Mungkinkah kita patut hapuskan sahaja parti politik?

Mungkinkah kita patut hapuskan sahaja parti politik?

politik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU ini amat hangat diperkatakan tentang Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti (RUU ALP) yang seharusnya dibentangkan dan diperdebatkan. Tanda-tanda awal akan kegagalan RUU ALP sudah ada pertunjuknya apabila kabinet dan pemimpin politik sendiri gagal untuk sepakat dalam perubahan besar ini.

Harus diingat, RUU ALP juga merupakan satu ikatan yang menyelamatkan Perdana Menteri daripada gangguan terutama pihak pembangkang termasuk mendapatkan sokongan mereka dan memastikan mereka tidak ‘mengganggu’ Perdana Menteri dan dasar-dasar yang cuba beliau perkenalkan.

Saya kira jika RUU ALP ini gagal untuk dilaksanakan pastinya akan menjadi faktor utama kepada kejatuhan beliau dan ironinya akan membawa kepada pilihan raya lebih awal dari waktunya.

Pada pandangan saya, jika kita masih khuatir tentang ahli-ahli Parlimen yang sering berbolak-balik hati mereka sehinggakan berlaku undi protes rakyat, dengan tidak keluar mengundi.

Apa kata rang undang-undang yang perlu digubal bukannya berkaitan dengan antilompat parti tetapi satu peraturan baru yang dikawal selia oleh SPR, iaitu semua yang bertanding dalam pilihan raya hendaklah bertanding atas kapasiti individu dan tidak terikat kepada mana-mana parti politik.

Nanti ada pula yang bertanya, bagaimana pula hendak menentukan kerajaan? Jawapan saya mudah, kita pilih dahulu perdana menteri dalam kalangan ahli-ahli yang berhormat yang berjaya dalam pilihan raya menerusi undi terbuka di Parlimen. Tanpa perlu berselindung dengan kekebalannya. Dari situ diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan dan pengesahan.

Lihat sahaja kebelakangan ini sebagai pengukuhan fakta saya, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia Ketujuh, beliau sekadar ketua parti yang hanya mempunyai enam orang ahli Parlimen.

Majoriti

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak memiliki majoriti ahli Parlimen dari parti beliau. Apatah lagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Maka teori saya untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan ahli-ahli Parlimen tanpa mewakili mana-mana parti bukanlah sesuatu yang janggal untuk dilaksanakan

Begitu juga dengan lantikan para menteri kabinet. Kita amat terikat untuk melantik mereka iaitu ahli parlimen dari parti sendiri (sebagai memberi imbuhan sokongan) tanpa memikirkan kebolehan dan latar belakang mereka.

Ini sehingga menjejaskan perkembangan negara dan membuka ruang kepada ketirisan dana negara. Lihat sahaja ketika ini betapa kita agak tertinggal dengan negara-negara jiran kita yang satu ketika kita jauh meninggalkan mereka, dalam segala bidang, samada ekonomi mahupun sosial.

Secara hakikatnya, Siasah Syariah (Politik berteraskan Islam) telah pun menggariskan dua asas penting yang perlu diambil kira dalam memberikan amanah atau tugasan khususnya jawatan politik kepada seseorang individu.

Asas itu adalah al-Quwwah dan al-Amanah atau Kemampuan/kekuatan dan Amanah. Menurut Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya  Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah: “Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26)

Kita sering mendabik dada mengatakan agama Islam adalah agama persekutuan tapi mengapakah garis panduan Islam, seperti ini, sering kali kita ketepikan jika kita benar-benar mendukung perlembagaan Malaysia. Apakah alasan kita kali ini?

Indonesia

Suka juga untuk saya merujuk kepada kabinet Republik Indonesia. Yang mana mereka tidak pernah terikat untuk melantik dari golongan yang dipilih rakyat ke parlimen mereka.

Kebanyakan mereka adalah ahli ataupun pakar dalam bidang masing-masing. Mungkin ada yang mengatakan negara kita mengamalkan sistem yang berbeza, mana mungkin dapat dilaksanakan.

Pelik juga, kerana negara kita ini ramai pengulas politik tapi malangnya tidak ramai yang menguasai perlembagaan.

Persoalan saya kepada mereka, apakah syarat-syarat untuk menjadi Menteri? Adakah semestinya ahli parlimen?

Kalau itulah jawapan anda, pastinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Idris Ahmad tidak akan merasa jawatan mereka sekarang. Maksudnya, ia boleh dilakukan, dengan melantik mereka sebagai Senator di Dewan Negara.

Saya mendambakan agar kita dapat memperkasakan Dewan Negara dengan mereka yang betul-betul berkaliber bukan mereka yang penuh dengan agenda politik kepartian.

Lihat sahaja perbahasan yang berlaku dalam Dewan Negara, begitu hambar dan hampir tidak langsung mendapat liputan media, kerana apa yang dibincangkan di situ seperti tiada yang menarik untuk dilaporkan.

Mengabsahkan

Dewan Negara kita ketika ini peranannya hanya seperti mengabsahkan (rubber stamp) apa jua yang di laksanakan oleh Dewan Rakyat sedangkan peranan mereka lebih besar dan tinggi dari itu.

Mereka seharusnya menjadi lapisan terakhir dalam mengemudi kebobrokan yang berlaku. Lebih tepat seharusnya mereka di sini adalah mereka yang mempunyai sifat berkecuali supaya dapat melihat sesuatu isu itu dengan lebih holistik. Terutamanya dalam perbahasan rang undang-undang dan belanjawan.

Saya bukanlah seorang yang menongkah arus, tetapi lebih kepada seorang rakyat yang amat mencintai negara ini. Kaedah pemikiran saya mudah, jika sesuatu yang berlaku sudah tidak lagi bersesuaian dengan suasana semasa, jangan takut untuk merubah.

Hanya orang gila sahaja yang melakukan sesuatu perkara dengan kaedah sama berkali-kali dengan mengharapkan keputusan yang berbeza.

Pastinya tiada antara kita yang gila! (melainkan yang gila kuasa). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya