JIKA kes Covid-19 terus terkawal tanpa ada sekatan perjalanan, dijangkakan lebih banyak yang pergi bercuti sama ada dalam atau luar negara pada tahun ini.
Malah setakat ini beberapa pakej yang dijual juga bagaikan ‘pisang goreng panas’ terutama bagi ke destinasi seperti Turki dan negara Eropah lain.
Mungkin segelintir daripada kita beranggapan ini adalah masa terbaik untuk bercuti selepas dua tahun tidak ke mana-mana.
Maklumlah beg yang selalu digalas ke hulu hilir sebelum ini juga sudah berkulat akibat terperap lama tanpa ke mana-mana.
Dalam kita semua merancang percutian, jangan dilupa ada perkara yang perlu diambil berat terutama berkaitan perlindungan insuran perjalanan yang sudah semestinya terdapat sedikit penambahan susulan penularan wabak Covid-19.
Walaupun pada asasnya polisi insurans sama sebagaimana sebelum Covid-19, ada beberapa perkara dan penambahan yang perlu dikaji secara terperinci oleh setiap individu yang mahu mengembara dan mengambil pelan perlindungan.
Setiap polisi ada tawarannya. Bukan niat saya untuk menjadi jurujual produk insurans. Tetapi melihat pada keadaan semasa yang tidak menentu, adalah lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga. Kalau di negara sendiri, bolehlah juga menagih bantuan sesiapa. Tapi di negara luar, siapa yang ada? Di tambah pula dengan kos perubatan yang menggila.
Ada beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira apabila membeli produk insurans yang menawarkan perlindungan Covid-19 ketika bercuti dan mengembara.
Antara perlu diberi perhatian sebelum polisi insurans sesuai adalah:
1. Teliti setiap pelan
Setiap pengembara perlu mencari produk insurans perjalanan yang melindungi perbelanjaan yang tidak boleh dikembalikan sekiranya terpaksa membatalkan perjalanan disebabkan Covid-19.
Selain itu, perlu dingatkan setiap polisi yang ditawarkan juga harus melindungi perbelanjaan rawatan perubatan kecemasan dan pengangkutan perubatan akibat virus tersebut selain kemasukan ke hospital serta tempat kuarantin.
2. Negara yang dilindungi
Dapatkan maklumat tepat sama ada negara yang anda dikunjungi itu dilindungi di bawah polisi insurans yang dibeli. Selain itu, ada negara yang mewajibkan setiap pengembara mendapatkan polisi insurans sendiri dan perlu mengemukakan bukti sebelum memasuki negara berkenaan. Paling penting setiap pengembara juga perlu mendapatkan maklumat tepat sama ada polisi yang dibeli merangkumi negara persinggahan sewaktu dalam perjalanan atau dalam erti kata lain ketika ‘connecting flight’.
3. Siapa yang dilindungi
Selain dua perkara yang dinyatakan sebelum ini, ada satu lagi perkara penting sebelum membeli polisi insurans perjalanan yang menyediakan perlindungan Covid-19. Persoalan penting adakah seseorang itu dilindungi untuk kos pembatalan perjalanan jika rakan atau saudara rapat yang berada di rumah sakit akibat Covid-19 dan anda perlu pulang lebih awal daripada pelan atau tarikh asal. Selain itu, adakah polisi insurans dibeli turut melindungi anda sekiranya dijangkiti Covid-19 daripada rakan serumah? Bagaimana pula jika tempat penginapan atau syarikat pelancongan yang dipilih terpaksa membatalkan percutian itu akibat jangkitan virus tersebut?
4. Pakej pelancongan yang dilindungi
Sekiranya memilih percutian di atas kapal mewah selama beberapa hari bersama ramai pelancong lain, ia kemungkinan tidak dilindungi di bawah pelan insurans perjalanan anda. Justeru perlu dilihat pada setiap sudut dan dapatkan nasihat perunding insurans. Mungkin lebih baik anda ceritakan terperinci jenis percutian yang bakal ikuti.
5. Larangan kerajaan
Apabila membeli insurans perjalanan, kita dalam masa sama perlu melihat sama ada pelan itu dilindungi bagi tuntutan yang disebabkan larangan perjalanan oleh kerajaan, penutupan sempadan atau keperluan kuarantin diri mandatori di destinasi pilihan.
Justeru, perjalanan dalam tempoh pandemik bermakna kita semua perlu bersedia dengan segala kemungkinan termasuk gangguan dalam tempoh berkenaan.
Malah beberapa perkara lain juga perlu diambil kira seperti tempahan tiket penerbangan dan hotel yang lebih fleksibel untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.
Walau apapun, merancang perjalanan mampu membuatkan kita semua bersedia dan paling penting sekiranya terjadi perkara tidak diingini, ia mampu diselesaikan dengan lancar. – KOLUM REDAH/MINGGUAN MALAYSIA