Tengah hari itu saya diminta oleh pihak hospital untuk menghantar jenazah seorang wanita berusia lewat 50-an ke kampung halamannya di sebuah daerah utara tanah air untuk urusan pengebumian. Perjalanan saya kali ini ditemani oleh Hazli, seorang kakitangan yang bertugas di hospital tersebut.
Mengikut cerita yang saya dengar jenazah itu sudah dua minggu berada di dalam bilik mayat kerana terdapat pertikaian antara beberapa pihak berhubung status si mati yang agak mengelirukan.
Melalui beberapa sumber yang saya dengar, arwah meninggal dunia akibat mengambil bahan terlarang berlebihan ketika berparti bersama rakan-rakannya di sebuah kelab di ibu kota. Sebelum itu, arwah sihat dan ceria namun tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri lantas terus dikejarkan ke hospital.
Namun usia arwah tidak panjang. Dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Dan ketika pihak hospital ingin melakukan bedah siasat tentang punca kematian arwah, doktor yang bertugas terlihat beberapa lukisan tatu di tubuh arwah. Pihak hospital menghubungi keluarga arwah untuk memaklumkan perkara tersebut dan meminta mereka datang untuk membuat pengecaman mayat. Memang benar, setelah beberapa ahli keluarganya tiba mereka mengesahkan si mati ahli keluarga mereka.
Namun demikian pihak hospital terpaksa menangguhkan dahulu proses membawa pulang jenazah kerana tanpa disangka ada beberapa isu timbul. Antaranya sejarah arwah yang sebelum ini tinggal bersekedudukan bersama teman lelakinya yang bukan beragama Islam, jadi mereka bimbang kalau-kalau arwah sudah menukar agama.
Saya memandu perlahan dan tenang. Walaupun perjalanan kali ini agak jauh namun situasi begini sudah menjadi asam garam dalam kehidupan dan kerjaya saya. Sudah setiap ceruk rantau saya pergi berulang alik, semuanya saya lakukan dengan rasa tanggungjawab.
Saya tidak pernah bosan dengan kerjaya ini kerana setiap kali perjalanan saya ditemani oleh rakan-rakan mahu pun petugas hospital. Kadang kala bila dapat rakan peneman berperangai ‘gila-gila’ lagilah saya terhibur kerana celoteh mereka cukup menghiburkan sehingga adakalanya kami terlupa tentang jenazah yang dibawa.
Saya memasang alunan ayat-ayat suci al-Quran dalam kenderaan sambil berbual kosong dengan Hazli. Walaupun jam baru menghampiri 4 petang, namun langit di luar sudah gelap pekat. Sesekali pancaran kilat menerangi persekitaran, tanda akan hujan.
Jangkaan saya tepat. Tidak sampai 500 meter di hadapan, hujan mula mencurah dengan lebatnya. Saya pasang siren dan pegang stereng dengan kemas. Saya jeling Hazli di sebelah. Nampak dia sedang membelek-belek telefon bimbitnya. Namun tiba-tiba lamunan saya terhenti. Telinga terus menangkap bunyi gegaran kuat dari belakang. Kenderaan yang dipandu terasa bergegar dan bergoyang seakan digoncang dengan kuat oleh sesuatu.
Saya dan Hazli terhuyung hayang dalam kenderaan. Kami berpandangan. Saya lihat wajah Hazli bertukar cuak. Saya cuba tenangkan diri dan kawal kenderaan dengan kemas. Takut kalau berlaku pula perkara tidak diingini, maklumlah keadaan jalan raya juga licin ketika itu.
“Bang, kenapa pula dengan van kita ini? Macam ada sesuatu. Tayar pancit ke?” tanyanya gugup. Saya mendiamkan diri. Saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Walaupun hati tidak tenteram dan bergolak, namun saya cuba teruskan pemanduan dengan tenang. Saya berdoa agar tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Hujan masih menggila. Saya pandang ke belakang melalui cermin sisi di atas kepala saya, tiba-tiba saya terkejut. Darah serta-merta tersirap. Dalam keadaan samar-samar saya nampak ada satu sosok berambut panjang sedang duduk menghadap keranda. Jantung saya berdegup kencang. Saya beranikan diri toleh ke belakang. Sahih! Nampaknya ia bukan khayalan.
Mulut saya kumat-kamit membaca ayat suci al-Quran. Saya perasan Hazli juga meninjau ke arah belakang. Saya pasti dia juga tahu ada sesuatu yang tidak kena.
“Bang, nampak tak apa yang ada di belakang ini?” tanya Hazli lagi sedikit gugup.
Saya mengangguk. Saya sendiri keliru dengan apa yang berlaku. Saya terus genggam stereng dengan erat sambil melaungkan azan. Rasanya sudah lebih 10 tahun saya membawa van jenazah ke sana sini namun tidak pernah sekali pun saya mengalami kejadian yang menakutkan seperti sekarang ini.
Memang nampak jelas tadi, bersebelahan jenazah nampak satu sosok berambut panjang sedang duduk menghadap jenazah. Walaupun hujan di luar lebat dan bunyi guruh dan petir saling bersahutan, namun sesekali terdengar jelas bunyi isak tangisnya. Seolah sedang meratapi jenazah yang berada di hadapannya ketika itu.
Saya lihat Hazli semakin tak keruan. Wajahnya pucat lesi. Rasanya kalau saya berhentikan kenderaan pasti dia akan buka pintu dan melompat keluar.
“Sabar Li. Ini semua kerja syaitan. Kuatkan semangat dan baca apa-apa yang kau tahu. Insya-Allah Allah SWT akan lindungi kita,” kata saya lagi cuba menenangkannya.
Suara tangisan mendayu itu berlarutan hampir 10 minit. Hujan di luar juga sudah semakin reda. Alhamdulillah, tidak lama kemudian suara tangisan itu lenyap sedikit demi sedikit. Saya lencongkan kereta ke arah susur keluar di kawasan rehat dan rawat berdekatan.
Selepas menunaikan solat Asar kami berdua minum sebentar. Kami tidak berbual panjang kerana fikiran masih dihantui dengan apa yang berlaku tadi. Kami cuba mencari jawapan apa kaitan makhluk itu dengan jenazah yang kami bawa ketika itu.
Walaupun kami berdua tidak dapat mencari jawapan, namun kami berharap agar Allah SWT mengampuni setiap dosa yang pernah dilakukan arwah.
Selesai membasahkan tekak, saya dan Hazli kembali menyambung perjalanan. Alhamdulillah perjalanan kami lancar tanpa berlakunya perkara tidak diingini. Walaupun waktu perjalanan ke rumah keluarga arwah hampir dua jam lagi, namun kami masing-masing berdoa agar perjalanan kami dilindungi dan jenazah arwah selamat sampai ke kediaman keluarganya untuk disemadikan. – Mingguan Malaysia
Sosok aneh ratapi jenazah
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 29 Mei 2022, 4:07 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm