MINGGU lalu, selepas seminggu berhari raya banyak kedai makan Melayu masih tutup. Sudah hendak masuk dua minggu pun ada yang masih belum beroperasi lagi.
“Rakyat Kelantan, tak reti-reti balik KL ke? Kedai Tom Yam bila nak buka?”
– Itu status saya baca dalam media sosial.
Ini menjadikan restoran mamak sesak dan ada yang terpaksa tutup awal tak sampai pukul 10 malam kerana bahan makanan sudah kehabisan.
Restoran makanan segera pun begitu juga. Yang tak popular sebelum ini pun penuh. Yang ada khidmat pandu lalu, kenderaan beratur panjang berjela.
Dan ada juga mengaitkan kesesakan luar biasa restoran ini dengan ‘penangan’ pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 itu? Orang lebih suka makan di luar. Baru dapat wang, mood memasak jadi kurang. Betulkah?
Iyalah, sudah seminggu berhari raya, mana larat hari-hari makan rendang, kuah kacang, ketupat dan lemang. Masa inilah tercari-cari semula nasi lemak dan kuih muih untuk bersarapan atau tom yam, siakap tiga rasa untuk makan tengah hari atau malam tetapi itulah restoran Melayu banyak yang masih tutup.
Kalau boleh nak tutup sebulan
Jumaat pagi pada minggu pertama raya sebelum ke pejabat saya bersarapan di sebuah restoran mamak di Seksyen 9, Shah Alam. Dalam restoran cukup padat walaupun masih ramai lagi ‘beraya’ di lebuh raya ketika itu untuk pulang ke kota.
Mana datang semua ini? Tak balik kampungkah atau tak ada kampung? Tanya saya dalam hati.
“Nasib baik ada kedai mamak. Kedai Melayu mahu lebih seminggu tutup ini,” kata seorang lelaki yang duduk bersebelahan meja saya kepada kawannya.
Kalau boleh nak tutup sebulan, sambung kawannya itu.
“Orang Melayu ini tak pandai ambil kesempatan. Suka cuti lama-lama. Jalan sana sini.
“Waktu operasi pun tak seperti mamak, belum pukul 10 malam dah kalut nak tutup,” kata lelaki itu lagi.
Kalau buat macam kedai mamak, mesti sentiasa penuh. Terutamanya pada sebelah malam, lebih-lebih lagi ada EPL (Liga Perdana Inggeris), tambahnya.
Peniaga Melayu sudah untung?
Dalam hati saya berkata, mungkin mereka sudah dapat banyak untung semasa Ramadan lalu. Jualan di bazar Ramadan tinggi dan restoran sentiasa penuh untuk berbuka puasa.
Bila sudah untung, mereka reward diri sendiri dengan cuti yang panjang pada hari raya. Agaknyalah.
Cerita pasal kedai mamak ini, saya teringat kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan dalam wawancara di akhbar ini awal Januari lalu.
Katanya, restoran mamak di negara ini memerlukan kira-kira 10,000 pekerja tempatan pada waktu itu berikutan pekerja mereka yang pulang bercuti ke India tidak dapat kembali semula ke negara ini kerana polisi kerajaan yang mengawal pekerja asing ketika ini.
Bagaimanapun agak sukar mendapat pekerja tempatan kerana rakyat di negara ini lebih suka bekerja di restoran makanan segera walaupun pihaknya menyediakan makan minum sehingga tiga atau empat kali sehari selain tempat tinggal.
Iyalah, ramai yang tidak tahan bekerja di restoran mamak kerana mungkin waktu bekerja yang panjang dan tiada syif. Hari cuti tidak menentu. Pelanggan pula tak putus-putus keluar masuk.
Tengok kedai mamak yang padat siang malam sejak seminggu dua raya ini, kita yang tengok pun boleh jadi letih. Inikan pula yang bekerja di situ.
Tetapi kalau bayar gaji yang tinggi walaupun penat, berbaloilah. Tentu ramai rakyat tempatan yang sanggup bekerja di situ.
Dan tempat tinggal yang bersesak-sesak lebih 10 orang dalam satu rumah, ia bukanlah satu kemudahan yang boleh menarik rakyat tempatan bekerja di situ.
Bekerja di kedai makan memang penat. Penat bekerja itu satu hal, melayan kerenah pelanggan yang macam-macam perangai pun satu hal juga.
Berbaloikah buka sampai subuh?
Tiba-tiba lelaki di sebelah saya memanggil pekerja di situ sambil menunjukkan gelas minumannya, minta teh tariknya dikurangkan manis. Boleh potong kaki, katanya.
“Malam ini ada game EPL, kita datang nanti tengok di sinilah,” katanya.
Dalam hati saya, kalau buka sampai subuh pun, pelanggan hanya pesan segelas teh tarik duduk situ dari malam sampai ke subuh. Dah jadi macam markas mereka pula. Berbaloikah? Mana nak datang untungnya?
Agaknya sebab itu kedai makan Melayu tak mahu ikut waktu operasi macam restoran mamak. Letih mahu tunggu pelanggan begini.
Iyalah bersembang berjam-jam. Guna kemudahan wi-fi dan tengok TV tetapi pesannya hanya segelas teh tarik atau teh o.
Lebih baik tauke tutup kedai pukul 10 malam, jimat sikit elektrik dan balik berehat. Esok meniaga lagi. Satu hal pula nak layan si kutu embun. Tak begitu?
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.