MALAYSIA kekal antara 10 negara paling bahaya memandu di dunia dan pada masa sama pemandu di negara ini juga paling tertekan menurut dua kajian antarabangsa.
Baru-baru ini pula dalam satu wawancara dalam akhbar ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong memberitahu, jumlah kenderaan berdaftar di negara ini menyamai bilangan penduduknya yang menjadikan negara ini mempunyai jumlah kenderaan paling tinggi di jalan raya dalam Asia Tenggara.
Maka sebab itu, tidak hairanlah makin menjadi-jadi pula kesesakan di jalan raya ketika ini dan bertambah pula pada masa akan datang berdasarkan permintaan tinggi tempahan kereta buatan tempatan dan luar negara.
Dan menambah tekanannya sudah tentulah apabila terpaksa melayan kerenah pemandu lain yang membuat kita ‘serabut perut’ ketika memandu.
Iyalah sebaik saja menghidupkan enjin kenderaan, kita kena ingatkan diri sendiri agar perlu ada kesabaran tinggi dan pada masa sama sentiasa ingat skil mahir mengelak kemalangan disebabkan faktor pengguna jalan raya lain yang suka sangat membuat ‘kejutan’.
Mana tidaknya, walaupun kenderaan dibeli semua lengkap dengan lampu signal tetapi ramai tidak tahu menggunakannya. Tiba-tiba saja menukar lorong, masuk simpang dan memotong tanpa beri isyarat. Kalau kita yang berhati-hati ini tidak mahir mengawal kenderaan ketika itu, brek mengejut, satu deretan kenderaan di belakang kita, habis kena sodok.
Kita pun boleh menyenaraikan beberapa lagi kegemaran pemandu negara ini. Antaranya, memandu perlahan di lorong paling kanan dan tengah. ‘Makan angin’ di lorong yang tidak sepatutnya manakala lorong paling kiri pula untuk memecut. Kita pula terasa bersalah memandu perlahan di lorong kiri, apabila kenderaan belakang memberi isyarat lampu tinggi.
Dalam pada itu, ramai yang memandu sambil menggunakan telefon pintar tak kiralah berbual, berbalas mesej, melihat video termasuk berswafoto. Paling membahayakan memandu dalam keadaan mabuk yang mana banyak kes kematian dilaporkan. Yang mabuk tak mati. Yang mati, pengguna jalan raya lain yang memandu dengan berhati-hati.
Turut disukai, membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan dan perangai beberapa tahun kebelakangan ini memandu dalam keadaan menongkah arus! Yang sering dikaitkan dengan pemandu mabuk.
Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh firma pendidikan pemanduan antarabangsa Zutobi baru-baru ini, Malaysia terus kekal dalam 10 negara di dunia paling bahaya untuk memandu.
Negara ini menduduki tempat kelapan dengan skor keselamatan hanya 5.63 daripada 10. Afrika Selatan muncul negara paling bahaya untuk memandu.
Malaysia juga mencatatkan skor kemalangan jalan raya nombor dua tertinggi selepas Thailand iaitu 22. 5 daripada 100,000 penduduknya. Thailand pula 32.3.
Hakikatnya dengan semua data ini, saya rasa ramai yang tidak terkejut kerana hari-hari telah melalui macam-macam pengalaman ketika memandu.
Apatah lagi sejak masuk ke fasa endemik Covid-19, menjelang Hari Raya, semasa Hari Raya dan cuti sekolah yang berakhir hari ini, kita melalui kesesakan jalan raya luar biasa.
Justeru, bagi merungkai masalah kesesakan ini, antara solusinya adalah membina lebuh raya dan jalan raya baru dan meningkatkan prasarana sistem pengangkutan awam.
Itu yang diberitahu oleh Menteri Pengangkutan kepada akhbar ini dalam wawancara tersebut dan pada masa sama mengatakan bahawa penduduk negara ini lebih suka naik kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam.
Bagaimana untuk membuatkan orang ramai beralih pada kepada pengangkutan awam? Itu satu persoalan besar.
Ini kerana kebanyakan kita lebih selesa bawa kenderaan sendiri ke mana-mana kerana lebih cepat dan tidak perlu menaiki kenderaan e-hailing pula selepas menaiki LRT atau komuter untuk sampai ke pejabat atau rumah.
Maknanya jaringan pengangkutan awam terutamanya tren tidak berselerak, capaian tidak meluas langsung atau banyak lebih fokus kepada kawasan tertentu yang membuatkan kita perlu dapatkan lagi pengangkutan awam lain seperti bas dan teksi. Bas pula hendak tunggu lambat.
Maka, membeli kenderaan sendiri adalah satu keperluan di negara ini. Bukan satu kemewahan.
Saya rasa, kalau kita ada satu sistem pengangkutan awam yang efisien, lebih baik beli rumah daripada beli kereta. Tetapi itulah, harga rumah kini melambung pula.
Saya masih ingat lagi dulu kita disarankan kongsi kenderaan dengan kawan-kawan untuk ke pejabat. Tetapi itulah, kalau satu kawasan perumahan tak apalah. Ini seorang di Klang dan seorang lagi di Gombak, berapa banyak masa perlu dihabiskan.
Kajian Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) pada 2019 terhadap hampir 5,000 kenderaan mendapati 87.3 peratus pemandu yang bekerja di daerah pusat perniagaan di ibu negara memandu sendirian ke tempat kerja. Sebanyak 11.6 peratus pemandu didapati memandu dengan seorang penumpang, manakala hanya 0.9 peratus mempunyai dua penumpang.
Dalam kajian itu, beberapa responden mengadu bila sudah mengatur perkongsian kereta, rakan pula bangun lewat dan menyebabkan dia turut lewat ke tempat kerja.,
Alasan lain adalah pengangkutan awam masih sukar digunakan manakala ada yang mengadu kos tempat letak kereta di stesen LRT atau MRT sama dengan kos tempat letak kereta di tempat kerja.
Nampaknya, penyelesaian untuk kesesakan jalan raya dan menarik orang ramai menggunakan pengangkutan awam, turut melalui jalan yang berliku-liku.
Akhirnya yang memenuhi pengangkutan awam adalah warga asing dan apa saja subsidi untuk memperkasa pengangkutan awam, golongan inilah nanti yang banyak mendapat manfaatnya.
Dan kita terus bising dengan jalan sesak, pengangkutan awam tidak efisien dan yang mabuk boleh mabuk lagi dan terus memandu setelah membayar denda.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia