Buka cerita rumah tangga di media sosial - Tepuk air di dulang, kena muka sendiri - Utusan Malaysia

Buka cerita rumah tangga di media sosial – Tepuk air di dulang, kena muka sendiri

Gambar hiasa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA hari lalu saya menerima satu e-mel daripada seorang lelaki.
Katanya, bolehkah saya menulis dalam kolum ini, menasihatkan wanita janganlah serba-serbi mahu guna media sosial untuk melepaskan geram dan menghamburkan kemarahan.
Antaranya saya petik e-mel lelaki dari Perak itu kepada saya – Puan, sebagai seorang wanita, nasihatlah orang perempuan ini. Hal rumah tangga pun mahu cerita satu Malaysia. Selesai suami isteri sudah.
Panjang lebar juga saudara ini menulis. Nampak macam dia melepaskan geram pula. Jarang lelaki suka tulis panjang-panjang. Selalunya kalau di WhatsApp, lima perenggan isteri tulis, tak kurang tiga patah perkataan suami jawab. Itu dengan isterilah, dengan orang lain tak tahulah pula.
Siapalah saya untuk menasihat. Saya hanya boleh menyentuh isu ini dalam kolum ini. Iyalah, kebanyakan daripada kita pun, bukan suka dinasihat sangat. Macam pernah saya tulis di sini sebelum ini, nasi makan, nasihat tak makan.
Pun begitu, saya bersetuju apa yang saudara ini tulis. Betullah, jangan jadikan media sosial sebagai tempat bergaduh, mendedahkan hal-hal yang sepatutnya amat peribadi dan mengaibkan orang lain termasuk diri sendiri.
Cerita rumah tangga, siapa mengacau dan siapa kena kacau, selesailah dengan pihak terbabit saja. Janganlah disebabkan dia yang berperang dengan pasangan dan orang ketiga, satu negara pula diajak berperang sama.
Semua keburukan pasangan dibongkar dan diberitahu pada orang yang tak ada kena mengena pun dalam hidup mereka. Lama kelamaan perkara seperti ini akan menjadi satu kebiasaan pula nanti. Asalkan bergaduh saja suami isteri, memuatnaik status di media sosial.
Dalam pada itu, negara ini pun ada peruntukan undang-undang untuk pengganggu rumah tangga. Perbuatan ini adalah salah satu jenayah syariah. Sesiapa yang melakukannya boleh didakwa di mahkamah.
Suami atau isteri yang mempunyai bukti kukuh pasangan mereka curang boleh membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri.
Hanya dengan bukti yang cukup saja membolehkan Pegawai Agama membuka kertas siasatan.
Jika tiada bukti seperti gambar, dokumen, saksi, mesej atau perbualan dalam media sosial, kes berisiko untuk ditutup tanpa siasatan lanjut oleh Pegawai Penguatkuasa Agama.
Kesalahan mengganggu rumah tangga orang lain ini terdiri daripada tiga perkara iaitu memujuk lari wanita yang bersuami, menghalang pasangan suami isteri untuk hidup bersama dan menghasut suami atau isteri supaya bercerai dan mengabaikan kewajipan masing-masing.
Ia adalah satu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Sesiapa saja boleh masuk dalam kategori orang ketiga ini antaranya ahli keluarga suami atau isteri, pasangan kekasih tak kiralah rakan sepejabat, rakan sekolah dulu-dulu atau rakan media sosial.
Hakikatnya, tidak ramai sedar tentang wujudnya peruntukan undang-undang ini. Oleh itu, ramai pasangan yang terjebak dengan masalah gangguan orang ketiga ini memilih perceraian sebagai jalan selesai yang terbaik.
Akibatnya kes perceraian meningkat manakala yang mengganggu rumah tangga orang terus berperangai begitu. Tanpa mengetahui pun dengan perbuatan mereka itu tak pasal-pasal boleh duduk dalam penjara tak lebih dua tahun.
Jadi dengan peruntukan undang-undang yang ada, mengapa mahu pilih untuk memburukkan lagi keadaan dengan menularkan masalah tersebut di media sosial.
Meraih simpati atau perhatian netizen bukan jalan selesai kerana ia hanya membuka medan untuk mencari siapa salah dan siapa betul. Sampai bila pun tak habis. Netizen pun cakap saja tak suka membaca isu-isu sebegini, sebab ia tak boleh mengurangkan harga ayam atau meningkatkan gaji mereka, tetapi dia baca sampai habis dan komen juga.
Golongan wanita pun janganlah terlalu beremosi di media sosial, menyalahkan orang ketiga sedangkan jika suami tidak melayan, ia tentu tidak akan menjadi.
Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia semalam dalam ruangan Isu Seri yang bertajuk – Isteri boleh libas perosak rumah tangga guna tindakan undang-undang.
Dalam laporan ini seorang kaunselor perkahwinan yang berkongsi pengalaman mengendalikan kes-kes seperti ini, Noraniza Anwar berkata, kebanyakan lelaki yang terlibat mengaku mereka melayan hanya untuk suka-suka.
Antara alasan diberikan adalah untuk berseronok, test market, mahukan perhatian atau hanya mengisi kesunyian apabila berjauhan dengan isteri.
Iyalah, bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Pada masa sama, ia juga boleh jadi umpama menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri. Sebab itu, masalah peribadi sebegini tidak sewajarnya dijadikan tontonan umum. Akhirnya mempamer aib sendiri dan pasangan.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya