'Kenapa panas sangat van ini?' - Utusan Malaysia

‘Kenapa panas sangat van ini?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VAN jenazah meluncur masuk ke dalam garaj di pekarangan masjid. Sebaik sahaja parkir ditempat yang disediakan Halim membuka pintu sambil menggeliat perlahan.
“Saya balik mandi dululah. Panas, berpeluh badan ini,” katanya kepada saya seraya menuju ke arah motosikalnya.
Saya mengangguk lalu mengucapkan selamat tinggal. Enjin van belum saya matikan saya tekan butang radio, suara alunan bacaan ayat suci al-Quran terus berkumandang.
Lantas saya pusing butang penghawa dingin. Serta merta deruan angin sejuk menampar muka.
“Eh, tak rosak pun,” getus saya dalam hati.
Saya tutup kembali radio dan penghawa dingin. Lantas saya cuba buka sekali lagi. Nampak semua berfungsi dengan baik. Saya garu kepala yang tak gatal.
“Sejuklah pula, tapi tadi…” congak saya sendirian.
Sebelum sempat menghabiskan kata-kata tersebut, fikiran saya terus menerawang tentang kejadian yang berlaku sebentar tadi.
————
Sepanjang masuk ke rumah arwah banyak kenderaan sudah memenuhi kiri dan kanan jalan. Keadaan jalan sempit itu sedikit sebanyak menyukarkan perjalanan saya. Sudahlah begitu sampai sahaja di hadapan rumah arwah beberapa kenderaan pula menghalang jalan masuk. Lantas saya minta kenderaan tersebut dialihkan supaya van jenazah boleh masuk ke pekarangan rumah.
Sebaik masuk ke dalam rumah saya lihat sekeliling. Rumah tersebut cukup besar dan indah. Nampak perabotnya yang mahal menghiasi ruang tamu. Memang sepadanlah dengan kedudukan arwah yang cukup berpengaruh dan dikenali ramai.
Saya diberitahu arwah seorang broker hartanah yang berjaya. Tetapi cerita yang tidak enak didengar arwah kononnya tidak suka bercampur gaul dengan penduduk di taman tersebut. Entahlah, saya tidak berani nak komen kerana tidak mengenali arwah. Saya hanya kenal namanya sahaja.
Saya jeling di ruang tamu. Lihat jenazah arwah sudah siap dikafan dan disembahyangkan. Setelah berurusan dengan beberapa warisnya, kami bersama-sama mengangkat keranda masuk ke dalam van.
“Ada sesiapa ahli keluarga hendak naik sekali ke?” tanya saya kepada mereka.
Isteri arwah lantas ke hadapan, menawarkan diri. Anak-anak lain tidak menjawab, malah salah seorang memberitahu saya yang mereka akan mengekori dengan kenderaan masing-masing. Saya angguk kepala tanda faham. Iyalah, saya tahu mereka semua berkereta besar mana mahu menumpang van jenazah buruk ini, fikir saya dalam hati.
Saya dan Halim memulakan perjalanan. Ikut perkiraan kami jika tiada kesesakan dalam 30 minit sampailah ke tanah perkuburan. Tidak sampai lima minit memandu, tiba-tiba isteri arwah memanggil saya.
“Panaslah. Boleh kuatkan aircond sikit tak?” katanya kepada saya sambil mengelap peluh di dahinya.
Saya toleh ke arah punat penghawa dingin di kenderaan.
“Dah habis kuat ini Datin,” kata saya sambil berulang kali menekan suis.
“Panas sangat ini. Dah habis basah baju saya ini. Kalau macam itu awak turunkanlah saya di sini. Saya tumpang kereta anak di belakang,” katanya sambil mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangannya.
Saya lantas memberhen­tikan kendera­an. Isteri arwah bergegas turun. Saya dan Halim berpandangan sambil mengangkat bahu.
“Tapi betullah bang, panas sangat dalam van ini. Rasa berbahang,” kata Halim kepada saya.
Saya angguk. Memang saya rasa suasana di dalam van ketika itu cukup panas dan berba­hang. Kalau di bahagian hadapan pun sudah panas begitu saya tidak tahu bagaimana pula di belakang. Patutlah isteri arwah komplen kepada kami.
Saya pulas dan tekan punat penghawa dingin beberapa kali, takut kalau-kalau rosak atau ada masalah teknikal. Tapi keadaannya tetap sama. Panas berbahang sehinggakan baju saya mula lenjun dibasahi peluh.
“Tak boleh jadi ini bang, habis dah badan saya basah ini,” kata Halim sambil menurunkan cermin tingkap kenderaan.
Panas yang kami rasa ketika itu memang luar biasa walaupun cuaca di luar amat redup dan berangin.
“Saya dah tak tahan sangat panas ini bang. Sampaikan rasa nak pitam dah ini,” kata Halim lagi.
Saya hanya mampu menyuruhnya bersabar dan kekal fokus pada pemanduan. Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena di waktu itu kerana perkara sebegini memang tidak pernah terjadi. Kalau nak kata van yang kami pandu ini rosak memang tidak masuk akal apatah lagi baru minggu lepas saya bawa ke bengkel untuk diservis. Segalanya masih dalam keadaan baik.
Alham­dulillah sebaik sahaja sampai di tanah perkuburan kami bergegas keluar. Tubuh terasa nyaman dan dingin sebaik disapa angin dari luar. Keadaannya cukup berbeza ketika berada di dalam kenderaan tadi.
Sebaik sahaja jenazah ingin dibawa ke liang lahad tiba-tiba kami tersentak, Dengan tidak semena-mena penutup keranda arwah terbuka secara tiba-tiba dan sekali gus kami dapat mencium bau kurang menye­nangkan. Bau hanyir yang cukup meloyakan.
“Bau apa ini bang, busuknya,” kata Halim sambil menutup hidung.
Lantas saya beri isyarat supaya dia memperlahankan suaranya. Terus saya kemaskan penutup keranda sebelum memanggil beberapa orang di situ untuk bawa keluar dari kenderaan.
Ketika jenazah dibawa ke liang lahat saya dan Halim masih dapat mencium bau tersebut walaupun ia tidak sekuat tadi. Saya rasa tetamu yang hadir juga dapat menghidu bau itu.
Setelah selesai semuanya saya dan Halim meminta diri untuk pulang. Dan sekali lagi kami berasa pelik kerana sebaik masuk ke kenderaan dan buka penghawa dingin, suasana terus bertukar menjadi sejuk. Kami berpandangan.
————
Lamunan saya tersentak apabila mendengar laungan azan Maghrib di masjid. Saya lihat jam di tangan sudah hampir 7.30 malam. Lantas saya menutup enjin van dan berkemas untuk menunaikan solat.
Seminggu kemudian saya terserempak dengan salah seorang anak arwah. Lantas dia meminta maaf kepada saya tentang apa yang berlaku. Saya terpinga-pinga kerana tidak mengerti apa dimaksudkan.
“Sebenarnya saya ada dengar cerita daripada mama tentang apa yang berlaku di dalam van waktu nak bawa jenazah ayah ke tanah perkuburan. Lepas itu ada juga saya dengar tentang situasi yang kurang enak berlaku di tanah perkuburan.
“Mungkin Allah nak tunjukkan pada kita yang tinggal ini agaknya,” kata anaknya.
“Saya rasa apa yang berlaku mungkin ada kaitan dengan hidup arwah selama ini. Saya bukanlah nak burukkan arwah ayah tetapi ada beberapa perkara yang saya memang tidak bersetuju dengannya,” katanya.
Cerita anak arwah, ayahnya memang cukup terkenal ketika hayatnya. Tetapi sikapnya ada ketika agak keterlaluan. Sebagai broker hartanah dia sering memaksa orang lain yang tidak sehaluan dengannya agar menurut katanya.
Kalau dia mahukan tanah dan sebahagiannya dia akan paksa orang itu jual kepadanya, jika tidak bermacam-macam ugutan yang dia buat sehinggalah orang itu mengalah. Itu tak campur lagi dengan harga rendah yang ditawarkan.
“Saya harap agar arwah ayah diampunkan dosa dan ditempatkan bersama golongan yang beriman,” kata anak arwah sebelum meminta diri untuk beredar.
Saya terdiam. Dalam hati mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa arwah. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya