KEBELAKANGAN ini ramai yang memberi ulasan dan mempertikaikan dalam media sosial mengenai kes-kes jenayah yang dianggap atau didakwa dilakukan oleh pesakit mental.
Ramai yang simpati dan menganggap undang-undang perlu bersikap adil kepada pesakit mental tanpa mengetahui prosedur-prosedur perbicaraan yang perlu dilalui dan sebenarnya ada peruntukan undang-undang yang membela pesakit mental ini.
Dalam sesuatu kes jenayah mesti terdapat dua unsur seiringan di dalam sesuatu perlakuan jenayah iaitu niat melakukan jenayah dan melakukan jenayah tersebut.
Prinsip secara amnya, kedua-dua ini perlu seiringan dan jika salah satu unsur ini tidak terdapat maka ia bukan dianggap satu jenayah.
Seksyen 84,
Kanun Keseksaan
Oleh itu, unsur mental dan fizikal perlu ada. Maka, seseorang yang mengalami penyakit mental ia boleh mendapatkan satu pembelaan. Ini jelas dilihat di bawah Seksyen 84, Kanun Keseksaan.
Tidak menjadi kesalahan apa-apa juga yang dilakukan oleh seseorang dan pada masa melakukannya akalnya tidak sempurna dan tidak berupaya mengetahui perbuatannya itu atau apa yang dilakukannya itu sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang.
Elemen yang ada di dalam seksyen ini adalah : Seseorang jika melakukan sesuatu perbuatan jenayah tidak mengetahui bahawa:
1. Perbuatannya salah atau tidak.
2. Tidak mengetahui perbuatannya adalah bertentangan di sisi undang- undang.
Akibat daripada tidak sempurna akalnya maka ia memerlukan satu pembelaan.
Namun pembelaan ini perlu mendapatkan pengesahan daripada Pegawai Perubatan bahawa seseorang itu mengalami penyakit mental semasa kejadian berkenaan dan semasa kejadian itu elemen 1 dan 2 seperti di atas wujud.
Pembelaan tidak sempurna akal
Perlu dibezakan bahawa pembelaan adalah terpakai bagi tidak sempurna akal menurut perundangan dan bukanlah tidak sempurna akal menurut perubatan.
Seseorang itu boleh dikatakan mengalami tidak sempurna akal oleh pakar perubatan tetapi jika tiada keterangan menyatakan yang dituduh tidak sempurna akal semasa dia melakukan kesalahan itu malah dia boleh merancang atau lari selepas kejadian itu kerana takut dilihat oleh orang ramai maka ia tidak dianggap sebagai satu pembelaan di bawah Seksyen 84 kanun Keseksaan.
Di dalam kes John a/k Nyumbei v. PP (2007) 2 CLJ 509; Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa berdasarkan Seksyen 84, perbuatan jenayah hendaklah ditentukan menurut ujian perundangan dan bukan sekadar keadaan mental yang tertuduh menurut ujian mental.
Terdapat perbezaan antara tidak sempurna akal menurut perundangan dan menurut perubatan.
Bukan semua terlepas
Bukan semua bentuk akal tidak waras boleh mengecualikan seseorang daripada tanggungjawab melakukan jenayah. Hanya akal tidak sempurna menurut undang-undang sahaja adalah pengecualian di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Di dalam kes yang diputuskan oleh mahkamah PP v. Ramli Arif pada tahun 2021, 1 LNS:
Tertuduh di dalam kes ini telah menggunakan parang dan menetak isterinya sebanyak 80 kali dan lari ke ladang sawit serta menyembunyikan parangnya dan apabila ditangkap telah membawa pihak polis ke tempat parangnya disembunyikan.
Walaupun pakar psikiatri menyatakan dia mengalami penyakit mental namun dari segi fakta dan keterangan saksi mahkamah mendapati tidak ada daripada perbuatan tertuduh dia tidak mengetahui apa yang dilakukannya dan juga tidak mengetahui perbuatannya adalah bertentangan dengan undang-undang akibat daripada ketidaksempurnaan akalnya.
Jika seseorang yang dituduh disyaki mengalami penyakit mental atau tidak sempurna akal selalunya pihak polis akan mengambil tindakan menghantarnya untuk pemerhatian pihak psikiatri atau pegawai perubatan.
Namun semasa perbicaraan jika disyaki seseorang itu tidak sempurna akal oleh majistret atau hakim, maka kuasa diberikan oleh Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah untuk menyiasat hal berikut.
Lebih hati-hati
Mahkamah mempunyai tanggungjawab meneliti perkara-perkara ini sebagaimana yang diputuskan di dalam kes Muhd. Haslam Abdullah v PP bahawa bagi seseorang yang mempunyai masalah mental, mahkamah perbicaraan hendaklah memastikan perbicaraan yang dijalankan dengan lebih berhati-hati serta teliti dalam memastikan tatacara perbicaraan jenayah dipatuhi dengan ketat.
Maka cara untuk menyiasat ketidak sempurna akal tertuduh, Seksyen 342 (2) Kanun yang sama memberikan kuasa untuk dihantar ke pada pakar perubatan atau psikiatri untuk dilakukan pemerhatian dan penilaian.
Di bawah Seksyen 342 (5) Kanun yang sama pula memberikan kuasa pada Pendakwa Raya untuk menghantar seseorang membuat pemeriksaan psikiatri atau pegawai perubatan bagi tujuan menilai dan pemerhatian jika disyaki seseorang tertuduh tidak sempurna akal dan ia perlu dilakukan sebelum perbicaraan.
Oleh yang sedemikian, seseorang yang tidak sempurna akal bukanlah secara automatik boleh mendapat pengecualian daripada melakukan jenayah berdasarkan keputusan mahkamah yang di atas.
PENULIS ialah Pengamal Undang-undang.