Saya pernah cedera kerana padang – Khalid - Utusan Malaysia

Saya pernah cedera kerana padang – Khalid

Khalid Jamlus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN dalam pentas bola sepak sebagai pemain mewakili negara dan pernah beraksi di luar memberi peluang menimba pelbagai ilmu.
Bagi bekas pemain bola sepak, KHALID JAMLUS, ilmu dan pengalaman bukan sekadar dalam permainan semata-mata.
Sebaliknya beliau juga sempat ‘meninjau’ dan merasai kemudahan sukan terutama padang bola sepak di beberapa negara lain.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, Khalid menceritakan pengalaman dan pandangan berhubung isu kualiti padang di negara ini. Turut membantu jurufoto FAISOL MUSTAFA.

MINGGUAN MALAYSIA: Selepas perlawanan Malaysia menentang Bahrian, isu stadium dan padang timbul lagi. Siapa yang sepatutnya dipersalahkan kali ini?
Jujur saya katakan saya tidak pernah berada dalam barisan pengu­rusan (stadium). Sama ada sesebuah stadium itu diuruskan oleh mana-mana pihak pun saya kurang pasti. Kita tidak boleh hanya salahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau pihak pengurusan stadium sahaja.
Kita perlu melihat isu ini secara menyeluruh. Kalau mahu salahkan FAM pun, mereka sudah semestinya ikut piawaian FIFA atau AFC dalam satu-satu perlawanan. Kita perlu ingat cuaca juga mempengaruhi struktur padang.
Apabila berlaku hujan lebat, sistem saliran perlu dipastikan berfungsi dengan baik. Dalam perlawanan Malaysia menentang Bahrain tempoh hari, saya difahamkan satu lagi perlawanan turut diadakan sebelum itu. Jadi ini semua turut penyumbang kepada kerosakan padang

Ada gambar yang tunjuk pekerja menggunakan penyodok air semasa perlawanan kelayakan Piala Asia baru-baru ini, adakah ia mencemar reputasi Malaysia sebagai penganjur?
Persediaan itu yang penting lebih-lebih lagi pertandingan yang melibatkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Perlu diingat kita tiada stadium yang ada bumbung dan stadium kita terbuka. Sepatutnya sudah ada alat khas untuk tolak air yang bertakung. Kita tidak mahu dipandang rendah lebih-lebih lagi kita sudah capai tahap profesional.

Anda pernah bermain di luar negara. Apa yang dipelajari dalam aspek pengurusan padang dan adakah terdapat perbezaan ketara daripada segi kualiti?
Saya pernah ke Jerman dan Manchester City. Apa yang saya perhatikan mereka ada padang dalam keluasan 15 ekar. Maknanya beberapa pasukan yang sama boleh gunakan untuk tujuan latihan. Penjagaan padang mereka cukup cermat. Mereka tanam sejenis rumput yang agak kecil daripada segi saiznya, bersesuaian dengan cuaca. Malah, padang mereka agak cantik.

Pernahkah anda mengalami kecederaan teruk hanya disebabkan padang?
Pernah. Sewaktu itu saya mewakili Perak dalam perlawanan menentang Sabah dan hujan begitu lebat. Berlaku situasi perebutan bola dengan salah seorang pemain lawan. Apabila saya cuba membuat pusingan, kaki saya tersekat kerana permukaan padang ada lekukan. Pemain lawan terjah dan saya terus mendapat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Adakah kualiti padang mempengaruhi proses melahirkan pemain bola sepak berkualiti?
Pada zaman dahulu mungkin ya. Tapi sekarang tidak lagi. Proses pembangunan pemain bola sepak sentiasa berjalan rancak dan meng­alami proses yang dipertingkat dari semasa ke semasa. Walau apa pun, pemain itu sebenarnya yang perlu berlatih bersungguh-sungguh bagi untuk mencapai hasil berkualiti. Mungkin kelab-kelab atau pengurusan boleh gunakan padang artificial untuk belajar mengawal dan ketepatan menghantar bola.

Pada pandangan anda d manakah kemudahan padang terbaik setakat ini?
Sudah semestinya pasukan JDT. Mereka memiliki kemudahan latihan dan stadium perlawanan yang bertaraf antarabangsa. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya