Apa khabar YB semua? Sudahkah diperiksa buku rekod perkhidmatan untuk ditunjukkan kepada rakyat di kawasan masing-masing? Sudahkah tertunai semua manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu? Adakah KPI sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat tercapai? Pernahkah dijalankan kajian bagi mendapatkan maklum balas tentang prestasi dan kualiti perkhidmatan daripada rakyat? Semua pertanyaan ini perlu dijawab sebab PRU-15 semakin hampir. Jika belum, apa lagi yang hendak ditunggu? Buatlah persiapan untuk menilai KPI masing-masing.
Dalam tempoh berbaki setahun bagi penggal PRU-14 adalah wajar bagi semua YB menilai KPI mereka. Ini kerana desakan semakin kuat kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen setelah BN berjaya menguasai DUN Melaka dan Johor.
Jika YB sedia ada berhasrat bertanding semula dalam PRU-15, mesti ada idea-idea awal untuk dikemukakan dan jadi intipati dalam manifesto PRU-15. Hal ini dapat dibuat jika ada kajian tinjauan dilakukan. Carilah pakar dan perunding yang boleh menawarkan perkhidmatan ini. Kajian tinjauan juga boleh membantu mengenal pasti keperluan dan permintaan rakyat dalam kawasan berkenaan untuk ditunaikan sebelum PRU-15.
Negara ini dilanda banyak krisis. Pertama, krisis kepimpinan. Penyandangan jawatan Perdana Menteri sudah bertukar tiga kali. Ia berpunca daripada gejala melompat parti yang tidak dapat dikawal. Sebabnya, tidak lagi menyokong kepimpinan yang ada. Rang undang-undang anti lompat parti belum dibentang di Parlimen. DUN Melaka dan Johor dibubar kerana isu yang sama dan pengundi perlu memberi mandat baru bagi menentukan parti politik yang boleh berkuasa.
Kedua, pakatan politik sangat rapuh. PH muncul sebagai pengganti kepada BN yang awalnya dilihat sebagai pakatan politik yang kuat, tetapi hanya berkuasa selama 22 bulan sebelum Perikatan Nasional (PN) dibentuk. PN dibentuk pun melalui aktiviti melompat parti.
Dalam PN sendiri pula sudah dipimpin dua orang Perdana Menteri. Dalam PRU-15 bagaimanakah pula keadaan politik? Jelasnya politik nasional tidak stabil. Jadi, apakah tanggungjawab dan peranan wakil rakyat?
Ketiga, isu ekonomi. Rakyat berhadapan dengan isu kenaikan harga barangan keperluan harian yang ketara. Stok barangan pula tidak menentu di pasaran hingga menyusahkan rakyat. Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, majoriti rakyat mengalami kesukaran. Ada hilang mata pencarian, dibuang kerja, tiada pekerjaan dan sebagainya. Ini belum lagi disentuh tentang pengangguran dalam kalangan siswazah yang ada hutang perlu dibayar. Peluang kerja sangat kurang dan persaingan begitu tinggi. Dalam isu-isu ini, apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh wakil rakyat?
Ada sebilangan wakil rakyat begitu aktif membantu rakyat dalam kesusahan seperti dilanda banjir, kematian dan kebakaran tetapi secara majoritinya tidak menyerlah.
Sepatutnya YB khususnya daripada parti kerajaan menyerlah dalam membantu rakyat dan seterusnya mencapai KPI mereka. Jika rakyat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan, wakil rakyat itu mempunyai peluang yang besar untuk dipilih semula dalam PRU-15.
Keempat, krisis sosial dan keselamatan awam. Di merata-rata tempat, berlaku kes penyalahgunaan dadah dan pelbagai lagi masalah sosial seperti kecurian, pecah rumah, ragut, rompakan dan judi. Walaupun kerajaan dan agensi-agensi berkenaan sudah berusaha sebaik mungkin memerangi setiap masalah sosial ini, tetapi kadarnya tidak menunjukkan penurunan. Misalnya, kes penyalahgunaan dadah semakin banyak dan sudah mula melanda pelajar sekolah. Kebanyakan terlibat dengan dadah jenis syabu termasuk menghidu gam dan ketagih air ketum.
Dalam isu ini, di manakah wakil rakyat kita? Adakah YB mengharapkan agensi seperti AADK dan PDRM semata-mata untuk bertindak? Di pihak wakil rakyat, mesti ada usul dan cadangan yang boleh dibahaskan di Parlimen dan DUN serta melalui mesyuarat bersama komuniti di kawasan masing-masing bagi memerangi banyak masalah sosial, jenayah dan keselamatan.
Sebagai penggubal undang-undang, wakil rakyat mesti berani bersuara dalam isu dan masalah rakyat. Bagaimanakah YB boleh bersuara? YB ada kuasa iaitu kuasa lembut, kuasa keras dan kuasa pintar (soft power, hard power and smart power). Kuasa lembut boleh dipraktikkan melalui kedudukan YB sebagai wakil rakyat dan perwakilan dalam Parlimen dan DUN – mesti berani bersuara.
Jika kuasa lembut tidak berkesan, YB boleh guna kuasa keras. Ia lebih kepada ancaman. Contohnya, melompat parti jika suara tidak didengari. Atau, meletak jawatan beramai-ramai sebagai wakil rakyat hingga kerajaan yang disokong itu tumbang.
Ini adalah pendekatan menang-kalah (win-lose). Di luar negara, pemimpin pembangkang kerap bersama rakyat seperti melakukan mogok, demonstrasi, berpiket dan rapat umum untuk mendesak kerajaan. Di Malaysia, beranikah YB berbuat demikian? Hendak bersuara dalam Parlimen pun bimbang takut dikenakan tindakan oleh Whips parti jika tidak sehaluan dengan matlamat utama parti.
Pilihan lain menggunakan kuasa pintar. Wakil rakyat boleh mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi kerajaan untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. Contohnya, jika harga ayam naik, apakah tindakan YB melalui kuasa pintar? Di sini boleh diadakan perundingan dan tawar menawar serta menjalinkan kerjasama dengan persatuan dan kumpulan penternak ayam dalam mencari penyelesaian.
Keputusan dicapai itu boleh disampaikan kepada kerajaan mahu pun dibahaskan dalam Parlimen. Jadi, penggunaan kuasa pintar itu adalah pendekatan menang-menang (win-win). Kedua-dua belah pihak boleh mencapai apa yang diingini, di mana rakyat dapat hidup dalam keadaan selesa, harmoni dan selamat.
Jadi, dalam baki penggal PRU-14 ini, wakil rakyat mesti menilai pencapaian KPI masing-masing. Jika semua senarai dalam buku perkhidmatan sudah dilakukan, adakah KPI yang digariskan telah dicapai?
Justeru, dalam tempoh ini, ia adalah ruang terbaik kepada setiap wakil rakyat menjalankan kajian dan penelitian terhadap pencapaian KPI mereka. Ini penting jika YB masih bercita-cita untuk bertanding dan memenangi kerusi dalam PRU-15.
DR. MALIKE IBRAHIM ialah Perunding Kanan MB Global Political Analysis and Academic Consultancy.