Mahu gaji minimum, setimpal atau adil? - Utusan Malaysia

Mahu gaji minimum, setimpal atau adil?

Laporan berita bertajuk Berhutang sepanjang hayat disiarkan di muka depan Utusan Malaysia pada Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Berhutang sepanjang hayat ini bukan saja golongan B40, yang M40 dan T20 pun sama juga. Siapa yang boleh dan mampu beli rumah dan kereta secara tunai? Mestilah buat pinjaman bank.
“Ingat bank hendak layan gaji bawah RM1,500 untuk buat pinjaman? Yang banyak berhutang ini orang bergaji sederhana dan besarlah.”
Itu kata seorang kawan apabila dia membaca muka depan Utusan Malaysia pada Khamis lalu yang bertajuk Berhutang sepanjang hayat.
Dalam laporan itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berharap agar tidak ada pusingan U atau penangguhan gaji minimum RM1,500 yang akan dilaksanakan bermula 1 Mei ini.
Pokok pangkalnya, kata Abdul Halim, gaji rendah men­datangkan kepada keruntuhan ekonomi apabila sudah tiada lagi kuasa membeli dalam kalangan rakyat.
Ya betul, bukan golongan B40 saja terjebak dengan hutang sepanjang hayat. Semua orang pun berhutang. Yang membezakan sama ada dia pergi ke bank atau cari ah long.
Iyalah, yang bergaji tinggi, ti­dak mungkin dia mahu tinggal di rumah kos rendah dan mem­be­li motosikal kapcai, tentu ma­hu beli motosikal besar, BMW R1250gs Adventure contohnya, ya tak?
Saya bersetuju. Bab hutang ini, golongan mana yang tidak dibebani hutang? Kanak-kanak sajalah. Sedangkan pelajar univer­siti yang belum keluar dari Menara Gading itu dah pun me­min­jam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Bila dapat kerja kena bayar balik hutang itu dan pada masa sama membuat pinjaman bank beli kenderaan.
Maknanya seawal 20-an ramai yang sudah berhutang. Bila sudah stabil sikit membuat pinjaman bank untuk beli rumah dan pinjaman peribadi termasuk kad kredit. Akhirnya sepanjang zamanlah hutang tak habis-habis. Itu yang mengharapkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar hutang.
Permohonan pengeluaran Khas KWSP RM10,000 setakat 14 April lalu menunjukkan daripada 5.3 juta permohonan, golongan M40 paling banyak memohon iaitu 59 peratus berbanding B40, 55 peratus dan T20, 39 peratus.
KWSP dalam kenyataannya sebelum ini turut memberitahu, 40 peratus permohonan untuk pengeluaran khas itu memberi alasan menampung perbelanjaan keperluan asas harian, 26 peratus membayar tunggakan hutang manakala 24 peratus lagi mengalami pengurangan pendapatan.
Betullah, hidup ini bukanlah semudah bercakap macam pakar motivasi dengan modul-modulnya. Bergelut dengan gaji yang tidak setimpal dengan kos hidup semakin tinggi, inilah cerita benar dan perit yang harus diharungi.
Isu gaji minimum pada saya bukan jalan selesai yang mutlak. Gaji setimpal dengan kerja, pengalaman dan kelulusan sepatutnya menjadi garis panduan skim gaji.
Gaji minimum naik pada bulan depan, kalau ia tidak memberi kesan atau anjakan gaji kepada pekerja lain yang sudah lama bekerja dan golongan profesional tentu ia tidak memberi banyak kebaikan kepada keseluruhan warga kerja. Yang dapat untungnya, pekerja asing sajalah.
Sekarang ini belajar tinggi-tinggi dan termasuk dalam kategori profesional pun, ramai majikan membayar gaji di bawah RM2,500 atau lebih rendah lagi di bawah RM2,000.
Majikan masih bermain dengan skim penggajian purbakala. Kalau 20 tahun dahulu graduan menerima gaji permulaan RM1,200 hingga RM1,800 , tak akan sekarang pun macam itu juga?
Sebab itu ramai yang lebih suka menceburi ekonomi gig, bawa penumpang atau hantar makanan mereka boleh dapat gaji lebih daripada itu. Itu pun ramai rider mengeluh pen­dapatan mereka dipotong kerana berlakunya lambakan rider. Maknanya, ekonomi gig juga bukan penyelamat dan tidak boleh terlalu diharapkan sangat.
Dan yang peliknya juga ada pemimpin parti politik, penganalisis dan pakar ekonomi yang senang saja berkata mereka ini memilih kerja. Menasihati jangan pilih kerja. Kalau diberikan jawatan eksekutif dengan gaji RM1,500, pegawai apa itu?
Dalam pada itu, isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya oleh kerajaan. Kalau gaji minimum naik sehingga RM2,000 tetapi harga barang sama naik dengan gaji, ia tidak memberi makna kepada rakyat.
Kesimpulannya, kisah periuk nasi dan perut rakyat ini adalah isu utama yang harus diselesaikan terlebih dahulu waima parti mana pun memimpin negara. Bukan melayan isu perebutan kuasa yang kini bagaikan dianggap isu ‘sampah’ oleh rakyat kerana tidak mendatangkan manfaat apa-apa pun kepada mereka.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya