BANYAK negara yang sudah buka pintu sempadan negara masing-masing selepas kes Covid-19 menunjukkan penurunan.
Kanada antara negara yang menerima kemasukan rakyat dari negara lain dan sehingga artikel ini ditulis, kemasukan dibenarkan untuk mereka yang telah lengkap vaksinasi.
Tidak terkecuali Malaysia dan ini antara peluang terbaik bagi mereka yang mahu memulakan langkah semula untuk mengembara.
Biarpun dengan peningkatan harga barangan keperluan asas yang menggila, apa salahnya negara ini dimasukkan dalam senarai impian anda.
Setidak-tidaknya ada juga motivasi setiap pagi sebelum memulakan kerja.
Sebenarnya, pengalaman saya ketika mengembara di Kanada sebelum ini sudah cukup membuatkan saya mampu tersenyum seorang diri.
Ada pelbagai cerita di sepanjang perjalanan dan ada beberapa tips yang saya boleh kongsikan.
Sekiranya ada yang mula merancang mahu melawat ke negara ini, ada beberapa perkara dan tempat menarik yang perlu diambil kira antaranya:
1 Vancouver
Kalau mahu mendapatkan harga tiket yang agak murah, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Vancouver antara yang berbaloi jika dibandingkan ke Toronto kerana harga yang lebih murah. Cuma beberapa kos agak tinggi seperti penginapan dan makanan. Namun percayalah, Vancouver antara tempat yang berbaloi dan mempunyai pelbagai aktiviti seperti mendaki lebih-lebih lagi di Vancouver Island serta Whistler (popular ketika musim sejuk) yang agak terkenal. Satu lagi sekiranya anda ingin menerokai bandar Vancouver cukup sekadar menggunakan pengangkutan awam yang lebih efisien disamping murah.
2 Banjaran Rockies
Ketika pengembaraan di Kanada, saya memulakan perjalanan dari Vancouver dan seterusnya ke Banjaran Rockies yang begitu cantik. Malah anda akan melepasi beberapa kawasan hijau, sungai dan tasik serta kebun epal antaranya di Okanagan, Penticton dan Kelowna sebelum tiba di Banff. Wajib menginap beberapa hari di sini kerana ada banyak lagi tarikan lain seperti Tasik Moraine, Tasik Louise dan Tasik Minnewanka.
3 Okanagan
Saya sempat singgah di Okanagan. Ketiga-tiga kawasan ini terletak berdekatan antara satu sama lain dan merupakan kawasan penanaman anggur, pic dan epal serta kawasan yang popular dengan pembuatan wine. Apa yang menarik adalah kawasan sekitarnya begitu cantik dengan dikelilingi tasik yang begitu luas.
Pada saya kawasan ini sangat menarik seolah-olah berada dalam kawasan gurun yang subur dengan dikelilingi kebun anggur dan buah-buahan. Selain itu, apa yang saya perhatikan di sini cara mereka mengurus ladang dan kawasan tanaman yang agak teratur.
Cukup sekadar khemah sekiranya anda mahu berhenti dan menginap di kawasan terbabit. Sekiranya datang bersama keluarga, ada baiknya membuat tempahan di ‘campsite’ tertentu yang mempunyai banyak kemudahan.
4 Calgary
Saya singgah di bandar ini hanya untuk dua hari sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke Toronto. Calgary tidaklah sesibuk Vancouver. Dalam tempoh persinggahan, tidak banyak saya lakukan aktiviti. Antara perkara yang saya lakukan adalah melawat ke Menara Calgary yang memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat bandar tersebut 360 darjah. Dengan ketinggian 1,228 meter, ia sudah cukup membawa anda melihat pemandangan keseluruhan bandar ini dari sudut pandangan atas.
5 Air terjun Niagara
Perjalanan dari bandar Toronto ke air terjun ini lebih kurang empat ke lima jam dengan menaiki bas. Jadi anda memerlukan sehari suntuk untuk trip ini. Air terjun Niagara boleh dilawati sama ada melalui Toronto atau New York, Amerika Syarikat (AS). Tapi pemandangan paling cantik adalah dari Kanada kerana anda akan ‘menghadap’ air terjun ini dan bukannya melihat daripada arah belakang.
Justeru, ini antara tempat yang perlu dimasukkan dalam destinasi impian anda supaya usaha boleh dimulakan dari sekarang.
Anggaran kos perjalanan keseluruhan untuk beberapa minggu tidak dapat dipastikan kerana saya berada di sana tiga bulan.