Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca ruangan Seram Mingguan Malaysia. Pada keluaran kali ini saya ingin berkongsi pengalaman rakan baik saya ketika dia berkunjung di sebuah kedai makan yang boleh dikatakan cukup terkenal di Utara tanah air.
Nama kedai makan tersebut biarlah saya rahsiakan kerana takut menimbulkan fitnah dan aib kepada mereka. Cuma apa yang ingin saya pesan agar kita sentiasa berhati-hati dalam memilih premis makanan.
Ceritanya begini…
Kisahnya bermula apabila Ana pergi bercuti bersama suaminya. Mereka memilih Utara tanah air sebagai destinasi memandangkan banyak tempat yang boleh dilawati. Itu tak termasuk lagi dengan pelbagai makanan tradisional yang lazat di sekitar sana. Kebetulan mereka pula baru saja berumahtangga, jadi kiranya percutian ini bulan madu buat mereka. Selain itu, Ana dan suaminya juga mempunyai minat yang sama iaitu ‘makan’. Pantang jumpa kedai makan yang sedap dan popular pasti mereka singgah. Itulah kepuasan bagi mereka.
“Bang, nanti kalau jumpa kedai makan di mana-mana kita singgah ya. Perut sudah lapar ini,” kata Ana kepada suaminya yang khusyuk memandu.
Suaminya, Imran sekadar tersenyum dan mengangguk perlahan. Sebenarnya perut dia pun berkeroncong juga. Maklumlah kali terakhir dia menjamah makanan adalah pada waktu tengah hari tadi.
Sambil memandu mata Imran liar memandang sekeliling. Dia jeling ke arah jam, sudah hampir 12 tengah malam. Sebaik melewati lampu isyarat di simpang tiga hadapannya, tiba-tiba matanya tertumpu ke arah sebuah kedai makan yang terang benderang. Nampak jelas ramai pengunjung di dalamnya sedang menikmati hidangan.
Tanpa berlengah Imran memperlahankan kenderaan dan memberi isyarat membelok.Terus dia masuk ke pekarangan kedai tersebut untuk mencari parkir.
Pada awalnya Ana berasa cukup teruja, maklumlah kedai makan tersebut bukan sahaja meriah dengan pelanggan malah dekorasinya amat menarik. Namun sebaik sahaja keluar dari kenderaan badannya berasa seram sejuk. Seperti ada yang tidak kena. “Cepatlah yang… jom kita cari tempat dan order makanan. Nampak meriah semacam ini, mesti sedap agaknya,” kata Imran.
Mereka beriringan masuk ke dalam kedai makan tersebut. Nasib mereka baik kerana masih ada beberapa meja kosong. Mata mereka memandang sekitar. Memang nampak meriah sehinggakan beberapa pekerjanya seperti lipas kudung berulang alik ke dapur dan mengambil pesanan.
“Tak salah kita pilih kedai ini nampaknya,” kata Imran sambil membelek-belek buku menu dipegangnya. Ana hanya tersenyum. Walaupun gembira kerana berjaya jumpa lokasi dihajati, namun jauh di sudut hatinya ada rasa kurang enak. Puas dia cuba pujuk hatinya agar tidak melayan sangat apa yang ada di fikirkannya ketika itu.
Tidak lama kemudian datang seorang pelayan wanita mengambil pesanan. Setelah memesan beberapa hidangan pelayan tersebut meninggalkan mereka dan menuju ke dapur.
Ana lemparkan pandangannya melihat gelagat pelanggan di sekitarnya. Tiba-tiba matanya tertumpu ke arah seorang wanita separuh umur yang sedang duduk satu sudut dalam kedai itu. Sangkanya wanita tersebut salah seorang pekerja di kedai itu, tetapi entah macam mana timbul pula perasaan pelik kerana baju yang dipakai perempuan itu langsung tidak sama dengan pakaian seragam yang dipakai oleh pekerja-pekerja lain.
“Mungkin anak owner kedai ini,” bisiknya dalam hati.
Ana jeling sekali lagi ke arah wanita itu. Nampak wajahnya sedikit kusam dan pucat. Tudung dan pakaian yang dipakainya juga nampak lusuh dan tidak terurus. Sedang dia berfikir mencari jawapan dalam hati tiba-tiba wanita tersebut menjeling ke arahnya. Serta merta mereka bertentang mata. Renungannya cukup tajam dan menakutkan. Serta merta Ana mengalihkan pandangannya ke arah lain.
Hampir beberapa saat kemudian Ana cuba mencuri pandang ke arahnya semula.Namun kali ini kerusinya kosong. Lantas Ana pandang sekeliling cuba mencari, namun kelibat wanita tersebut hilang dari pandangan. “Ke mana pula perginya perempuan tadi? Mustahil boleh hilang sekelip mata,” bisiknya.
Apa yang menghairankan, Ana tidak mungkin wanita itu boleh hilang sekelip mata kerana di situ bukannya ada pintu keluar. Hanya sebuah meja panjang tempat pekerja menyusun hidangan untuk dibawa ke meja pelanggan. Memang pelik!
Namun tidak sampai beberapa saat kemudian wanita itu muncul serta merta. Namun kali ini dia tidak lagi duduk di kerusi tetapi berdiri tegak memandang ke arah deretan hidangan yang bersusun di hadapannya. Nampak dia tunduk membongkok sambil menghidu-hidu hidangan yang berada di hadapannya. Lepas satu pinggan dia beralih ke satu pinggan. Lagaknya seakan kucing yang sedang menghidu makanan sebelum menjamahnya. Kenapa pula dia berbuat begitu, getus Ana dalam hati. Namun yang menjadi persoalannya beberapa pelanggan di meja berhampiran seakan tidak menghiraukan perbuatan wanita tersebut. Ana semakin musykil.
Tiba-tiba darahnya tersirap Wanita tersebut sekali lagi memandang tepat ke arahnya. Namun kali ini pandangannya cukup berbeza. Dia tersenyum sinis seakan mengejek. Lebih menakutkan seperti sedang memberi amaran kepadanya.
“Jom kita makan dulu. Karang kalau tunggu lama sejuk tak sedap pula,” kata suaminya sebaik sahaja pelayan menghantar hidangan.Ana jadi serba salah. Tidak tahu bagaimana dia ingin memberitahu situasi tersebut kepada suaminya. Untuk tidak menimbulkan keraguan, lantas Ana menjamah hidangan menemani suaminya ketika itu.
Ketika dia ingin menyuap makanan masuk ke mulut tiba-tiba dia terasa seakan ada satu sambaran angin menerpa ke wajahnya. Serta merta Ana berhenti menyuap.
“Eh, kenapa pula ni? Tak sedap ke? Tadi kata lapar sangat,” tanya suaminya sambil memandang ke arahnya.
Ana hanya tersenyum kelat. Lantas dia terus menyambung suap agar suaminya tidak berfikir bukan-bukan tentang apa yang berlaku ketika itu.
Tetapi sebaik sahaja dia baru melupakan apa yang berlaku, tiba-tiba Jantungnya berdebar kencang. Nasib baik dia tidak menjerit ketika itu. Peluh serta merta membasahi tubuhnya. Ketakutannya memang tidak dapat dibendung lagi.
Wanita yang dilihatnya tadi kini muncul di sebelah mejanya. Nampak dia membongkok sambil meniup ke arah hidangan di meja sebelahnya. Dan yang peliknya tidak seorang pun daripada mereka yang berada di meja tersebut menyedari kewujudan wanita itu. Adakah hanya dia mampu melihat kejadian itu?
Serta merta seleranya terus mati. Ana terus tidak menjamah makanan terhidang di atas mejanya ketika itu. Suaminya berasa pelik lantas bertanya kepadanya. Ana hanya tersenyum dan sekadar memberitahu yang perutnya sudah masuk angin dan tidak berselera menjamah makanan.
Setelah suaminya selesai makan, Ana lantas mengajak suaminya beredar. Imran yang perasan dengan perubahan sikap isterimya terus sahaja menuruti. Dia pasti ada sesuatu yang tidak kena kepada isterinya ketika itu.
Setelah masuk ke dalam kereta, barulah Ana bercerita. Terdiam Imran dengar. Dia tahu apa yang disampaikan isterinya benar belaka. Tak mungkin isterinya mengada-adakan cerita.
Sepanjang perjalanan pulang mereka tidak banyak berbual. Ana masih memikirkan kejadian yang menghantuinya tadi. Dia terfikir adakah dia insan terpilih yang mampu melihat kejadian aneh yang tidak boleh dilihat orang lain, atau adakah kejadian ini sengaja ditunjukkan kepadanya agar dia lebih berhati-hati pada waktu akan datang? Wallahualam. – MINGGUAN MALAYSIA
Wanita misteri hidu hidangan pelanggan
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 24 April 2022, 4:37 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm