BAGUSLAH penguatkuasaan pelitup muka perakuan SIRIM yang heboh ceritanya sehari dua ini ditangguhkan dari 4 Julai ini ke tahun depan.
Memang menimbulkan persoalan besar, ketika kita sedang memasuki fasa peralihan endemik Covid-19, dan sudah dua tahun kita diwajibkan memakai pelitup muka ke mana-mana, alih-alih baru sekarang kalut cerita pasal perlunya ada perakuan SIRIM. Cakap pasal nyawa dan keselamatan. Kenapa tidak terfikir pelaksanaannya ketika mula-mula kita berhadapan dengan wabak ini? Kenapa baru sekarang idea ini timbul dan dibangkitkan?
Langkah sebegini tentulah dilihat seolah-olah bagaikan sudah ketinggalan kereta api. Sudahlah tertinggal, dikejar pula.
Pewartaan ini katanya bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.
Selama ini elok saja orang ramai memakai pelitup muka tanpa perakuan SIRIM, tak pula dengar ada kes kematian kerana memakai pelitup muka tanpa logo SIRIM. Jadi, adakah langkah ini perlu dan mendesak sangat?
Walaupun nanti denda pada yang tidak mematuhinya hanya melibatkan pengimport dan pengilang bukan pengguna, tetapi bolehkah ia menjamin tiada kenaikan harga berlaku?
Peniaga pula, pantang berkualiti sikit, ada saja akal untuk menaikkan harga barangan itu walaupun tidak membabitkan kos tambahan atau kosnya tidak seberapa.
Pada saya, menjadi tidak bermakna juga jika memakai pelitup muka berlogo SIRIM tetapi cara pemakaian tidak betul, hidung pun terdedah dan sesekejap diletak di dagu.
Dan ketika kita masih melalui waktu-waktu sukar ini, janganlah ditambah lagi kesusahan yang ada.
Dalam fasa pemulihan ini negara perlukan solusi untuk menangani isu-isu rakyat ketika ini, bukan menimbulkan pula masalah lain yang hanya menguntungkan golongan berduit dan menimbulkan kemarahan rakyat marhaen.
Sebab itu, berlaku beberapa kejadian di negara lain, pemimpin yang menyusahkan dan tidak disukai rakyat dihumban beramai-ramai ke dalam tong sampah.
Sepatutnya, yang perlu diambil berat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Pengguna ketika ini adalah isu-isu kenaikan harga barang. Ini lebih penting berbanding hal -hal sampingan lain.
Sebabnya, gaji minimum naik RM1,500, dapat Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), boleh mengeluarkan RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi harga barangan terutamanya makanan terus naik, sudah tentu ia tidak memberikan apa-apa makna.
Hakikatnya, ketika ini pengguna berterusan bergelut membayar barang keperluan dan makanan dengan harga yang tinggi. Ayam, telur, roti, tepung, sayur, sardin dan macam-macam lagi barangan keperluan sudah mengalami kenaikan harga. Itu belum lagi disentuh perkhidmatan lain. Ini menjadikan kos sara hidup meningkat.
Tetapi itulah, kalau gaji tidak naik, tak dapat BKM dan tiada pengeluaran one off RM10,000 KWSP, sebenarnya harga barang naik juga. Sama saja hukum dan kitarannya.
Maknanya, kenaikan harga barang adalah isu yang sudah berzaman. Dari dulu sehingga sekarang masih terus dicari formula untuk mengatasinya.
Tetapi tentulah tindakan setakat pantau dan memberi amaran keras atau tegas, apatah lagi membanding-bandingkan kenaikan harga barang di negara ini yang dikatakan lebih terkawal berbanding negara lain – alasan sebegini menjentik kemarahan rakyat.
Isu harga ayam contohnya, tidak pernah habis. Pengguna terpaksa membayar lebih. Peniaga pula bengang sebab yang asyik dikompaun adalah mereka. Heretlah sekali yang ada dalam rantaian.
Macam lagu bangau oh bangau lah, peniaga salahkan dan suruh tanya pemborong dan pembekal. Tanya pembekal disuruh pula tanya kilang dedak. Tanya kilang dedak disuruh tanya sumber bahan itu di luar negara pula. Selepas itu, tak tahu tanya siapa dah. Balik semula kepada pengguna dan peniaga. Begitulah kitarannya.
Sedar atau tidak, setiap kali musim perayaan akan berlakulah pesta naik harga. Apa pilihan pengguna? Tak akan jalan selesainya boikot saja atau makan biskut kering.
Ada yang bising makanan di bazar Ramadan naik harga. Begitu juga bufet Ramadan di hotel dan restoran. Masak di rumah? Pergi pasar pun bahan makanan mahal. Jadi semuanya pusing-pusing di situ juga.
Inilah cabaran besar KPDNHEP. Menangani isu kenaikan harga. Inilah masalah utama yang perlu diselesaikan. Fokuslah kepada hal-hal yang lebih penting.
Kita bukan mahu perlekeh apa yang dilakukan oleh pihak penguat kuasa dalam menangani isu-isu kepenggunaan. Setiap langkah yang baik pasti kita sokong dan menghargainya.
Tetapi biasalah tindakan dan langkah yang tidak bijak selalunya lebih diingati. Jadi, jangan lakukannya. Itu saja.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.