Siapa muncul di tengah jalan raya itu? - Utusan Malaysia

Siapa muncul di tengah jalan raya itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assala­mualaikum pembaca sekalian. Pada keluaran kali ini saya ingin berkongsi satu pengalaman seram yang dialami seorang teman rapat ketika dia pulang dari berniaga. Begini ceritanya…
Seperti lazimnya setiap hari selepas selesai berniaga di pasar malam, Shahrul dan Razi lantas mengemas gerai burgernya sebelum bersiap untuk pulang.
Alhamdulillah, malam itu rezeki cukup murah kerana jualan habis terjual. Walaupun penat namun jauh di sudut hati mereka berasa gembira yang teramat, maklumlah ketika peniaga lain masih belum menutup operasi tetapi mereka sudah boleh pulang awal.
Untuk pulang ke rumah sewa mereka yang terletak di Sungai Lang Banting, mereka terpaksa memandu hampir 30 kilometer kerana jarak pasar malam tempat berniaga malam itu memang jauh, tetapi yang seronoknya di situ lebih besar dan ramai pengunjung.
Setelah pasti tiada peralatan tertinggal, mereka berdua bertolak pulang. Malam itu Razi yang memandu kerana awal-awal lagi Shahrul sudah mengadu letih dan mengantuk.
Razi tidak banyak soal, terus sahaja dia bersetuju. Dia faham benar dengan sikap rakannya itu. Kalau sudah mengadu letih memang dia lah terpaksa memandu pulang.
Sepanjang perjalanan Shahrul tidak banyak bercakap. Sesekali dia menguap dan menggosok-gosok matanya menahan mengantuk.
“Letihnya malam ini. Tak sabar aku nak balik landing di tilam,” katanya kepada Razi.
Razi hanya tersengih sambil jari jemarinya erat menggenggam stereng.
“Alamak dah hujan pula ini,” ngomel Razi sambil tangannya menolak batang besi penggilap cermin di tepi sterengnya.
Hujan mencurah. Razi memperlahankan kenderaan kerana jarak penglihatannya agak terhad. Risau juga kalau-kalau ada kenderaan lain di hadapan tambah pula jalan raya pastinya licin ketika itu
Bising hujan yang menimpa kenderaan mereka menenggelamkan bunyi radio yang terpasang. Sesekali Razi mengecilkan anak matanya melihat jalan raya yang terbentang luas di hadapan.
Jelas tiada kenderaan lain ketika itu. Persekitaran di kiri kanan jalan juga gelap gelita cuma sesekali kelihatan lampu dari kediaman yang mereka lewati. Razi toleh ke arah Shahrul di kerusi sebelah, nampak rakannya itu lena tidur.
Razi menguatkan radio. Fikirnya boleh juga dia melayan lagu-lagu untuk menghilangkan rasa bosan. Ingin mengejutkan Razi di sebelah sebagai teman bersembang rasa kasihan pula, tambah pula rakannya sedang lena dan berdengkur.
Tiba-tiba entah mengapa Razi berasa seram sejuk. Bulu romanya serta merta berdiri tegak. Seakan ada yang tidak kena dengannya ketika itu. Puas dia berfikir namun tiada jawapan. Dia memandang ke arah papan tanda di tepi jalan raya. Jantungnya serta merta berdegup kencang. Nampaknya beberapa ratus meter di hadapan dia akan melintasi dua tanah perkuburan, iaitu tanah perkuburan Islam dan Hindu.
Dia memandu berhati-hati. Hujan semakin menggila. Dalam hati dia berdoa agar segera sampai ke rumah. Sedang khusyuk memandu, tiba-tiba matanya tertumpu ke arah satu objek yang berdiri betul-betul di hadapan laluan kenderaannya.
Dia kecilkan mata untuk mengamati ‘benda’ tersebut, namun dalam keadaan samar-samar dan hujan lebat dia tidak dapat melihat dengan jelas. Razi lantas bertindak memberhentikan kenderaannya di tengah jalan. Walaupun berasa tidak sedap hati namun dia tidak mahu mengambil risiko. Takut kalau-kalau objek itu manusia ataupun haiwan.
Terus dia memasang lampu tinggi, dan ketika itulah tiba-tiba darahnya tersirap. Jantungnya serta merta berdegup kencang.
Di hadapannya ketika itu jelas kelihatan satu sosok wanita berpakaian serba putih sedang berdiri tegak membelakangkan kenderaannya. Sosok tersebut berambut panjang sehingga mencecah jalan raya. Razi menggigil ketakutan. Jari jemarinya menggeletar. Dia mahu mengejutkan Shahrul tetapi anggota tubuhnya terasa kaku dan lidahnya kelu.
Beberapa kali dia menggosok matanya dan berharap apa yang dilihatnya ketika itu hanyalah khayalan namun sosok di hadapannya benar-benar wujud. ‘Benda’ tersebut tidak berganjak, dan tanpa diduga tiba-tiba sosok itu perlahan-lahan memalingkan muka ke arahnya. Razi tergamam…
Dalam renyai hujan Razi jelas melihat wajah sosok yang menakutkan itu. Mukanya hitam menggerutu, bola matanya hampir tersembul keluar, lidahnya pula panjang sehingga melepasi dagu. Razi terasa seakan jantungnya disentap keluar dari tubuh. Seumur hidupnya tidak pernah lagi dia berhadapan dengan keadaan seperti itu. Tanpa diduga tiba-tiba sosok yang menakutkan itu menuju ke arah kenderaannya. ‘Dia’ berjalan mengundur sambil wajahnya dipalingkan ke arah Razi. Memang menakutkan. Pergerakannya pula cukup berbeza berbanding manusia. Laju seakan dibawa angin.
Razi menggigil ketakutan. Sosok tersebut berhenti sebaik sahaja berada di hadapan kenderaannya. Serta merta dia menekan pedal minyak dengan segala kudrat yang ada, tetapi kereta yang dipandunya tidak bergerak. Hanya bunyi enjinnya sahaja mengaum. Dengan sisa semangat masih berbaki, Razi melaungkan azan sekuat hati.
“Allahhuakbar… Allahhuakbar…,”
Dan tiba-tiba sosok yang menakutkan itu mengilai kuat sebelum ghaib. Sekali lagi Razi pandang sekeliling. Jantungnya masih berdegup laju. Setelah pasti sosok tersebut hilang dari pandangan dia lantas menekan pedal minyak kenderaannya.
‘Vroommmm…Vroommmm…
Kenderaan yang dipandunya memecut laju membelah kesunyian malam. Walaupun tubuhnya masih menggeletar ketakutan namun dia cuba gagahkan diri untuk memandu pulang. Dia berdoa agar makhluk itu tidak mengekorinya hingga ke rumah.
Terasa perjalanannya cukup panjang. Dia terfikir syaitan apakah yang mengganggunya sebentar tadi. Seumur hidupnya tak pernah lagi dia diganggu sedemikian rupa sedangkan laluan tersebut merupakan laluan hariannya selama ini.
Hampir 15 minit memandu akhirnya dia sampai juga di rumah sewanya. Hujan juga sudah berhenti. Lantas dia menggerakkan Shahrul yang sedang lena tidur di kerusi sebelahnya. “Eh, dah sampai ke? Kejapnya aku rasa,” kata Shahrul menggeliat malas.
Razi hanya mendiamkan diri. Dalam hatinya Tuhan sahaja tahu tentang apa yang dirasainya ketika itu. Tetapi peristiwa tersebut langsung tidak dikongsikan bersama sahabatnya itu. Baginya biarlah dia sahaja menyimpan pengalaman menakutkan itu. Kalau dia bercerita sekalipun pasti Shahrul tidak percaya.
Dan jika rakannya percaya sekalipun pasti akan menambahkan masalah buat mereka kelak. Mungkin selepas ini Sahrul tidak mahu lagi berniaga di pasar malam itu kerana terpaksa melalui laluan berhantu tersebut sedangkan berniaga itu adalah mata pencarian mereka selama ini.
Apa yang Razi fikirkan ketika itu hanyalah memastikan Shahrul tidak akan tidur ketika pulang dari berniaga selepas itu. Tidak sanggup menyaksikan kejadian seperti tadi seorang diri. Mungkin jika berteman syaitan tersebut tidak akan mengganggu lagi selepas ini.

Ini adalah kisah benar yang diceritakan oleh Puan Sofea Ibrahim dari Shah Alam kepada penulis. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya