'Biaq pi la duit depa' ... - Utusan Malaysia

‘Biaq pi la duit depa’ …

Orang ramai berpusu-pusu membeli keperluan untuk menyambut hari raya Aidilfitri, di Bazar Aidilfitri Jalan TAR, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - MINGGUAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUSAH betul hendak keluar duit, mesin ATM dah tak ada duit agaknya.
“Beratur panjang nak keluar duit, sampai giliran out of service pula. Sakan orang shopping raya. Lepas habis duit pengeluaran khas KWSP RM10,000 ini ada tak lagi bantuan? Bantuan lepas raya,” kata seorang kawan. Berseloroh agaknya.
Saya jawab pengeluaran khas KWSP itu tidak dikira bantuan kerajaan lah. Itu duit pencarum. Duit sendiri.
Sudah keluar duit simpanan sendiri, pandai-pandailah mereka hendak berbelanja dan mereka sudah tentu ada perancangan untuk membelanjakan duit tersebut.
Macam seorang kawan saya seorang ibu tunggal yang tinggal di Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor di Pulau Pinang, dia menggunakan duit itu untuk bisnes ternakan ayam kecil-kecilannya. Katanya, harga dedak mahal sekarang ini.
Menurutnya, yang ternak ayam tahulah susahnya kalau tak cukup modal. Sampai terpaksa gadai barang kemas beri ayam makan.
Sebab itu, bila dibenarkan pengeluaran khas RM10,000 KWSP ini, ramai yang menarik nafas lega. Tak semua orang boros tak tentu hala.
Berbalik kepada cerita kawan saya tentang mesin ATM kehabisan duit tadi kata saya – “Biaq pi depa lah, duit depa.”
Orang kita pun bukan suka sangat dinasihatkan bab-bab duit ini. Nasi makan, nasihat tak makan. Selagi ada duit dan kalau boleh diangkat mesin ATM itu letak depan rumah, dia akan buat begitu, kata saya lagi. Berseloroh juga.
Memang meriah pusat beli-belah sekarang ini. Selepas pukul 10 malam pun kenderaan masih bersesak-sesak beratur masuk cari parkir. Berharap agar dilanjutkan waktu operasi beli-belah agaknya.
Saya yang tinggal berhampiran pusat beli-belah di Shah Alam pun terpaksa ambil masa lama untuk keluar dari kawasan itu untuk pergi dan balik kerja. Memang luar biasa kesibukan persiapan raya kali ini. Sebelum Covid-19 pun tidaklah sesibuk ini di kawasan saya.
Seorang lagi kawan, meng­hantar mesej dan gambar suasana dalam masjid waktu solat tarawih di aplikasi WhatsApp kepada saya seminggu lalu – “ Hang tengok ini, sebelum ini ramai yang beria-ia marah kenapa tak rapatkan saf dan nak masuk masjid pun payah, nak kena ada booster bagai. Sekarang dah boleh rapatkan saf, tak ramai pula.”
Saya jawab – Mungkin mereka sedang rapatkan saf di Jalan TAR.

SELAMAT TINGGAL SOP?
Hari ini ketika jutaan orang berada di lebuh raya pulang ke kampung halaman masing-masing untuk berhari raya, bagi yang masih tak habis-habis membeli belah ketika ini pula mereka tak lagi perlu kalut keluar masuk kedai dengan mengimbas kod MySejahtera.
Sebenarnya, dalam tempoh sebulan dua ini pun kalau kita perhatikan sudah tak ramai pengawal keselamatan yang gigih memantau atau memeriksa orang mengimbas MySejahtera sebelum memasuki premis. Ada juga yang buat-buat tak nampak saja jika pelanggan tidak berbuat demikian.
Dan secara rasminya, pada tarikh 1 Mei hari ini juga, kita tidak perlu lagi bimbang didenda tidak memakai pelitup muka di kawasan terbuka atau di luar bangunan.
Cuma di tempat tertutup masih perlu memakainya manakala di kawasan terbuka, itu atas pilihan masing-masing tetapi digalakkan untuk memakainya.
Melalui maklum balas di media sosial semasa pengumuman mengenai kelonggaran SOP yang dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, ramai juga mahu memilih kekal memakai pelitup muka di luar untuk tempoh tertentu sehingga yakin wabak Covid-19 bukan lagi ancaman besar kepada semua.
Sudah dua tahun memakai pelitup muka ke mana-mana, rasa janggal pula apabila tidak memakainya.
Satu persoalan lain juga timbul dengan kelonggaran ini, perlukah lagi mewajibkan pelitup muka mempunyai logo Sirim pada tahun depan? Untuk apa?
Dan yang tidak ada vaksin dan tidak lengkap sijil vaksinasi pun sekarang sudah bebas keluar masuk mana-mana premis. Mereka juga boleh bekerja. Baguslah begitu.
Semuanya hampir kembali seperti biasa bermula hari ini dan kita mengharapkan wabak Covid-19 terus lenyap dari muka bumi ini.
Kelmarin angka Covid-19 di negara ini mencatat 2,579 kes dengan kes kebanyakannya di Selangor. Dan kita harap, ia akan terus menurun.
Apa pun penarikan dan kelonggaran satu persatu SOP ini, yang menentukan keselamatan diri sendiri dan keluarga tersayang tentulah diri kita sendiri.
Dalam peralihan fasa endemik, tak perlulah lagi kita mengambil langkah ke belakang. Mengharapkan kerajaan melaksanakan semula SOP itu dan ini tanpa berusaha melakukan langkah-langkah pencegahan sendiri. Kita sudah melalui dua tahun yang memeritkan, semua pun sudah tahu apa yang patut dilakukan dan apa tidak.
Adakah kita sudah menang? Belum lagi. Nampak macam hampir menang tetapi boleh saja tewas jika kita leka.
Terima kasih kepada Kementerian Kesihatan dan semua petugas barisan ha­dapan yang bertungkus lumus bekerja dalam dua tahun ini dan Aidilfitri kali ini tentu mereka gembira kerana berpeluang berhari raya bersama keluarga dalam suasana yang tenang-tenang saja.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya