MAMPUKAH pemilihan PKR mengembalikan semula kekuatan parti itu yang pernah memiliki komposisi teramai dalam Dewan Rakyat?
PKR bukan ‘kecik anak’. Waktu pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14), parti itu merajai 50 kerusi Parlimen, sambil disertai DAP (42), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (26), Parti Amanah Negara (11) dan Parti Warisan Sabah (9). Malangnya semua itu dihancurkan sekelip mata oleh Langkah Sheraton 24 Februari 2020 yang membawa 11 ahli keluar parti diketuai satu dua orang kuat presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pepatah Cina menyebut, ‘yang menang jadi raja, yang kalah jadi penjahat’ (chengzhe wei wang, baizhe wei kou)’. Pepatah ini sering digunakan dalam konteks penulisan sejarah. Sejarah sering ditulis pihak yang menang dalam perang merebut kuasa. Maka yang menang itu diagung-agungkan dan yang kalah dicerca semahunya.
Adakah PKR parti yang kalah sebagaimana disebut pepatah Cina itu? Atau kalah dek salah percaturan oleh pemimpinnya?
Kalau dibentang atas kertas, Anwar selaku presidennya sendiri sudah salah kira. Sepatutnya pada Julai 2019 atau lagi awal Mei 2018, sudah boleh dia buat perkiraan. Entah macam mana agaknya Anwar terlena dengan hayunan orang itu.
“Jangan gaduh, akan dapat tu. Kita dah buat keputusan, kita akan serahkan. I will transfer the power to you.”
Dia punya buaian itu boleh dikira 11 kali. Tetapi sudah menjadi rahsia umum jawatan Perdana Menteri kelapan itu tidak akan diberikan kepada Anwar secara normal. Kalau begitu, kenapa Anwar tidak terasa? Dengan kebijaksanaan yang meluas dengan perjuangan begitu hebat, retorika yang berapi tidak dapatkah mengesan?
PAKSA
Ada beberapa ketika Pakatan Harapan waktu itu sebenarnya boleh memaksa jawatan itu diberi kepada Anwar, tapi kenapa tidak boleh dilakukan? Tahun 2019, presiden council bermesyuarat, malah di situ dibayangkan PM ke-7 kena turun. Tak pasti apa yang dibincangkan dalam perjumpaan itu sehingga menyebabkan Anwar sendiri lembutkan diri hingga tidak dapat jawatan nombor satu itu. Ia teka-teki yang sangat besar. Tetapi kita orang Melayu Islam mengatakan itu bukan rezekinya.
Lebih awal dari itu, bukankah pada malam 9 Mei 2018 kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang merupakan waktu terbaik untuk Anwar menjadi Perdana Menteri kerana PKR memiliki kerusi Parlimen terbesar dalam PH? Masa itu pun kerusi Bersatu masih kecil bila menang PRU (13 kerusi), maka sepatutnya isteri Anwar selaku presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terus sahaja mengadap Yang di-Pertuan Agong. Itu sepatutnya. Tapi ramai tidak tahu kenapa Wan Azizah tidak berbuat begitu.
Walaupun sehingga hari ini masih belum menjawab persoalan utama mengapa Anwar tidak boleh menjadi PM, namun mungkin kerana disebabkan rekod beliau di mahkamah sebagai seorang insan dengan segala penglibatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam kes Anwar pertama. Dengan itu sahaja, impaknya cukup besar kepada Dr. Mahathir. Ingatan PM4 dan PM7 itu kepada Anwar tidak habis-habis. Yang kedua, ketidakpercayaannya itu kita fikir hanya beliau sahaja tahu.
Selepas kegagalan meletakkan diri dalam posisi PM itu, PKR terus merudum. Bukan sahaja gagal memenangkan PH dalam siri pilihan raya kecil utama, bahkan dipukul teruk dalam empat pilihan raya negeri.
Dalam PRN Sabah 26 September 2020, PKR cuba menuntut sehingga 14 kerusi daripada Warisan Plus untuk ditandingi. Diberi cuma tujuh, tetapi sekadar menang dua kerusi. Tanggal 20 November 2021 muncul pilihan raya Melaka. PKR tewas di semua 11 kerusi ditandingi, termasuk tiga yang dimenangi dalam PRU14. Di PRN Sarawak 18 Disember 2021 dan Johor 12 Mac, PKR terus kuyup. Kalah teruk.
Benarlah seperti mana judul lagu que sera sera, dendangan Doris Day, penyanyi Amerika Syarikat pada 1956 itu, yang sering diungkapkan oleh Anwar bahawa “masa hadapan di luar kawalan” presiden PKR itu. Bukan sahaja Anwar tersungkur walaupun sebelah kaki sahaja untuk ke Putrajaya sebagai PM8, partinya PKR pun ikut jejak langkahnya sama.
Begitupun, Anwar tidak boleh dipersalahkan. Beliau juga insan biasa yang ada hati dan perasaan – setia, polos dan berpegang kepada janji bab PM8 itu.
PENYAKIT
Sesekali saya teringat pesanan orang lama – seorang ahli politik tidak boleh kelihatan `terlalu pandai’ sehingga ketua yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak. Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini. Tetapi orang yang tidak mempunyai persepsi klasik Itali ini tidak akan bertahan lama dalam politik.
Dalam politik, bukan sahaja orang PKR, malahan sesiapa dalam bidang ini pun harus menghindari empat penyakit lazim yang sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa.
Empat penyakit tersebut ialah atau delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan. Hakikatnya, parti yang lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri.
Pertama, penyakit delusion kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan.
Kedua, penyakit amnesia kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal. Ketiga pula, penyakit inertia yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan.
Seterusnya pula, yang keempat, adalah penyakit arrogance yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai. Sesungguhnya, semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan berasa menyampah.
Tidak dapat tidak, keempat-empat gejala penyakit ini perlu dielak, dibuang jauh dan dikikis sebelum rasa sayang berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, sokongan menjadi penentangan.
Untuk bangun kembali, mana-mana parti politik pun mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten. Barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan.
Hakikat dan realitinya bukan mudah sebenarnya untuk membina sebuah parti politik macam PKR. UMNO sendiri untuk mencapai usia sejauh ini terpaksa menongkah penuh getir arus persada politik negara. Dan ada parti yang baru setahun jagung tetapi lagaknya sudah bertahun-tahun dalam arena sehingga menenggelamkan parti senior.
Ada pula kerana dek keterujaan menubuhkan parti sampaikan sanggup `mencuri’ hak orang lain.
Kesemua ini kerana begitu ghairahkan kuasa dan mengejar laba pilihan raya.
PRU15 adalah titik penentu kepada destini rakyat dan negara. Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak.
Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.
Inilah cabaran yang harus diharungi mana-mana ahli politik dalam era Malaysia Baharu ini.
Apa lagi dalam kemelut politik hari ini, yang masing-masing ahli politik termasuklah Anwar dan PKR kena pandai bawa diri – ibarat kucing yang memiliki sembilan nyawa. – Mingguan Malaysia