanita tua itu. Zura jeling jari wanita tersebut di bahunya dan ketika itulah jantungnya hampir tercabut keluar dari tubuh apabila melihat kuku yang panjang dengan jari yang penuh kedutan sedang memaut tubuhnya.
Dia terasa lemah longlai, namun digagahkan jua untuk sampai ke katil wanita tersebut. Setelah selesai membaringkan wanita tersebut, lantas dia bergegas menuju ke kaunter.
Tidak sabar dia untuk menceritakan kejadian tersebut pada Amira.
“Mira, aku ada benda hendak cerita dengan kau ini,” kata Zura sebaik sahaja dia sampai di kaunter.
Amira memandangnya penuh kehairanan. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana melihat rakannya sedikit gugup dan pucat.
“Tadi aku pergi lawat pesakit dari katil ke katil, tiba-tiba bila sampai di katil nombor empat yang ada mak cik tua tu aku terkejut, dia berdengkur punyalah kuat.
“Bila aku nak pergi saja tiba-tiba dia pegang tangan aku dan minta bawa dia ke tandas.
“Masa aku bawa dia ke tandas aku rasa cukup aneh, sebab tubuhnya cukup berat berbanding saiz badannya yang kurus melidi. Lepas itu kau nak tahu masa dia paut bahu aku itu aku jeling jari dia.
“Masya-Allah kukunya panjang Ya Rabbi. Aku rasa macam ada sesuatu pada makcik itu,” tutur Zura panjang lebar.
Amira memandang rakannya tanpa menjawab walau sepatah pun. Raut wajahnya tiba-tiba berubah gelisah.
“Betul ke makcik yang kau maksudkan ini yang katil nombor empat? Tanya Amira ingin mendapatkan kepastian.
“Betullah. Aku yang pergi di katil dia dan papah bawa dia ke tandas,” kata Zura meyakinkan temannya.
Amira menelan air liur lantas merapatkan kerusinya berhampiran Zura.
“Sebenarnya katil nombor empat itu kosong. Mak cik itu sudah meninggal dunia tiga hari lepas,” jelas Amira perlahan.
Zura terdiam. Serta merta badannya terasa lemah. Mereka berpandangan. Perlahan-lahan mereka berdua meninggalkan kaunter dan pergi ke lif untuk turun ke bawah. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya