Influenza: Bahaya yang tersembunyi - Utusan Malaysia

Influenza: Bahaya yang tersembunyi

Langkah berjaga-jaga yang patut diikuti untuk mengelakkan Influenza adalah memakai pelitup muka, rajin membasuh tangan dan mengelakkan tempat sesak. – MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Influenza turut dikenali sebagai flu adalah penyakit bawaan udara melalui sistem pernafasan yang mudah berjangkit dan berupaya menjadi wabak. Setiap tahun, flu dianggarkan membunuh sehingga 650,000 penduduk dunia. Sejarah menunjukkan tahap keparahan paling teruk adalah pada 1918 hingga 1919, yang mana pandemik global influenza atau dikenali sebagai Spanish Flu dan membunuh sekitar 50 juta manusia dunia ketika itu.
Di Malaysia, flu belum lagi menjadi penyakit yang diwajibkan notifikasi seperti penyakit berjangkit lain denggi, taun dan malaria. Tetapi, surveilans penyakit flu telah dipertingkatkan, melalui hasil ujian-ujian positif makmal dan berdasarkan suspek kes jika flu terjadi. Surveilans penyakit meliputi dua jenis penyakit iaitu Severe acute respiratory illness (SARI) dan Influenza like illness (ILI). Infeksi akut pernafasan dikenali sebagai ILI terjadi jika demam melebihi 38 darjah Celsius, batuk, sakit badan, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, keletihan, selsema, hilang selera, dan sakit tekak.
Acapkali, pesakit ILI menerima rawatan pesakit luar dan tidak dimasukkan ke hospital manakala SARI adalah kriteria yang sama, tetapi lebih parah dan memerlukan kemasukan ke wad, termasuk kes menjadi lebih parah atau wujud gejala komplikasi termasuk dehidrasi, cirit-birit teruk, serta jangkitan merebak ke organ lain. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan hampir 99 peratus kematian kanak-kanak berusia kurang lima tahun di negara membangun diakibatkan jangkitan flu.

Cara jangkitan
Cara jangkitan utama, adalah melalui udara. Jika titisan air liur (droplets) ini disedut orang lain , atau terkena ke permukaan meja dan disentuh orang lain, ia juga boleh merebak melalui sentuhan langsung ini. Influenza adalah penyakit yang wujud sepanjang tahun di Malaysia, dan tidak bergantung kepada musim dingin (seperti yang berlaku di negara-negara sejuk). Waktu inkubasi jangkitan adalah sekitar 1-4 hari (purata 2 hari).
Penyakit ini boleh menyebabkan demam akut dan terbahagi kepada flu jenis A, B dan C. Jenis A dan B adalah penyebab utama wabak influenza yang berlaku ke atas manusia, manakala Avian influenza adalah flu burung, dari jenis A, yang turut berlaku secara zoonotik (jangkitan melalui haiwan) dan merebakkan virus flu burung jenis H5N1. Sungguhpun jarang menyerang manusia, flu burung masih berupaya meninfeksi manusia dan turut berupaya menyebab kematian. Influenza jenis B kebanyakan menyerang manusia dan tidak ke haiwan, begitu juga C yang keduanya dianggap kurang berbahaya berbanding jenis flu jenis A.
Influenza A dikatakan sebagai penyumbang terbesar flu manusia (hampir 75%) dibahagikan pada sub-jenis berbeza, berdasarkan kombinasi dua protein pada permukaan virus: hemagglutinin (H) dan neuraminidase (N), ia juga berupaya menyebabkan pandemik global. Influenza jenis B menyumbang ke 25% kepada kes-kes flu.
Infeksi akut pernafasan dikenali sebagai ILI terjadi jika demam melebihi 38 darjah Celsius, batuk, sakit badan, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, keletihan, selesema dan sakit tekak. Simptomnya boleh berubah dari ringan ke berat dan dalam orang yang rentan serta berupaya menyebabkan kematian.

Golongan rentan
Siapakah golongan rentan ini? Mereka termasuk warga emas, ada masalah kegemukan, mempunyai penyakit kronik, pengidap kanser, menggunakan ubat supresi imun, wanita mengandung dan kanak-kanak kurang lima tahun. Mereka ini lebih mudah terjangkit jika berhadapan dengan pengidap influenza, manakala individu yang sihat, selalunya hanya akan terjejas sedikit sahaja dan menunjukkan simptom ringan atau hampir tiada gejala.
Penyakit influenza agak sukar dibezakan dengan batuk selesema biasa. Batuk selesema biasa disebabkan oleh beberapa virus seperti rhinovirus dan parainfluenza. Ia agak ringan berbanding flu dan jarang mengakibatkan komplikasi sistemik manakala flu boleh berlarutan ke beberapa minggu serta mengakibatkan komplikasi berat seperti jangkitan telinga, radang paru-paru, radang ke jantung, radang ke otak, otot dan kegagalan ginjal. Oleh itu, jangkitan serentak flu dan penyakit lain, contoh penyakit asma dan kencing manis akan mengakibatkan kesan berganda, memburukkan keadaan pesakit, malah boleh berakhir dengan kematian.

Rawatan Awal Flu
Rawatan awal dalam tempoh 48 jam pertama jangkitan berupaya melawan penyakit dan mengurangkan gejala, malah boleh pulih lebih awal. Terdapat rawatan berkesan bagi merawat influenza, yang mana salah satu daripada pilihan rawatan adalah menggunakan ubat anti-viral dan rawatan lain mengikut gejala dialami pesakit. Rawatan segera adalah amat penting bagi mengelakkan komplikasi penyakit berlarutan.
Ujian calitan tekak atau hidung boleh memberi keputusan sama ada pesakit mengidap flu atau tidak. Sementara menunggu hasil ujian, seseorang patut di kuarantin supaya tidak merebakkan virus ke ahli keluarga lain manakala jika ujian anda positif, anda perlu diisolasi dan jika gejala teruk, perlu dirujuk ke hospital untuk kemasukan ke wad.
Kajian kos jangkitan flu, dari 2016 hingga 2018 di beberapa hospital dan klinik terpilih di Malaysia oleh pengkaji UPM dan UKM, menunjukkan kos terkumpul mencecah RM310.9 juta dan kos terbesar kes disumbangkan oleh kos merawat jangkitan ke sistem pernafasan pesakit berbanding sistem lain.
Langkah berjaga yang patut diikuti adalah memakai penutup muka, rajin membasuh tangan, mengelakkan tempat yang sesak dan tempat kurang ventilasi. Untuk mereka yang layak, boleh menjalani vaksinasi flu sekitar harga RM80 di klinik swasta dan boleh diberi secara tahunan.
Di Malaysia, belum ada rekomendasi mewajibkan vaksinasi flu, bagaimanapun ia sangat digalakkan. Untuk mereka yang hendak menunaikan umrah dan haji, vaksin meninggokokus dan vaksin flu wajib diambil.

PENULIS ialah Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya