Soal penggunaan bahasa Melayu (BM) mendapat nafas baharu kebelakangan ini dan memerlukan perhatian khusus supaya tidak digagalkan lagi. Usaha seperti ini selepas enam dekad merdeka menampakkan semangat cekal yang seharusnya disanjung tinggi.
Bahasa dan budaya memainkan peranan penting dalam meredakan keadaan. Maksudnya, setakat berbahasa sahaja tidak memadai jika aspek budayanya terabai sama sekali biar serumpun. Yang satu sebenarnya menyokong yang lain. Hatta bahasa jiwa bangsa berteraskan budaya.
Sebagai contoh, kita pernah terdengar penutur BM menggunakan istilah ‘kamu’ seolah-olah you dalam bahasa Inggeris – sewenang-wenangnya tanpa mengira konteks atau keadaan. Sering terasa jangkal apabila ini dikenakan kepada orang tua ataupun mereka yang berkedudukan dalam masyarakat setempat, misalnya seorang ketua kampung. Jelas kehalusan budaya Melayu itu wajar difahami walaupun dianggap tidak penting oleh budaya lain, Barat khususnya.
Begitu juga dari segi amalan budaya lain seperti menjaga ketepatan waktu contohnya. Ramai yang fasih bertutur bahasa Jepun tetapi masih tidak menepati masa sepertimana amalan budaya Jepun itu sendiri. Semua ini menunjukkan bahasa sahaja tidak memadai jika ia tidak menjiwai budaya sesuatu bangsa. Memisah-misahkan satu sama lain akan membawa natijah yang negatif sebagaimana diamalkan kuasa penjajah sehinggakan pemakaian songkok dan berselendang misalnya dianggap asing dalam majlis rasmi kelolaan mereka.
Begitu juga keengganan berjabat tangan dengan mereka yang bukan muhrim. Sedangkan pada amnya berjabat tangan adalah asing dalam hampir semua budaya Timur termasuk Cina, Jepun, Korea, India serta benua Asia Selatan keseluruhannya.
Malah seluruh dunia termasuk Barat mengakui hakikat tersebut apabila berjabat tangan dan bersalaman tidak ditinggalkan sama sekali. Sama ada ini akan terus diamalkan sebagai tabiat norma baharu, bergantung kepada kepintaran mengutamakan kecerdasan budaya. Atau lebih tepat lagi, kembali kepada asal mengikut tuntutan budaya dan tidak mengekalkan semula amalan berjabat tangan seperti desakan penjajah secara langsung atau tidak.
Pendek kata, apa yang diuar-uar sebagai ‘norma baharu’ sebenarnya norma tradisi lama yang telah diketepikan oleh pengaruh asing yang menjajah kerana kontang kecerdasan budayanya. Begitu jugalah hal bahasa yang wajar dipugar semula untuk menyuburkan semula amalan budaya sesuatu bangsa tersebut.
SATIRA
Dari segi ini, lukisan satira Parlimen baru-baru ini yang mendapat sambutan hangat media merupakan penegasan yang keras. Yakni kaitan rapat bahasa serta budaya apatah lagi dalam medan terhormat seperti Dewan Rakyat. Bahasa yang diutamakan adalah BM, namun dari segi pakaian rasmi adalah ala Barat totok. Sungguhpun pakaian tradisi budaya tempatan turut diakui, ia bukannya kelaziman atau kegemaran umum.
Sepertimana juga diperhatikan dari sudut tingkah laku sebagaimana yang disatirakan, ada bukti jelas yang perilaku kehaiwanan agak lebih kebelakangan ini apabila perbahasan bukan lagi bertujuan mencari hikmah dan kebenaran tetapi lebih bersifat sindiran serta mengaibkan. Dalam hal sedemikian, rupa lukisan satira berkenaan agak berkesan secara tidak langsung, lebih sebagai teguran kiasan.
Mahu tidak mahu, kita berhadapan semula dengan soal budaya dan pembudayaan yang sememang tidak wujud dalam dunia haiwan. Tiada kecerdasan budaya terkesan dalam kumpulan bukan manusia sehinggakan manusia yang lemah atau tandus dalam hal ini mirip kepada gaya hidup haiwan – rakus dan tamak haloba.
Ahli politik yang tidak berprinsip dan sering melompat parti untuk mengejar jawatan dan nama, lumrah digelarkan sebagai ‘katak’ ataupun ‘kera’ yang lebih pintar melompat untuk mempertahan kepentingan hidupnya. Malah agama ada mengatakan, mereka yang tidak berprinsip ini seakan-akan haiwan ternak, malah pembawaannya lebih teruk daripada itu!
Terkenang sebuah filem pada 1960-an berjudul Planet of the Apes yang menceritakan haiwan jenis beruk melata di sebuah planet dan berkuasa menekan serta memperhambakan manusia.
Maka timbul persoalan, apa mungkinkah ketika itu sudah ada Parliament of the Apes? Semua ini menghidupkan lagi pelbagai ‘ramalan’ akan tema lukisan satira yang kini dilaporkan tersimpan di istana Sultan Selangor. Sekiranya ada pihak mengatakan ini melanggar mana-mana etika, hujah sama boleh dilontarkan kepada individu atau kelompok berkelakuan tidak sopan apatah lagi tidak berbudaya atau bertamadun di mana sahaja.
Jelas untuk mengelakkan semua ini, faham nilai budaya wajar dipupuk melalui kecerdasan budaya terutama di negara majmuk berbilang dan bersilang budaya seperti Malaysia. Kekayaan budaya ini sewajar menjadikan negara bertamadun tinggi dan bukan sebaliknya. Mungkinkah satira yang terkehadapan berkisar kepada manusia bersifat ‘malaikat’ serta makhluk suci yang lebih berhikmah dalam memupuk ‘syurga’ di muka bumi?
Penuh pelbagai kenikmatan yang sekarang ini diancam pandemik. Terkini pelbagai malapetaka Anthropocene yang belum pernah dialami berlaku sejak planet ini didiami manusia berbilion tahun lamanya. Mengapa? Agama lagi sekali dengan jelas menegah manusia melakukan kerosakan yang akan menyebabkan alam sekitar dan masa hadapan tergugat. Alam sekitar adalah antara anugerah Ilahi yang amat berharga bukan hanya buat manusia tetapi kesemua makhluk ciptaan-Nya di bumi ini.
Maknanya alam sekitar yang terpelihara dengan baik akan memberikan manfaat kepada semua makhluk terutama manusia. Sekiranya manusia bertindak seperti haiwan dan melawan fitrah serta etika hidup, maka bumi dan planet ini akan terus hancur seperti yang sedang berlaku kini.
Ada petanda-petanda jelas dan kukuh membuktikan kerosakan yang berlaku di darat dan di laut terhasil daripada perbuatan tamak manusia itu sendiri dari semua aspek politik, sosial apa lagi ekonomi. Kecerdasan nilai budaya (termasuk agama) tidak memainkan peranan penting untuk membawa kesejahteraan kepada semua seperti tuntutan. Maka masanya sudah berlalu untuk semua pihak insaf dan segara menjalankan amanah mengikut fitrah yang dipikulnya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).