Musykil solat di Eropah yang tak pernah ‘basi’

Musykil solat di Eropah yang tak pernah ‘basi’

DI Scotland pada musim sejuk, waktu malamnya lebih panjang dari siang sehinggakan waktu zuhur dan asar menjadi sangat singkat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA soalan popular yang sering ditanyakan oleh komuniti Muslim Malaysia di Scotland. Soalan pertama, ketika musim sejuk: “Bagaimana kita ingin solat pada saat waktu zuhur dan asar yang pendek, sedangkan kita dalam bilik kuliah dan ada rakan-rakan kita pula sedang bertugas dan keterbatasan masa untuk menunaikan solat?”

Soalan kedua, ketika musim panas: “Bagaimana kita ingin solat pada saat waktu maghrib dan isyak yang pendek serta lewat malam ditambah pula waktu subuh seawal pukul 1 pagi, sedangkan kita esoknya ada kuliah dan ada rakan-rakan kita yang memerlukan rehat untuk bertugas keesokan harinya?”

Soalan-soalan ini tidak pernah ‘basi’ kerana setiap tahun akan hadir komuniti baharu dari Malaysia yang menetap di Eropah khususnya di Scotland.

Umumnya, waktu Malaysia dan Scotland sangat berbeza. Antara perbezaannya adalah Malaysia merupakan sebuah negara terletak di garisan khatulistiwa yang mana pergerakan siang dan malamnya agak seimbang dan setiap waktu solatnya konsisten dan tidak banyak berubah sepanjang tahun. Scotland pula sebuah negara yang mempunyai empat musim dan ketika musim sejuk, waktu malamnya lebih panjang dari siang sehinggakan waktu zuhur dan asar menjadi sangat singkat. Ketika musim panas pula, waktu siangnya lebih panjang dari malam sehinggakan waktu maghrib, isyak dan subuh menjadi singkat.

Dengan perbezaan waktu tersebut menjadikan soalan-soalan sedemikian sering berlegar dalam kalangan komuniti Muslim Malaysia di Scotland untuk mendapatkan kepastian. Dan bagaimana sekiranya menunaikan waktu solat secara jamak zuhur dan asar ketika musim sejuk serta solat jamak maghrib dan isyak ketika musim panas?

Hasil rujukan dan pembacaan di laman sesawang Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (ECFR), kesimpulannya jawatakuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Sheikh Dr. Yusof Al-Qaradawi pada sesi ketiga yang diadakan pada 22 Mei 1999 di Cologne, Jerman telah memberikan kesimpulan terhadap persoalan tersebut. ECFR telah membuat kesimpulan bahawa untuk memudahkan umat Islam itu sendiri, maka dibenarkan menggabungkan solat maghrib dan isyak di Eropah ketika musim panas disebabkan waktu isyak yang menghampiri tengah malam ataupun tanda-tanda waktu isyak itu sendiri tidak kelihatan langsung (malamnya tidak gelap penuh).

Ketika musim sejuk pula, dalam keadaan situasi agak sama, turut diharuskan bagi seorang Muslim untuk menggabungkan solat zuhur dan asar di negara-negara ini kerana apabila musim sejuk, waktu siangnya sangat singkat dan menyukarkan individu sama ada pekerja atau pelajar untuk menunaikan solat fardu pada waktunya sendiri.

Keizinan dan keharusan ini merujuk kepada hadis Ibnu Abbas dalam Sahih Muslim: “Nabi SAW menghimpunkan solat zuhur dan asar serta solat maghrib dan isyak ketika Nabi SAW bukan dalam keadaan bahaya dan ketika tiada hujan. Ibnu Abbas ditanya: Mengapa Nabi SAW berbuat demikian? Ibnu Abbas menjawab: Nabi SAW ingin memudahkan umat Nabi SAW.”

Bagaimanapun, ECFR membuat penegasan kepada umat Islam agar tidak menggabungkan solat-solat tersebut tanpa alasan yang kukuh dan tidak menjadikannya sebagai amalan kebiasaan. Justeru, kesimpulannya ialah fatwa mengenai gabungan solat zuhur dan asar ketika musim sejuk dan gabungan solat maghrib dan isyak ketika musim panas adalah harus dan tidak boleh dijadikan sebagai amalan kebiasaan melainkan ada sebab-sebab tertentu.

Semoga perkongsian ini dapat membantu komuniti Muslim di negara-negara Eropah yang mempunyai situasi sama seperti Scotland dan turut membantu kepada mereka yang akan bermusafir ke bumi Eropah. – UTUSAN

MUHAMMAD Bukhari Amirrudin ialah Pegawai Hal Ehwal Islam lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Edinburgh, Scotland.

AFFUAN Che Mansor ialah Pensyarah Pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Perlis yang pernah menetap di Birmingham, England (2014-2017).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya