‘Kereta ada kosong lagi tak?’ - Utusan Malaysia

‘Kereta ada kosong lagi tak?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memandu pada waktu malam memang mendamaikan. Selain suasana tenang dan nyaman, kita juga tidak perlu bersesak dalam panas terik mentari. Namun tetap ada risiko buruk dan baiknya.
Seperti cerita yang dikongsikan oleh seorang sahabat, Sofea Ibrahim dari Shah Alam ini. Baginya pengalaman memandu malam ketika ingin pulang ke kampung halamannya bersama suami dan anak lelaki bongsunya cukup meninggalkan kesan mendalam ke atas dirinya.
Mari ikuti kisah Puan Sofea…
Cerita ini berlaku pada 2010 lalu. Ketika itu saya dan suami merancang untuk pulang ke kampung halaman kami yang terletak di sebuah daerah di Pahang. Kami ambil keputusan untuk bertolak selepas Isyak kerana suasana lebih tenang tanpa kesesakan jalan raya. Suami terus setuju. Kami pulang bertiga termasuk anak bongsu.
Sepanjang perjalanan semuanya lancar. Jalan raya juga lenggang. Setelah hampir satu jam perjalanan, kami berhenti di sebuah stesen minyak kerana anak ingin membuang air.
Suami berhentikan kenderaan di kawasan parkir bangunan tandas di bahagian belakang untuk turunkan saya dan anak sebelum dia pusing semula ke stesen minyak di hadapan untuk mengisi minyak.
Saya tunggu di luar tandas sahaja kerana memang lazimnya anak sudah biasa ke tandas seorang diri memandangkan usianya sudah menjangkau sembilan tahun.
Sambil menunggu itu saya regangkan urat-urat di badan. Terasa sedikit lega bila berbuat demikian, maklumlah sudah hampir satu jam duduk di dalam kereta. Sesekali mata saya curi pandang kawasan sekeliling. Cukup sunyi. Kawasan parkir tersebut kosong, hanya beberapa lori membawa muatan kayu balak sahaja berada di parkir bertentangan.
Entah kenapa saya rasa begitu tidak selesa. Seperti ada yang tidak kena, namun saya cuba buangkan perasaan tersebut jauh-jauh. Fikir saya mungkin disebabkan mata mengantuk dan letih. Tetapi perasaan tersebut semakin kuat menghantui, sedang asyik mengelamun mencari punca, tiba-tiba terdengar anak saya memanggil. “Mama… mama… “ jerit anak saya di pintu tandas.
Saya tarik nafas lega. Setelah membetulkan sedikit pakaiannya terus saya pimpin dia ke arah kereta. Ketika berjalan di tepi koridor tandas tersebut tiba-tiba di hadapan saya muncul seorang wanita berpakaian serba putih. Rambutnya mengurai panjang separas pinggang itu sesekali beralun perlahan ditiup angin.
Kami berbalas senyuman setelah bertentang mata. Namun senyumannya agak janggal. Seakan dia mencebik ke arah saya. Saya teruskan langkah bersama anak menuju ke kereta.
Dari cahaya neon berdekatan, saya lihat suami sudah sedia menunggu di luar kenderaan.
“Dah selesai buang air ke? Kalau sudah jom kita gerak sekarang,” sambungnya sambil mencampakkan puntung rokok di jarinya ke longkang berdekatan. Saya angguk perlahan sambil tersenyum.
“Abang perasan tak perempuan yang masuk ke tandas waktu kami keluar tadi? tanya saya sebaik melabuhkan tubuh di kerusi. Suami pandang saya sambil mengerutkan dahi. Nampak wajahnya kehairanan.
“Perempuan mana pula?” tanya suami ke arah saya.
Saya pandang ke arahnya sambil tangan menarik tali pinggang keledar.
“Laaa… takkanlah abang tak perasan perempuan yang masuk ke tandas masa kami keluar tadi. Perempuan yang pakai baju putih itu,” ulang saya sedikit tegas .
Sekali lagi suami kerut dahi. Nampak raut wajahnya yang sedikit keliru.
“Betul, saya tak nampak sesiapa pun tadi. Awak ini biar betul?” tanya suami lagi.
Saya terdiam. Dalam hati terfikir juga takkanlah suami ingin berbohong, lantas saya ceritakan apa yang berlaku terutamanya tentang jelingan dan senyumannya yang saya rasakan cukup aneh dan mencurigakan.
Suami terdiam. Terus matanya liar memerhatikan sekitar bangunan tandas yang terletak bersebelahan kami.
“Ishh, pelik. Kalaulah ada sesiapa yang lalu pergi ke tandas mestilah saya perasan. Tapi memang saya tak nampak sesiapa pun. Rasanya hanya kereta kita saja yang ada di sini,” kata suami sedikit cuak.
Saya pandang keliling. Memang benar. Sebuah kenderaan pun tiada di situ melainkan beberapa lori balak yang sedang parkir di kawasan laluan kenderaan berat. Mustahil pula rasanya wanita berpakaian baju kurung itu menaiki lori balak.
“Eh, sudahlah itu. Jom kita bergerak cepat! Seram pula saya rasa. Tiba-tiba pula bulu roma meremang naik ini,” sambung saya sambil mengusap lengan.
Sebaik kenderaan yang kami naiki ingin memecut pergi, tiba-tiba anak saya, Nina bersuara dari tempat duduk belakang.
“Betullah papa, tadi memang ada seorang kakak itu. Dia pakai baju warna putih,” jawabnya petah. Saya jeling ke arah suami sambil cebikkan bibir.
“Hah, itulah saya dah cakap tapi awak tak percaya. Bukannya saya nak tipu awak. Tengok, anak kita pun nampak juga. Awak itu tiba-tiba pula buat tak perasan, biasanya kalau wanita cantik lalu mesti cepat saja awak menoleh,” sambung saya sinis.
Suami hanya tersenyum. Dia tidak membalas kata-kata saya. Nampak seperti dia mengalah apabila kami dua beranak berjaya memberikan bukti kepadanya.
“Yelah, mama tadi masa dalam tandas kakak itu ada tegur Nina. Dia tanya Nina nak pergi mana,” sambung anak bongsu saya lagi.
Dengan tidak semena-mena darah saya tersirap. Serta merta saya toleh ke arah anak yang berada di kerusi belakang ketika itu. “Eh, Nina ada jumpa kakak itu dalam tandas?” tanya saya kembali kepadanya. Anak saya mengangguk perlahan.
Serta merta badan saya menggigil. Kalau benarlah apa yang dikatakan oleh anak saya ketika itu memang pasti ada sesuatu tidak kena.
Mana mungkin dia boleh berjumpa dengan wanita itu di dalam tandas sedangkan saya berada di hadapan pintu tandas tersebut. Dan memang tiada sesiapa pun di dalamnya.
Jika ada seseorang masuk pasti saya perasan. Lagi satu jika benar wanita itu berada di dalam tandas, bila masa pula dia keluar? Dan bagaimana pula saya boleh berselisih dengannya ketika menuju ke kereta?
Anak saya tak mungkin menipu. Saya percaya apa yang dikatakan kepada kami. Cuma ada beberapa perkara yang menjadi persoalannya. Yang susah untuk saya tafsirkan.
“Errr… kakak itu cakap apa dengan Nina lagi?” tanya saya.
“Kakak itu tanya kita nak pergi ke mana, lepas tu dia tanya kereta kita ada kosong lagi tak? Kalau kosong dia nak tumpang balik. Lepas itu Nina cakap kalau kakak nak tumpang kena tanya dengan ayah,” sambung anak saya panjang lebar.
Serta merta saya dan suami berpandangan. Saya dapat lihat wajah suami yang serta merta bertukar pucat.
Suami terus capai cakera padat bacaan ayat-ayat suci al-Quran, lantas ditolak masuk ke dalam stereo di papan pemuka kereta.
“Insya-Allah takkan ada syaitan akan ganggu perjalanan kita malam ni,” kata suami cuba menenangkan keadaan.
Saya angguk perlahan walau pada hakikatnya jantung masih berdegup laju. Serta merta saya terus terbayangkan senyuman sinis wanita tadi. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya