Semua parti berpeluang menang jika… - Utusan Malaysia

Semua parti berpeluang menang jika…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH banyak ‘aral’ buat Barisan Nasional (BN) menongkah cabaran politik tanah air biarpun sejak 9 Mei 2018 sudah pun bangkit menang bergaya sekurang-kurangnya dalam 10 pilihan raya kecil dan dua pilihan raya negeri .
Dengan satu dua pemimpin kanan parti itu masih berdepan kes mahkamah, timbalannya pula tidak berada di Pusat, sementara sebilangan pemimpin kanan dan senior parti duduk dalam Kabinet serta syarikat milik kerajaan (GLC), ia meletakkan BN dalam percaturan sukar. Nampaknya BN masih perlukan big data yang tepat untuk kemenangan mutlak dalam pilihan raya umum.
Ketika UMNO tonggak BN masih ada kumpulan menyokong presiden, itu belum lagi dengan satu lagi kem yang biarpun peringkat awal beria-ia cenderung ke Perikatan Nasional, tapi hari ini ‘keterujaannya’ reda ke tahap 50:50. Dan ada juga lagi kumpulan pemimpin yang pilih jalan selamat `tunggu dan lihat’.
Penuh gelora UMNO hari ini yang buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya, presiden parti bukan Perdana Menteri. Selaku naib presiden, Perdana Menteri sudah menyatakan tidak kurang tiga kali, berterus-terang tentang tarikh PRU15.
Pertama kali selepas BN menang besar pilihan raya negeri Johor 12 Mac lalu dan kali kedua semasa bercakap dengan akhbar Nikkei berpangkalan di Jepun di luar persidangan Nikkei’s Future of Asia di Tokyo, minggu lalu:
“Sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan PRU15 ketika negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.
“Kita perlu menunggu masa sesuai (untuk membubarkan Parlimen). Kita kini menghadapi tempoh inflasi yang meningkat dengan harga (barangan) yang tinggi… adakah anda fikir ini masa yang sesuai (untuk pilihan raya)?”
Rabu lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertegaskan lagi kenyataannya itu di WTC selepas konvensyen BN: “Kalau BN sudah bersiap sedia saya tak akan melewatkan sesaat pun PRU15 seperti dipersetujui sebelum ini dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu, PRU15 akan dibincangkan bersama lima pimpinan tertinggi.
“Jadi, saya setuju untuk berbincang dengan pimpinan BN untuk menentukan tarikh.”
Dan biarpun dalam konvensyen itu rata-rata kepimpinan UMNO sudah bersiap sedia masuk gelanggang PRU15, kata putus muktamadnya tetap pada Perdana Menteri.
Meskipun bilik perang UMNO difahamkan sudah siap awal lagi selepas menang besar di Melaka dan Johor tempoh hari, soalnya bila tarikh PRU? Adakah tahun ini atau masih perlu dicongakkan kembali perihal tarikh pemilihan UMNO?

MASA TEPAT
Bukan mudah sebenarnya untuk kembali menguasai kawasan yang pengundi sudah berpaling kepada parti lain. Sebilangan mereka barangkali terus ‘lekat’ dengan parti lawan. Sebilangan lagi hilang arah dan duduk atas pagar memerhati dari jauh. Ada pula yang sudah `tak heran’ dengan apa yang parti politik kesayangan yang dulu atau kerajaan sedia ada buat itu ini untuk menambat hati rakyat.
Dengan mengambil kira senario di atas, apakah resipi UMNO untuk menakluk hati pengundi pada PRU15 nanti? Apakah ciri-ciri mentaliti menang yang perlu ada untuk memenangi hati rakyat?
Bak orang cakap, strike while the iron is hot – penentuan masa yang tepat penting dalam merencanakan tarikh PRU15. Kalau nak pakai hujah daya saing ekonomi dengan inflasi yang `bagai’, tidak ketahuan dalam tempoh dua, tiga bulan akan selesai isunya. Kenaikan harga barang dan isu sekuriti makanan pun barangkali akan `menggila’ lagi. Dalam masa empat bulan mendatang ini, masuk hujung tahun dan tahun depan, akan ada banyak perbezaan berbanding hari ini.
Impak dan tempiasnya bukan terkena kepada Malaysia sahaja, negara-negara lain pun sama kesannya. Masalah ekonomi dijangka meningkat, tidak kira siapa pun Perdana Menterinya.
Demi kestabilan, yang dikusutkan lagi dengan `tarik tali’ pembangkang terhadap kerajaan bersabit MoU, banyak pihak beranggapan elok sahaja disegerakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Tunggu setahun lagi, keadaan lagi parah. Kalau diikutkan tarikh cantik sebaik sahaja selepas tarikh MoU kerajaan-pembangkang berakhir 31 Julai ini.

MOMENTUM
Bila ada momentum, di situlah `gerakan sebelum subuh’ dilakukan. Dalam apa jua persaingan, ‘bila lawan tampak lemah, belum bersatu, ketika itulah serangan dilakukan’.
Jika diperkatakan dari segi persediaan – alasan dikatakan belum bersedia kerana PRN bukan semacam PRU – tetapi tempoh hari 9 Mei 2018 lagi cermat dan rapi persediaan dilakukan. Macam-macam kerajaan waktu itu buat untuk rakyat. Dry run dan retreat berulang kali. Puluhan program 1Malaysia diperkenalkan, dengan antaranya Teksi1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Prima nya lah. Malangnya momentum itu tidak ada. Isu tertentu jadi isu utama. Bila nak kalah, kalah juga.
Suatu ketika sebelum Mei 2018, kerajaan dan penjawat awam bertaut rapat. Walaupun banyak dasar, pelaksanaannya ada dan meyakinkan. Tetapi dengan kerajaan yang bercampur-baur, dengan `baju di dalam kerajaan dipakai berbeza pula dengan luar kerajaan’ – semasa dalam Kabinet dan kempen pilihan raya negeri berlainan tindak tanduknya – lantas mengakibatkan penjawat awam sendiri dalam serba salah, dilema. Khuatir buat keputusan. Akibatnya, kerja bertimbun, tak jalan. Hendak dimarahi pun mereka tidak boleh juga kerana kalau tersilap buat keputusan, orang di atas nanti berganti baharu selepas bertukar kerajaan, akhirnya dia yang tanggung akibatnya.
Berbanding dahulu masa kerajaan sebelum 2018, utuh. Dan penjawat awam khususnya ketua-ketua jabatan faham dan maklum bahawa parti berkenaan akan kekal bertahan untuk tempoh lima tahun lagi. Seperti mana mereka yang dilantik menteri, sesiapa pun tahu dia akan duduk di situ sehingga pilihan raya umum akan datang. Senang buat kerja. Tidak seperti sekarang, berapa lama boleh bertahan?
Akibat lebih besar, akan menjejaskan pelaburan asing. Ada mengatakan `banyak pelaburan yang masuk’, tetapi sedikit sebanyak tidak nampak kesannya.
Berbanding negara jiran, Singapura jauh meninggalkan kita. Vietnam? Kita sudah banyak tahun ketinggalan dengan negara itu.
Apa lagi kekangan ke arah menyegerakan PRU? Adakah isu-isu su-isu yang bersifat peribadi harus dijawab oleh tuan punya badan sendiri – sama ada benar atau tidak sebelum dia dibantu oleh orang lain. Tuan punya diri harus menjawab, ubah cara dan membetulkan supaya dapat dilihat oleh rakyat sebelum orang lain membantu. Sebab itu persepsi perlu dijawab. Bukan semua persepsi salah.
Politik itu momentum. Jika sudah ada `gegarnya’, mengapa tidak diaturkan tarikhnya? Adakah satu kerugian besar jika tidak bijak membacanya, walhal petanda ‘menang kalah’ sudah ada di telapak tangan?
Dan sekali pun benar politik itu momentum, kebenaran yang terpaksa ditelan biarpun pahit adalah – semua parti politik berpeluang menang jika tarikh PRU15 melangkaui November nanti, apa lagi melepasi gerbang 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya