Mensyukuri nikmat Ramadan

Mensyukuri nikmat Ramadan

SEPATUTNYA dalam bulan Ramadan yang syaitan-syaitan dirantai dan diikat, umat Islam berpusu-pusu menuju ke rumah-rumah Allah untuk melaksanakan ibadat fardu atau sunat. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, kita sudah enam hari berada dalam Ramadan tahun ini. Bersyukur atas nikmat diberi kesempatan untuk sekali lagi bertemu bulan yang sangat istimewa, turut dikenali sebagai penghulu segala bulan.

Jika kita renung di kanan dan kiri, ada dalam kalangan sahabat-sahabat kita yang sudah meninggal dunia. Tidak berkesempatan berada dalam Ramadan. Oleh itu, banyakkan bersyukur di atas rahmat dan peluang yang diberikan Allah untuk berada dalam bulan ini.

Ada puluhan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan fadilat dan keutamaan puasa Ramadan. Ia bukan bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak, malah turut memberi faedah besar kepada kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini.

Antara fadilat dan kelebihan puasa Ramadan adalah:
– Pintu langit dibuka.
– Pintu-pintu syurga dibuka.
– Pintu nerara ditutup.

Fadilat lain termasuklah mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga, permintaannya dimakbulkan Allah SWT dan setiap kali sujud orang berpuasa, dikurniakan 1,700 kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

Bagaimanapun, masih ramai yang alpa barangkali akibat tabiat lama. Natijahnya, masih belum terbuka hati untuk menjejak kaki ke masjid dan surau beribadat. Padahal sejak 1 April lalu, pelbagai sekatan dan had seperti penjarakan fizikal untuk solat berjemaah sudah pun ditarik balik.

Sepatutnya dalam bulan Ramadan yang syaitan-syaitan dirantai dan diikat, umat Islam berpusu-pusu menuju ke rumah-rumah Allah baik untuk melaksanakan ibadat fardu atau pun sunat. Pun begitu, alhamdulillah banyak masjid dan surau dilihat melimpah dengan jemaah pada minggu pertama Ramadan. Ramai yang menunaikan solat Subuh dan tarawih berjemaah.

Harapannya, semua kita istiqamah dan mampu bertahan hingga ke pecutan terakhir seterusnya menggapai malam al-Qadr dan menghidupkan qiam sepanjang sebulan Ramadan.

Sayangnya, keterujaan kita menyambut Ramadan yang juga disebut bulan pesta ibadah, tidak ‘sehebat’ sesetengah orang yang bersorak gembira menyambut berita konsert penyanyi antarabangsa, Justin Bieber. Dia dijadual mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.

‘Kegilaan’ terhadap Bieber terbukti apabila tiket konsertnya yang akan diadakan di Stadium Negara habis terjual dalam masa tiga jam sahaja. Tiket-tiket dijual bermula pada harga RM288 hingga RM1,088.

Alangkah baik, jika ‘kegilaan’ sedemikian turut diterjemahkan dalam bab ibadat kita kepada Allah. Biar masjid dan surau melimpah dengan jemaah setiap hari. Jika dihitung tempoh masa kita menunaikan solat Isyak dan tarawih di masjid hanya antara 45 minit hingga sejam. Namun, ganjarannya amat hebat.

Lebih hebat lagi, ganjaran pahala itu dijanjikan oleh Allah SWT, pemilik langit, bumi dan segala isinya. Ibadat ini turut disebut sebagai qiam iaitu menghidupkan malam-malam Ramadan dengan beribadah kepada Allah.

Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan tarawih secara berjemaah atau bersendirian. Namun, ganjaran bagi yang mendirikannya secara berjemaah adalah sungguh luar biasa.

Ia dinyatakan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang solat qiam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiam sepanjang malam.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Mana mungkin, kita insan yang lemah ini mampu beribadat sepanjang malam. Namun, dengan keberkatan Ramadan, Allah memberi kelebihan kepada umat Nabi Muhammad SAW mendapat pahala berlipat kali ganda walaupun dengan amalan sedikit.

Hadis ini juga memberi kefahaman kepada kita jika imam itu mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan tiga rakaat witir, maka makmum juga perlu menyelesaikan semua rakaat tersebut bersama imam. Ini jika mereka ingin mendapat fadilat pahala solat sepanjang malam.

Demikian juga, jika imam mendirikan solat tarawih lapan rakaat disusuli tiga rakaat witir, maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam.

Pokoknya, hendaklah solat bersama imam hingga ke akhir. Bukannya melunaskan solat witir bersendirian di rumah dengan alasan mahu mengerjakan solat tahajud kelak.

Seperkara lagi yang boleh kita beri perhatian adalah bab bersedekah dan memberi makan orang lain dalam Ramadan. Walaupun sudah berada dalam fasa endemik, masih ramai yang terkesan dengan Covid-19. Lihatlah adik-beradik, jiran tetangga atau mereka yang kurang bernasib baik.

Jadikan Ramadan, bulan untuk memperhebatkan sedekah dan infak. Tidak semestinya jumlah yang besar. Sebaliknya, cukup dengan sebungkus kurma, segelas air atau sebungkus nasi untuk kita bersedekah terutama ketika berbuka.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad)

Demikian juga baginda SAW yang menjadi lebih pemurah dalam Ramadan berbanding bulan-bulan lain. Ia sebagaimana hadis daripada Ibn ‘Abbas r.a yang bermaksud: “Adalah Nabi SAW seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi pada setiap malam pada Ramadan untuk mengulangkaji al-Quran dan kemudiannya Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.” (Riwayat Bukhari)

Selain itu, banyakkan puji dan syukur kepada Allah di atas segala nikmat kepada kita. Berada dalam negara yang aman damai, bebas boleh beribadat dan bergerak ke sana-sini, semuanya adalah nikmat pemberian Allah.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim: 7)

Syukur adalah pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Syukur pada istilah pula adalah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya