PADA September 2019, RUU Undi18 menjadi pindaan perlembagaan pertama yang mendapat sokongan dwipartisan, dan ia berkuat kuasa pada 15 Disember tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan pada 14 Januari lalu, berikutan pengenalan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, bahawa sejumlah 5.8 juta pemilih baharu telah ditambah ke dalam daftar pemilih sebanyak 15.3 juta, menjadikan jumlah keseluruhan pemilih berjumlah 21.1 juta,
Daripada pengundi baharu, 1.2 juta berumur antara 18 hingga 20 tahun manakala selebihnya berumur 21 tahun ke atas dan tidak berdaftar sebelum ini. Jika pilihan raya dijalankan pada pertengahan tahun depan, saya menganggarkan 12.2 juta orang berumur 18 hingga 40 tahun akan mengundi, merangkumi 58 peratus daripada keseluruhan pengundi. Ramalan saya adalah berdasarkan daftar pemilih dan data demografi Jabatan Perangkaan, untuk tahun 2022.
Untuk tujuan perbandingan, Pengundi berumur 21 hingga 40 tahun membentuk kira-kira 41% daripada pengundi pada pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.
PILIHANRAYA NEGERI JOHOR BERMULA SEGALANYA
Pilihan raya Johor merupakan kali pertama pengundi Undi18 layak untuk mengambil bahagian berikutan rang undang-undang itu diperkenalkan, dan parti politik berlumba-lumba meletakkan muka lebih muda atau baharu dalam undi negeri Johor dan Melaka. Sebagai contoh, 70% daripada calon BN (kerajaan negeri semasa) untuk undi Johor adalah muka baharu.
Lima daripada calon gabungan BN adalah dari sayap pemuda UMNO (umur di bawah 40 tahun yang bercanggah dengan definisi belia dunia), dan mereka semua memenangi pilihan raya mereka.
BAGAIMANA ANAK MUDA MENGUNDI?
Untuk rekod, terdapat lapan calon yang bertanding pada pilihan raya negeri ini yang berumur bawah 30 tahun. Suka untuk saya mengulas sedikit berkenaan kekuatan salah satu parti yang dikenali sebagai MUDA yang sentiasa dikaitkan dengan “golongan muda” sebagai pelapis kepada parti-parti politik yang sedia ada.
Selain memenangi satu kerusi (Puteri Wangsa, yang boleh dianggap sebuah kerusi kawasan bandar), parti itu bernasib baik di enam kerusi lain yang ditandinginya. Tiada deposit pilihan raya calon MUDA yang hilang. Secara tuntasnya mereka berjaya meraih undi sewajarnya walaupun kali pertama bertanding.
Parti-parti politik yang lebih lama dan besar seharusnya mengambil perhatian terhadap prestasi MUDA. Sebagai contoh, Mohamad Hasan, timbalan presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), mengingatkan parti itu tentang kepentingan mendekati pengundi muda semasa mesyuarat tahunan yang didominasi oleh seruan lantang untuk pilihan raya umum dengan segera.
“Kita memerlukan sentuhan baharu – cara baharu dan imaginasi baharu. Apatah lagi dengan kemenangan tunggal MUDA di Johor. Kejayaan mereka mengingatkan kita betapa peri pentingnya mendekatkan diri dengan golongan milenial,” katanya dalam ucapan pada 16 Mac, semasa Perhimpunan Tahunan UMNO.
PENGAJARAN DARI PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR
Para penganalisis politik (yang berkelayakan dan sebaliknya) amat berminat memantau perkembangan dalam pilihan raya Johor baru-baru ini untuk memberi satu gambaran tentang tabiat pengundi muda, kerana kira-kira separuh daripada pengundi yang layak mengundi berusia di bawah 40 tahun.
Berdasarkan apa yang ada di depan mata, saya percaya bahawa semua parti politik harus bekerja lebih keras untuk memastikan mesej mereka sampai kepada generasi muda. Secara peribadinya saya merasakan kebanyakan pengundi muda, terutamanya mereka yang pertama kali mengundi akan mengikut pilihan tradisi keluarga mereka.
Walaupun ianya tidak begitu tepat, namun ia adalah gambaran yang terbaik tentang aliran undi keseluruhan yang telah berlaku, terutamanya di kawasan luar bandar.
Seperti yang telah dinyatakan, melihat pada pola Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini, boleh dianggap meletakkan calon yang lebih muda tidak memberi kesan yang ketara, kerana ramai juga yang tewas.
Saya ingin cadangkan semua persatuan politik perlu menampilkan imej yang lebih mesra belia, dengan manifesto mereka lebih menyentuh isu yang melibatkan golongan ini.
Ringkasnya, pengundi yang berumur antara 18 dan 25 tahun akan mula memikirkan masa depan mereka. Isu-isu seperti rumah pertama mereka dan peluang pekerjaan akan menjadi topik utama di benak fikiran mereka. Pengundi muda, pada pendapat saya, lebih memikirkan tentang isu “bread and butter” dan bukannya isu yang lebih besar seperti banjir dan perubahan iklim. Mereka juga akan mengundi kerajaan yang komited untuk membantu golongan muda dalam meningkatkan kemahiran mereka dan meneruskan pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi. Mereka juga mahukan seseorang yang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda yang baru bermula dalam alam kerjaya mereka.
Isu nasional seperti integriti (1MDB dan rasuah) juga dilihat kurang penting. Boleh dikatakan golongan ini kurang mengambil berat tentang kesukaran ini selagi mereka boleh makan dan bertahan dalam kehidupan seharian mereka.
APA YANG PARTI POLITIK PERLU LAKUKAN?
Dengan pilihan raya umum semakin hampir, parti-parti politik harus segera sedar akan kepentingan untuk meraih undi belia. Mereka juga perlu akui bahawa golongan muda bukanlah penyokong setia sesebuah parti politik, tidak seperti generasi tua yang cenderung menyokong hanya satu parti.
Jika parti politik tidak melakukan perkara yang betul untuk mereka, saya percaya pengundi muda tidak sabar-sabar untuk menukar dan menguji parti yang berbeza. Ini bermakna parti-parti politik mesti bekerja lebih keras dalam ikrar dan janji mereka.
Di atas kertas, Undi18 (Umur 18 sahaja) mewakili kurang daripada 4% daripada jumlah pengundi (di Johor), dan peratusan keluar mengundi kurang daripada 50%. Gambaran ini membuktikan ramai anak muda tidak menyedari bahawa mereka boleh mengundi dalam pilihan raya.
Mengikut keputusan undian Johor, tiada satu parti pun boleh memonopoli undi belia. Hanya kerana mereka masih muda tidak bermakna mereka lebih cenderung untuk mengundi menentang kerajaan yang sedia ada; parti politik mesti memahami akan kehendak golongan ini. Ini disebabkan oleh fakta bahawa sebarang keputusan yang melibatkan dasar “belia” akan memberi kesan yang mendalam kepada keputusan pengundian mereka.
SAYAP PEMUDA PARTI POLITIK
Kebanyakan parti politik utama sudah mempunyai sayap pemuda yang dikendalikan oleh ahli “ berjiwa” muda.
Parti politik jelas perlu melakukan kerja yang lebih baik untuk mengintegrasikan ahli baharu dan memberi mereka peluang untuk sama-sama terlibat dalam membuat dasar-dasar parti.
Ini amat penting apabila menarik minat golongan muda untuk terlibat dalam politik. Parti politik boleh menjadi relevan semula dengan memberi peluang kepada golongan muda untuk mengusulkan isu-isu yang penting bagi mereka.
Pendekatan semasa mengehadkan keupayaan anak muda untuk menjadi kreatif dalam parti politik kerana keahlian lebih lazim ditakrifkan dengan menghadiri mesyuarat kawasan atau kempen pemilihan parti. Peraturan parti yang terlalu “rigid” sebegini yang menjadi penghalang kepada penyertaan belia yang berkesan.
Akibatnya, ramai anak muda tidak tertarik dengan politik kepartian atau tidak berminat dengan prospek mengubah perkara melalui bentuk penglibatan tradisional (parti politik).
PENGUNDI MUDA VS PEMIMPIN MUDA
Secara tuntasnya saya percaya pengundi muda akan menjadi penentu dalam pilihan raya akan datang. Tidak kira parti politik atau gabungan mana yang ingin mentadbir negara, ia mesti menarik minat demografi ini. Dalam PRU 15 akan datang, ini adalah taktik terhebat bagi mana-mana parti politik, jika ingin menang.
Selepas PRU14, saya telah mengasaskan sekolah politik dan demokrasi bersama dengan Majlis Belia Negara (MBM) pada 2018. Matlamat utamanya adalah untuk mendidik dan memberi pendedahan peri pentingnya politik ke atas kehidupan mereka.
Tetapi, malangnya, ia layu selepas setahun, dan saya mengakui bahawa parti politik lain mesti telah memulakan atau sepatutnya memulakan projek yang setanding ini, dan mereka yang belum lagi mungkin perlu bangkit dari tidur yang lena.
Masa depan kita terletak di tangan Undi Muda. – UTUSAN
Penulis adalah pemerhati dan penganalisis politik