SEDAR atau tidak semakin dekat tarikh pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), semakin banyak pula nombor yang tidak dikenali timbul di skrin telefon dan banyak juga mesej dihantar oleh penjual produk dan perkhidmatan yang bermacam-macam.
Cepat betul ‘mereka’ buat kerja dan mesej-mesej sebegini turut memenuhi akaun media sosial. Berharapkan mungkin dapat sekurang-kurangnya sedikit habuan untuk mereka dengan keterujaan orang ramai yang sedang menunggu pengeluaran wang itu yang mula dimasukkan ke dalam akaun pemohon pada Rabu ini.
Ramai yang tertunggu-tunggu tarikh 20 April itu. Peluang untuk menikmati wang simpanan sendiri yang begitu susah untuk dikeluarkan jika tidak ada sebab-sebab tertentu yang dibolehkan, sudah tentu tidak mahu dilepaskan pada waktu sukar begini atau bagi yang tiada masalah kewangan sangat pun, ada yang mengeluarkannya untuk disimpan di tempat lain.
Saya bersetuju, kita tak payahlah hendak bising-bising, mengira kerugian dan wang orang lain serta memberi nasihat supaya pencarum ingat hari tua.
Hakikatnya itu wang simpanan pencarum, mereka lebih tahu untuk apa wang itu akan digunakan. Memanglah RM10,000 itu bukan banyak pada yang bergaji besar, tetapi untuk yang susah, RM100 pun sudah dikira cukup besar, inikan pula RM10,000 yang boleh meringankan serba sedikit beban kos sara hidup.
Pun begitu, hal-hal yang melibatkan jenayah penipuan wang yang dilakukan oleh pihak yang licik menggunakan kesempatan ini seharusnya diberi perhatian. Orang ramai perlu berhati-hati agar tidak berputih mata.
Sebelum ini pun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan mana-mana pihak dalam media sosial yang kononnya menawarkan perkhidmatan mengeluarkan wang pengeluaran Khas KWSP itu dengan mudah.
Pasal duit, memang laju pihak yang tidak bertanggungjawab ini menghidu peluang. Ada saja taktik untuk memperdayakan mangsa. Orang yang bijak pandai pun boleh kena tipu.
Dalam dua minggu ini, aplikasi WhatsApp saya pun banyak mendapat mesej dari nombor yang tidak dikenali. Masa inilah juga ada yang menawarkan pinjaman persendirian cepat lulus, khidmat mengurangkan jumlah hutang dalam bank, ada yang menjual insurans, menawarkan pakej percutian dan macam-macam lagi.
Di mana mereka dapat nombor telefon ini pun satu persoalan besar.
Sebenarnya, sejak kita perlu mencatat maklumat diri untuk masuk ke pusat beli-belah atau premis perniagaan sebelum wujudnya MySejahtera lagi, kira-kira dua tahun lalu, ramai sudah diganggu dengan macam-macam panggilan. Bukan setakat pinjaman kewangan tetapi mesej mengajak berjudi pun ada.
Nombor telefon peribadi kita bagai sudah disebarkan. Ada saja panggilan yang menawarkan macam-macam perkhidmatan. Privasi sudah tidak jadi privasi lagi.
Sebelum itu pun, ada beberapa ‘orang dalam’ syarikat telco di negara ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihadapkan ke mahkamah kerana menjual data pelanggan melibatkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Jadi langkah berjaga-jaga perlu diambil semasa pengeluaran wang KWSP ini. Masa ini jugalah scammer ligat cari mangsa. Kita sudah amat biasa dengan istilah scammer. Tetapi itulah yang kena tipu, dengan mudah menyerahkan duit beratus-ratus ribu ringgit begitu saja pada orang yang tidak dikenali atau baru dikenali semakin ramai pula.
Menurut rekod pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, sebanyak 1,585 kes penipuan Macau Scam direkodkan sepanjang tahun lalu yang membabitkan kerugian keseluruhan RM580 juta.
Penjenayah kebiasaannya menyamar sebagai pemungut cukai pendapatan, pihak mahkamah, pegawai kastam atau wakil pihak bank untuk memungut saman atau hutang.
Modus operandi mereka kebanyakannya meminta mangsa memberi maklumat mengenai perbankan dan peribadi mereka supaya akaun bank mereka tidak dibekukan oleh pihak bank.
Dalam pada itu, sumber Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sebanyak 19,345 aduan membabitkan kerugian RM75.4 juta berkaitan jenayah penipuan kewangan dilaporkan dalam tempoh 2020 hingga 2021.
Penipuan tertinggi dicatatkan membabitkan pelaburan internet iaitu melibatkan kerugian RM20 juta, dan aduan berkaitan penipuan telefon melibatkan kerugian RM14 juta diikuti kesalahan menyalah guna logo pegawai BNM RM3 juta manakala 1,500 penipuan pancing data diterima melibatkan kerugian RM6 juta.
Dalam tempoh dua tahun itu juga, kira-kira 1,236 aduan diterima berkaitan penipuan pinjaman bank dengan kerugian RM2 juta.
Taktik yang digunakan termasuk menerusi panggilan telefon, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) secara rambang menyerupai pesanan bank dan e-mel.
Soalnya dari mana penjenayah ini mendapat nombor telefon mangsa untuk dihubungi? Ini sekali gus menimbulkan persoalan selamatkah data pelanggan yang berada pada pihak bank, telco atau syarikat pengendali beli-belah secara online dan syarikat perkhidmatan lain?
Jangan ada pihak yang menangguk di air keruh. Ciri-ciri keselamatan data peribadi pelanggan harus terus dipertingkatkan supaya tidak mudah orang dalam menjadi dalangnya. Jika tidak ia membuka ruang kepada banyak lagi jenayah penipuan kewangan.
Sebab itu, ramai yang bising apabila mendengar dakwaan dan khabar angin mengenai MySejahtera yang mahu diswastakan atau dijual pada orang luar. Jika ini berlaku, entah apa lagi jenayah penipuan yang timbul.
Isu ini bukan boleh habis dengan menasihati orang ramai supaya jangan melayan panggilan yang tidak dikenali. Hakikatnya, bukan ramai pun yang suka mendengar nasihat.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.