SIAPAPUN yang memiliki kuasa politik hari ini, survivalnya barangkali bergantung kepada tindak tanduk politiknya sendiri.
Inilah dikatakan politik itu melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam. Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.
Politik bersandar kepada sentimen dan perasaan orang ramai selain ketokohan dan keupayaan pimpinan seseorang. Selagi orang ramai dapat menghayati dan merasa diperintah dengan jujur dan bermanfaat, selama itulah politik sesuatu kumpulan, waima pemimpin itu sendiri diterima dan disokong.
Lantas saya teringat kisah seorang pemimpin masa lepas dari negara di selatan tanah air. Tahun 60-an, Perdana Menteri Lee Kuan Yew semacam ‘harimau berantai’ pada masa itu dalam erti kata garang, cepat dan berkesan.
Beliau betul-betul memerintah secara hands on, yakni mengambil tahu tentang semua perkara dan mengatasi apa sahaja masalah yang timbul. Azam pimpinannya untuk survive cukup tinggi.
Begitu juga para menterinya seperti S. Rajaratnam (Menteri Luar), Goh Kheng Swee (Pertahanan), W. Barker (Undang-Undang) dan Toh Chin Chye, Naib Canselor Universiti Singapura yang lama berganding dengan Kuan Yew melalui People’s Action Party (PAP) yang juga dikenali dengan panggilan Petir.
PROLETARIAT
Pada 1969, republik itu baru empat tahun keluar dari gagasan Malaysia setelah Tunku Abdul Rahman menyisihkannya daripada Malaysia. Kuan Yew berjaya mewujudkan imej proletariat di kalangan pemimpin PAP seperti memakai baju kemeja putih. Dalam ucapan-ucapannya, beliau sentiasa menyelitkan daya saing dan daya survival dengan ujaran perkataan-perkataan seperti “produktiviti”, warga Singapura yang cekal dan dinamik, “jangan berkeluarga besar”, “berjimat cermat” dan gesaan-gesaan perjuangan ala sebuah masyarakat yang terhimpit. Beliau menaruh keyakinan kepada kemampuan berfikir dan bertindak secara survival warga pulau yang serba-serbi kekurangan.
Singapura dalam penghujung tahun 1960-an baru hendak menggalakkan tanaman bunga. Dasar “garden city” sedang dipopularkan di merata pulau itu. Berita rakyat mencuri bunga masih lumrah ketika itu kerana amat mudah bagi pihak-pihak tertentu mencuri pasu bunga yang disusun di tepi jalan. Tetapi dengan pelaksanaan undang-undang yang tegas, ‘curi bunga’ dapat di atasi dengan cepat. Begitu juga pelaksanaan undang-undang antisampah.
Orang selalu kata lantaran Singapura kecil, maka mudah bagi pihak berkuasa mengambil tindakan dengan tegas dan cepat. Boleh jadi betul begitu tetapi ada melihat dari dekat sistem yang dijalankan mendapati bahawa budaya menghormati undang-undang diamalkan terus-menerus. Mula-mula, rakyat agak liat menerima dasar tegas itu, tetapi lama-kelamaan dasar itu menjadi sebahagian cara hidup yang diterima pakai.
Rejimentasi masyarakat dijalankan Kuan Yew dan pentadbirannya bersama social engineering yang tak putus-putus. Mesej yang disematkan ialah bahawa Singapura dengan penduduknya yang tidak sampai dua juta ketika itu bergantung kepada kuasa otak dan kerajinan warganya.
“Majulah Singapura” yang dicipta Zubir Said itu benar-benar diamalkan. Parti pemerintah, PAP yang mengamalkan dasar sosialis sebenarnya kelihatan cukup sederhana dalam serba-serbi bidang dan lapangan. Pemimpin tidak act atau beraksi dengan pakaian atau kereta mewah. Pakaian kemeja putih merupakan simbol mudah dan bersih. Justeru, disiplin hidup yang tinggi diutamakan.
Pegawai awam yang rasuah atau yang `berbau’ rasuah dihadapkan dengan cara tersendiri atau pemerintah supaya diketepikan. Rasa takut dan rasa malu merupakan ganjaran kepada konsep kerajaan bersih yang utama. Supremacy atau keagungan pemerintahan PAP tidak dapat dinafikan kerana pemerintahannya terasa dan dirasai hingga ke pinggan makan dan bilik tidur.
Menjelang tahun 1970 pula, dasar memindahkan perkampungan orang Melayu dimulakan dengan tegas. Mereka diarah supaya pindah ke kawasan-kawasan tertentu di pulau itu untuk menduduki flat yang disediakan oleh HDB (Housing Development Board) Singapura. Mula-mula memang ada bantahan tetapi tidak seberapa. Suara Melayu kian lama kian mengecil kerana mereka sentiasa diasingkan.
Dasar pecah-pecah perintah bukan hanya Inggeris yang melakukannya. Dari segi politik, musuh akan sukar menentang jika mereka dipecahbahagikan mengikut kawasan yang diasingkan.
TINDAK TANDUK POLITIK
Itu secebis kisah pengalaman awal waktu bertatih Singapura, yang kita semua saksikan hasil mengagumkan hari ini – Singapura antara pelabuhan, pendapatan per kapita dan bandar termahal dunia.
Begitulah politik sebagai satu aliran jaluran dan perjuangan hidup harus mengambil imbasan dan teladan daripada alam sekeliling serta segala pengalaman manusia untuk mencapai kesejahteraan hidup.
Kuasa diraih melalui suara golongan majoriti, tidak kira tipis satu atau dua kerusi, tetapi apabila kuasa diperoleh, perimbangannya mesti dicari. Puak minoriti juga perlu dipejuangkan hak dan nasib mereka agar tidak terpinggir.
Pemimpin mesti ada iltizam politik yang berani. Diakui, proses ini lebih mudah dikatakan, tetapi sukar dipraktikkan. Tiada pensyarah politik, walau bagaimana melangit sekalipun ilmu kajian sains politik yang dipelajarinya, yang upaya mengajar ilmu politik sedalam dan seluas pengalaman yang telah dialami oleh seseorang pengamal politik.
Memikirkan sejarah awal Singapura, terdetik kita hari ini satu soalan:
Kalaulah Tunku Abdul Rahman tidak mengalah apabila disergah oleh Kuan Yew pada tahun 1965, pulau itu mungkin masih kepunyaan Malaysia hari ini. Buat apa serambil rumah diberikan kepada orang yang hanya menyewanya mentang-mentang si penyewanya garang dan pintar?
Bahawa sejarah memang diubah oleh tindak tanduk politik adalah suatu kenyataan. Modal pemimpin adalah diri sendiri?
Adakah barangkali sejarah parti yang berkuasa lebih enam dekad di negara ini setelah tumbang 9 Mei 2018, boleh dinyala kembali? Politik – the art of the possible atau seni kemungkinan. – Mingguan Malaysia