Ramadan dan kemelut harta pusaka - Utusan Malaysia

Ramadan dan kemelut harta pusaka

Pemandangan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. – MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA saya menulis ini, saya berada di dalam kamar sebuah hotel di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang mana di atas meja ini ada pelbagai risalah pakej berbuka puasa termasuklah sahur dan bertarawih di masjid berhampiran. Bagi yang pernah menikmati kenikmatan berpuasa di Tanah Suci Mekah tentunya kenangan berbuka dan bertarawih di tanah suci akan sentiasa menggamit untuk kita datang kembali.
Ada sahabat berpandangan berpuasa di negara ini amat mencabar sekali berbanding di Tanah Suci Mekah kerana di Mekah suasananya amat kondusif untuk berpuasa kerana semua orang berpuasa atau setidak-tidaknya menghormati Ramadan.
Di Malaysia, cabaran berpuasa dikelilingi masyarakat majmuk memang luar biasa sekali hingga kadang kala ketika bermesyuarat dengan orang bukan Islam ada pula yang menghidangkan minuman dan ramai pula yang makan minum secara terbuka tanpa menghormati Ramadan.

Mempertemukan keluarga
Ramadan di negara ini bukan sahaja terhad sebagai bulan berpuasa, tarawih dan beribadah malahan ramai yang menganjurkan majlis berbuka puasa dalam kalangan adik beradik dan saudara mara. Menariknya di dalam perkumpulan seperti ini dianjurkan juga mesyuarat bagi menguruskan atau membahagikan harta pusaka orang tua kepada adik beradik dan ahli-ahli waris. Maklumlah di bulan puasa ini kita diajar untuk banyak bersabar, maka inilah peluang terbaik meyakinkan adik beradik dan waris akan kaedah pembahagian pusaka yang difikirkan sesuai.
Teringat saya kata-kata pemilik restoran di bawah hotel penginapan saya ketika saya bertanyakan akan pemilikan tanah restoran tersebut. Dia mengadu tanah yang berkeluasan sekitar 5,000 kaki persegi itu adalah peninggalan moyangnya yang kini pemilik berdaftarnya menghampiri 100 ahli waris.
Sungguhpun ada ahli keluarga yang membenarkan dia meneruskan perniagaan terdapat ramai lagi mempertikaikan keberadaan restorannya di atas tanah pusaka ini. Lebih malang lagi katanya, ramai menuntutnya keluar dari tanah itu dengan menggunakan pelbagai cara. Peperangan merebutkan tapak pusaka untuk berniaga di situ lebih parah dari pertempuran tentera Ukraine dan Rusia! Katanya.

Perang saudara
Keluhan peniaga tersebut mengingatkan saya bahawa tanah, rumah dan harta ini sering kali menjadi sebab berlakunya ‘perang saudara’. Apa tidaknya perjuangan mendapatkan tapak berniaga yang kecil itu pun ibarat perjuangan yang tiada akhirnya hingga ada yang sanggup mengambil keuntungan atas angin apatah lagi jika tanah itu milik pusaka nenek moyang kita. Kerap juga kita bertemu dalam keluarga kita terdapatnya geran-geran hakmilik tanah yang nama tuan tanah masih berdaftar di atas nama nenek moyang yang salasilahnya berada tiga atau empat generasi terdahulu dan pembahagian pusaka tidak boleh dibuat kerana terlalu ramai ahli waris yang meninggal dunia dan tidak dapat dikesan. Akibat kacau bilau status pemilikan tersebut, harta itu diduduki atau hanya dimanfaatkan oleh sekelompok kabilah tertentu manakala ahli waris lain sekadar mampu melihat.
Ramadan demi Ramadan telah berlalu namun masalah pusaka orang Melayu masih tidak selesai. Keluhan pemilik restoran itu sebenarnya adalah manifestasi tanggapan orang Melayu berkaitan pemilikan harta kerana ada yang tegas mengambil posisi pemikiran bahawa perancangan pembahagian harta hanya perlu dibuat oleh mereka yang meninggalkan banyak harta. Persepsi ini tidaklah tepat.
Ada yang meninggalkan harta banyak, ahli waris yang ramai tetapi pembahagiannya tidak pula tertangguh lama. Ia ibarat pemandu yang menggunakan lorong RFID atau kad smart tag di plaza tol lebuh raya yang melaluinya tanpa perlu berhenti tetapi ada pula orang yang meninggalkan sedikit harta, ahli warisnya tidaklah seramai manapun tetapi pembahagiannya memakan masa bertahun ibarat pemandu yang menggunakan lorong tunai yang perlu beratur panjang. Lewat atau cepatnya pembahagian pusaka ini sudah tentulah disebabkan oleh faktor seseorang itu semasa hayatnya telah menentu dan menyempurnakan semua instrumen yang perlu bagi pembahagian hartanya.

Solusi untuk rakyat
Dengan sikap bertangguh dalam kalangan majoriti kita hingga menyumbang kepada jumlah permasalahan harta pusaka yang tinggi, sudah tiba masanya kerajaan meneliti agar bentuk harta yang perlu melalui proses permohonan harta pusaka dikurangkan.
Ini sebenarnya telah pun diamalkan di negara kita sebagaimana duit simpanan di Lembaga Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera dan Takaful yang mana instrumen hibah kini digunakan bagi menjadikan penerima hibah yang ditetapkan menerima harta itu tanpa perlu lagi melalui proses permohonan harta pusaka yang panjang. Jika pendeposit meninggal dunia, maka penerima hibah akaun itu boleh sahaja terus mengeluarkan duit simpanan si mati mengikut bahagian yang ditetapkan si mati bukan atas prinsip penamaan tetapi sebagai penerima hibah.
Kaedah pembahagian melalui instrumen hibah boleh diperluaskan kepada semua institusi perbankan Islam yang mana bank perlu memikirkan untuk menyediakan hibah harta khusus bagi akaun simpanan perbankan Islam mereka dan dengan menyempurnakan hibah maka duit simpanan bank dapat dikeluarkan dengan cepat oleh penerima hibah apabila berlakunya kematian pemilik akaun dan tidak lagi dikategorikan sebagai harta pusaka.
Sempena Ramadan dan Syawal, ahli-ahli keluarga tentunya boleh menggunakan kesempatan berkumpul se­telah beberapa tahun ter­­kongkong dek perintah ka­walan pergerakan era pan­demik untuk berbincang hal ehwal pembahagian har­­ta pusaka yang lama ter­tangguh kerana di sana mungkin terdapatnya hu­tang si mati yang perlu dilu­naskan termasuklah fid­yah puasa dan zakat yang ma­na penangguhan lebih lama akan menyebabkan roh tergantung akibat hutangnya dan seterusnya menyumbang kepada kematian berlapis yang menyukarkan lagi penyempurnaan pembahagian harta pusaka tersebut.

Datuk Ikbal Salam ialah Peguambela dan Penguamcara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya