Bila isu prasarana daif mahu selesai? - Utusan Malaysia

Bila isu prasarana daif mahu selesai?

Isu sekolah daif dan sekolah yang tidak mempunyai kemudahan pembelajaran yang baik sudah berpanjangan sejak sekian lama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua puluh lima tahun lalu, penulis ditempatkan sebagai guru untuk mengajar di sebuah sekolah pedalaman Sarawak. Oleh kerana penulis sendiri memohon untuk mengajar di situ, tentunya penempatan ini satu berita menggembirakan. Penulis dengan penuh semangat berlepas ke Sarawak untuk memulakan perkhidmatan dan berazam memberikan perkhidmatan terbaik kepada anak-anak Sarawak.
Apabila sampai ke sekolah, penulis dapati sekolah itu tidak mempunyai kelengkapan pembelajaran sewajarnya. Malah prasarana sekolah juga dalam keadaan cukup daif. Bilik darjah yang lantainya retak, silingnya pecah, papan hitam berlubang. Begitu juga dengan tingkap kelas yang pecah, tandasnya juga rosak dan tidak terurus.
Apabila penulis bertanya kepada pihak sekolah berkaitan keadaan daif itu, mereka memaklumkan sudah banyak kali aduan dihantar untuk diganti baru malangnya jawapan yang sentiasa diberikan oleh pihak atasan adalah ‘tunggu peruntukan akan datang’. Itu pengalaman lampau penulis sendiri sebagai seorang guru.
Isu sekolah daif dan sekolah yang tidak mempunyai kemudahan pembelajaran yang baik sudah berpanjangan sejak sekian lama. Malah, isu prasarana pendidikan yang daif ini adalah isu kritikal dalam pendidikan. Apatah lagi bagi sebuah negara yang sedang mengalami transisi dari sebuah negara membangun kepada sebuah negara maju.
Pada Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM 52.6 bilion kepada KPM. Sejumlah RM1 bilion dikhususkan untuk tujuan kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah seluruh negara. Selain itu, RM746 juta disediakan menaiktaraf sebahagian sekolah daif iaitu 112 projek di Sabah dan 165 projek lagi di Sarawak. Kita mempunyai lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dengan lebih lima juta murid.
Adalah sesuatu yang amat malang jika peruntukan ini tidak digunakan sewajarnya sehingga wujud jurang besar antara keadaan sekolah yang sebahagiannya mempunyai kemudahan sangat baik tetapi ada juga sekolah yang keadaan kemudahannya sangat daif.
Sebagai sebuah sistem pendidikan negara yang berhasrat untuk memberi keadilan dan kesaksamaan kepada semua murid tanpa mengira latar belakang lokasi dan juga status sosial ibu bapa, sepatutnya semua sekolah di negara ini diberikan kemudahan setara dan tidak boleh mempunyai jurang prasarana kemudahan pembelajaran yang terlalu besar antara satu dengan lain.
Di dalam laporan terbaru OECD pada April 2022 bertajuk ‘What can we do to ensure a level playing field for all students?’ dinyatakan secara jelas penyediaan prasarana dan kemudahan di sekolah yang baik akan menjadi salah satu faktor utama dalam memberikan keadilan pendidikan kepada semua murid-murid.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan tamat sekitar tiga tahun lagi. Antara matlamat utama PPPM ini adalah menjadikan sistem pendidikan negara kita berkualiti setanding dengan negara maju lain.
Sesebuah sistem pendidikan tidak boleh dikatakan sebagai pendidikan berkualiti selagi infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di sekolah masih berada di dalam keadaan daif dan tidak memuaskan.
Selaras dengan itu, pertamanya, adalah menjadi kewajipan kepada KPM untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada rakyat apakah yang telah dicapai berkaitan penyediaan infrastruktur dan prasarana pendidikan di sekolah sebagai alat ukur kepada pendidikan yang berkualiti.
Kedua, isu infrastruktur dan prasarana sekolah ini berkait dengan isu keadilan pendidikan dan usaha untuk merapatkan jurang pencapaian murid-murid di kawasan bandar luar bandar serta murid kaya dan murid-murid miskin supaya tidak terlalu besar.
Apakah ada laporan tentang kesan penyediaan infrastruktur pendidikan yang dilaksanakan sejak 2013 dahulu? Apakah penyediaan infrastruktur pendidikan sejak 10 tahun lalu berjaya merapatkan jurang pendidikan antara pelajar dari keluarga miskin dan kaya?
Ketiga, sistem pendidikan negara juga tidak dikatakan berkualiti jika kemudahan ruang bekerja guru-guru tidak disediakan dengan baik dan selesa untuk guru-guru merancang pengajaran dan pembelajaran untuk murid-murid mereka secara produktif.
Apabila guru tidak mempunyai sokongan kepada kemudahan pembelajaran untuk digunakan di dalam bilik darjah maka perancangan pengajarannya akan terganggu dan menyebabkan pelajar tidak dapat melaksanakan proses pembelajaran dengan baik. Misalnya, ada sekolah tidak mempunyai akses Internet dan peranti untuk guru menggunakan bahan-bahan pembelajaran secara digital.
Ini tentunya berbeza dengan sekolah yang mempunyai kemudahan prasarana pendidikan yang baik termasuklah mempunyai Internet yang laju, makmal komputer, perpustakaan dan bilik darjah yang berhawa dingin serta sistem pengudaraan yang menyegarkan akan memberi pengaruh yang besar kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mereka
Sebagai contoh, kita dapat melihat bagaimana Sekolah Berasrama Penuh (SBP) diberikan begitu banyak kemudahan berbanding sekolah di pedalaman dan juga sekolah pinggir bandar yang kelihatan seperti tidak diberi layanan sama rata.
Malah jika kita melihat di sesetengah sekolah, keadaan bilik guru juga berhadapan isu yang sesak dan panas sedangkan guru-guru sepatutnya diberikan kemudahan tempat bekerja yang lebih selesa. Keadaan yang selesa akan memberi peluang untuk mereka merancang pengajaran dan pembelajaran pelajar dengan lebih tenang dan produktif.
Di dalam mencapai matlamat menjadikan pendidikan negara berkualiti, selain pembinaan kurikulum yang baik dan penyediaan latihan guru yang terkini, membangunkan infrastruktur pendidikan yang baik di sekolah juga harus diberikan perhatian sewajarnya.
Tiga komponen utama infrastruktur pendidikan di sekolah yang perlu diberikan perhatian ialah; pertama infrastruktur pembelajaran di bilik darjah. Kedua, kemudahan murid luar bilik darjah seperti tandas yang baik, padang, kantin, bilik sumber, bilik komputer dan surau. Ketiga, meningkatkan kualiti prasarana bilik guru, bilik kaunseling dan bilik kesihatan.
Inilah tiga tumpuan utama yang harus diberikan perhatian di dalam peruntukan terhad, keutamaan haruslah diberikan kepada urusan yang meningkatkan pencapaian pendidikan. Misalnya, walaupun landskap, pokok-pokok bunga dan penceriaan sekolah itu baik dan penting, ia bukanlah sesuatu yang mendesak berbanding tiga kemudahan asas di atas yang mempunyai pengaruh langsung kepada pencapaian pendidikan murid-murid.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya