Fazli memandu dengan berhati-hati ketika melalui jalan tanah merah menuju masuk ke kampungnya. Ditolehnya jam di pemuka kereta, sudah menunjukkan hampir pukul 12.30 tengah malam. Sesekali dia menekan brek untuk mengelakkan tayar masuk ke dalam lopak-lopak air yang berada di kiri kanan jalan.
“Bilalah nak berubah jalan ke kampung aku ini. Sejak aku belajar sampailah sekarang sama saja tak ada perubahan,” ngomelnya sendirian.
Sesekali dia menghela nafas lega kerana perjalanannya cukup lancar malam itu. Walaupun ada rasa letih kerana perjalanannya memakan masa hampir tiga jam, namun dia tetap berasa puas kerana selamat sampai ke kampung halamannya. Maklumlah sudah hampir setahun juga dia tidak pulang ke kampung kerana kekangan masa dan kesibukan tugas.
Fazli ambil keputusan pulang ke kampung kerana bermula bulan depan dia akan bertugas jauh di utara tanah air. Walaupun menurut majikannya dia hanya ke sana selama lima bulan, namun dia pasti jika di tempat baharu kerja lagi bertambah dan sibuk sepanjang masa, tidak mungkin dia dapat menjenguk keluarga di kampung. Jadi bila ada waktu terluang begini eloklah dia pulang sebentar bertanya khabar.
Ketika dia membelok masuk ke laluan kecil di simpang kampungnya, tiba-tiba dia terlihat satu sosok sedang berjalan kaki di hadapannya. Fazli perlahankan kenderaan. Dia amati dengan teliti kalau-kalau sosok itu dikenalinya. Ketika pancaran dari lampu keretanya menyuluh tepat ke arah sosok tersebut, dia hela nafas panjang. Rupa-rupanya lelaki itu ialah abang Mail yang cukup popular di kampung tersebut.
“Assalamualaikum, bang Mail. Saya ini Fazli. Jom naik dengan saya. Saya hantarkan,” kata Fazli sedikit kuat sambil menurunkan cermin tingkap keretanya. Lelaki yang disapa abang Mail itu sekadar memandangnya sambil mengerutkan dahi.
“Sayalah bang, Fazli anak pak cik Derus. Abang nak ke mana? Jom saya hantar,” sambung Fazli tersengih.
Lelaki itu tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Tanpa membalas kata-kata Fazli dia terus masuk ke dalam kereta.
“Wah, abang Mail nak memancing di mana ni?” tanya Fazli sebaik sahaja dia terlihat sebatang Joran panjang dan seberkas umpan yang dibawa lelaki tersebut.
Lelaki separuh abad itu sekadar tersengih kelat.
“Nak memancing di muara hujung itu. Kebetulan pula malam ini bulan penuh, mesti banyak ikan,” katanya.
Fazli tersenyum. Memang dia tahu lelaki di sebelahnya ini kaki pancing tegar. Sejak di bangku sekolah dia sudah mengenali abang Mail, tetapi memandangkan jarak usia jauh berbeza jadi dia tidaklah begitu rapat. Cuma yang dia tahu abang Mail memang gila memancing. Cakap sahaja di mana lokasi dan ceruk yang ada ikan. Muara, laut, sungai, parit, lombong, semuanya sudah dia jelajah.
“Nanti balik memancing jam berapa bang?” tanya Fazli memulakan perbualan. Dia tidak menjawab. Masih melemparkan pandangan ke luar tingkap.
“Err, eh…kalau banyak dapat ikan nanti baliklah..,” jawabnya perlahan seolah baru tersedar dari khayalan.
Fazli terus bertanya dengan ramah tentang pelbagai cerita yang tidak diketahuinya di kampung itu, namun abang Mail langsung tidak menjawab. Cuma sesekali sahaja nampak dia mengangguk dan menggelengkan kepala.
Walaupun sedikit pelik namun Fazli tidak bertanya sebab musababnya. Dia ambil keputusan mendiamkan diri. Takut pula kalau-kalau abang Mail bosan dengan sikapnya yang terlalu banyak mulut.
Sesekali dia menjeling ke arah abang Mail. Pakaiannya masih sama seperti dahulu. Cuma wajahnya sudah berkedut seribu dan uban yang memutih di kepalanya.
Dia terus memandu dengan tenang. Dari sinaran cahaya lampu kenderaan di hadapan sudah nampak deretan pokok kayu bakau. Menandakan mereka sudah sampai ke kawasan muara sungai.
“Okey bang, dah sampai. Selamat memancing bang. Semoga dapat banyak ikan,” gurau Fazli sambil tersenyum.
Lelaki itu tidak menjawab walau sepatah kata. Dia lantas membuka pintu kenderaan sambil membawa joran dan bungkusan umpannya. Pelik! Fazli garu kepala yang tak gatal. Namun dia berbaik sangka. Fikirnya mungkin abang Mail sedang memikirkan perkara lain yang lebih penting, kerana itulah dia tidak banyak cakap.
Fazli sampai ke rumah lebih kurang pukul 2 pagi. Dia tidak banyak berbual dengan ayah dan ibunya kerana masing-masing sudah mengantuk. Jadi dia masuk tidur. Fikirnya esok bolehlah dia bangun awal dan luangkan masa bersama mereka.
“Emak masak apa itu?” tanya Fazli sebaik sahaja dia ke dapur selepas bangun tidur. Emaknya tersenyum. Lantas mereka berbual panjang. Tidak lama kemudian muncul pula ayahnya yang baru pulang dari pasar.
“Kenapa lewat sangat sampai malam tadi? Katanya kamu bertolak lepas Maghrib?” tanya ayahnya sambil meletakkan barangan yang dibawanya di atas meja.
Fazli tersengih sambil tangannya masih menyuap sepotong kuih.
“Ikutkan saya sampai awal dah. Tapi waktu nak masuk ke simpang kampung saya terserempak pula dengan abang Mail yang nak pergi memancing. Kasihan pula saya tengok dia berjalan kaki. Terus saya hantar dia sampai ke muara,” jawab Fazli panjang lebar.
Hampir tersembur air kopi di mulut ayahnya ketika itu. Ibunya pula yang ketika itu sedang asyik menggoreng kuih di kuali terus berhenti dengan serta merta.
“Kau jumpa abang Mail dekat mana pula? Betul ke cerita kau ni Li?” tanya ayahnya inginkan kepastian.
“Iya yah, saya hantar dia sampai ke muara. Kesian pula saya tengok dia jalan seorang tengah-tengah malam itu,”
Pak Murad memandang isterinya, Mak Munah tanpa sepatah kata. Wajahnya nampak sedikit kaget.
“Sebenarnya ayah pelik Li kalau kau boleh jumpa si Mail tu,” kata ayahnya lagi sambil menghela nafas panjang.
“Sebenarnya si Mail tu dah meninggal dunia minggu lepas. Dia mati lemas waktu tengah memancing di kunci air tepi laut itu.
“Kata orang dia terjun ke laut sebab nak betulkan tali jorannya tersangkut,” kata ayahnya sambil memandang tepat ke arah Fazli.
Terkedu Fazli mendengar cerita ayahnya. Dia tidak tahu bagaimana ingin menjelaskan perkara itu. Dia terus hilang kata-kata. Jadi siapakah sosok yang ditumpangkannya malam tadi?
Dia tiada jawapan, dan tiba-tiba dia dapat rasakan tubuhnya menggigil seperti hendak demam. – Mingguan Malaysia
Betul ke kau tumpangkan abang Mail?
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 26 Jun 2022, 4:33 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm