Apa salahnya melancong ketika hari raya? - Utusan Malaysia

Apa salahnya melancong ketika hari raya?

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAYA semakin hampir. Rata-rata umat Islam tidak melepaskan peluang pulang ke kampung.
Aidilfitri kali ini, ramai yang mahu bercuti sekurang-kurangnya seminggu untuk bersama keluarga selepas hampir dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing akibat penularan pandemik Covid-19.
Manakan tidak, dalam tempoh dua tahun terkurung sebelum ini macam-macam perkara telah berlaku. Ada perpisahan sementara, ada yang tidak dapat bertemu lagi sampai bila-bila dan terdapat juga pertemuan.
Sebab itu ramai yang mahu mengambil kesempatan pada hari raya ini berjumpa sanak saudara bertanyakan khabar sekali gus mengeratkan hubungan.
Pun begitu, ada juga yang mahu pergi melancong di bulan baik ini.
“Kalau tak dapat nak keluar negara, dapat pergi yang dekat pun jadilah. Yang penting nak hilangkan stres,” kata seorang kawan yang sudah bagaikan tidak sabar lagi mahu berangkat.
Pelik pula saya. Kalau hari biasa sekalipun tekanan kerja tetap ada, tapi mengapa tidak mahu pergi bercuti ketika itu? Kenapa tunggu ketika hari raya?
Apa bezanya melancong pada hari-hari lain dan hari raya? Adakah putaran masa boleh ditarik kembali untuk bersama ahli keluarga sekiranya mereka pergi dijemput panggilan ilahi?
Kalau melancong ketika hari raya boleh mengembalikan semula kitaran masa untuk bersama keluarga yang sudah tiada, sudah tentu ia bukan lagi satu isu. Malah, pasti berduyun-duyun yang akan melancong berbanding perlu bersesak-sesak pulang ke kampung berjumpa keluarga dan bertungkus lumus menyiapkan segala bagai keperluan.
Sebenarnya jauh lebih penting, pertemuan secara fizikal terutama pada hari raya merupakan amalan terbaik merapatkan rangkaian hubungan kekeluargaan.
Setiap wajah dapat ditatap dan segala emosi serta gelak tawa menjadi penghubung kepada tali silaturahim. Paling penting, maksud kekeluargaan itu bukan sekadar atas dasar tali persaudaraan semata-mata. Sebaliknya diperluas kepada rakan-rakan lain.
Kali ini, tema ‘raya untuk bergembira’ perlu diterjemah dengan pautan hubungan silaturahim terutama selepas dua tahun terkurung akibat Covid-19. Suatu hakikat yang tidak boleh diketepikan adalah kehidupan ini sangat rapat dengan saling kebergantungan sesama kita. Covid-19 telah mengajar manusia banyak perkara. Segalanya terpulanglah sama ada kita sedar atau tidak.
Lagipun, inilah sebenarnya masa terbaik dengan kesempatan yang ada untuk duduk berkongsi pelbagai cerita duka serta gembira.
Walaupun melancong ketika hari raya bukanlah satu dosa dan kesalahan, tapi jauh lebih besar ia hari baik itu membuka peluang kepada anak-anak merasai hubungan kekeluargaan bersama ibu bapa dan sanak saudara.
Tradisi Syawal dihidupkan sebagaimana disyariatkan Islam dengan amalan ziarah- menziarahi keluarga, saudara mara, jiran dan rakan-rakan.
Untuk golongan kanak-kanak, amalan ziarah yang didatangkan secara pakej bersama duit raya semestinya satu kenangan yang lebih indah bagi mereka. Ketika mereka bergelumang dengan dunia peranti dan pelbagai permainan video mahupun media sosial, kanak-kanak dan remaja perlu diperagakan dengan kehidupan sebenar yang menekankan konsep hubungan kekeluargaan.
Kalau mereka kerap melihat permainan video dan media sosial pada skrin telefon pintar yang sering bertukar ganti, remaja serta kanak-kanak ini pasti kehilangan sesuatu yang paling berharga nanti.
Kebanyakan daripada kita pun ada yang terpinga-pinga apabila bertemu dengan saudara sendiri. Rasa kekok dan tidak tahu hendak berbual apa. Maka, berhentilah kita daripada menormalisasikan perkara yang janggal dilakukan pada hari raya yang sepatutnya mengutamakan hubungan kekeluargaan.
Kita jangan sesekali lupa dengan apa yang kita pelajari dan apa yang kita hilang ketika penularan wabak Covid-19 sebelum ini. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya