Kepentingan ekonomi hijau dan biru - Utusan Malaysia

Kepentingan ekonomi hijau dan biru

Kegiatan pukat tunda yang dilakukan secara berleluasa dan tanpa pengawasan pihak berkuasa akan merosakkan habitat laut dan kawasan pembiakan ikan. – MINGGUAN/ PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA satu ketika dahulu, Malaysia pernah digelar sebagai Harimau Asia kerana mempunyai asas ekonomi yang kuat dan stabil. Namun, model pembangunan ekonomi yang dipacu negara pada ketika itu lebih bersifat konvensional yang mana aspek-aspek penjagaan alam sekitar dan pemeliharaan sumber asli secara relatifnya kurang diberi penekanan.
Walaupun ekonomi negara ketika ini terus berada di landasan betul, sudah tentu kegiatan ekonomi yang dijalankan secara tidak lestari tetap akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar, kerosakan biodiversiti dan perubahan iklim.
Oleh itu, ekonomi hijau adalah salah satu solusi kepada masalah-masalah tersebut. Sekiranya dijayakan secara berstruktur, ia mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan pada masa sama dapat melestarikan sumber-sumber dalam negara.
Kebanyakan pakar ekonomi berpendapat ekonomi hijau dapat mengurangkan pencemaran karbon dan memperlahankan perubahan iklim. Korea Selatan, China dan Kesatuan Eropah adalah peneraju dalam pelaksanaan ekonomi hijau sepanjang dekad lalu. Malaysia juga salah sebuah negara yang mendukung aspirasi pembangunan model ekonomi hijau bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.
Usaha kerajaan negara ini ke arah pembangunan lestari berakar umbi sejak dahulu lagi menerusi beberapa dasar penting seperti Dasar Tenaga Negara 1979, Dasar Susutan Negara 1980, Dasar Kepelbagaian Empat Bahan Api pada 1981 dan Dasar Kepelbagaian Lima Bahan Api pada tahun 2000.
Dasar Teknologi Hijau Negara yang dilancarkan pada 2009 dan Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada 2010 merupakan dasar awam yang penting bagi merangsang pembangunan ekonomi hijau negara.
Kini, Malaysia sedang berusahamengurangkan sebanyak 45 peratus intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau menjelang tahun 2030. Usaha ini bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari yang mana teknologi hijau telah dikenal pasti sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.
Walaupun kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan lain menggembleng usaha untuk memberi pendedahan berkaitan ekonomi hijau, tahap kesedaran orang ramai berkaitannya masih kurang. Pun begitu, belum sempat memahami isu berkaitan ekonomi hijau, timbul pula satu model ekonomi dikenali sebagai ekonomi biru.
Konsep ekonomi biru berkait rapat dengan ekonomi hijau. Ekonomi hijau lebih terarah kepada pembangunan ekonomi secara lestari di daratan. Ekonomi biru juga menitikberatkan aspek pembangunan ekonomi yang lestari, namun fokusnya lebih terarah di lautan.
Di peringkat global, ekonomi biru bukanlah suatu model ekonomi baharu kerana perkara itu hangat dibincangkan di peringkat antarabangsa sejak 2012 lagi. Peningkatan populasi dan permintaan terhadap sumber-seperti makanan, air, tenaga dan pengurangan sumber berasaskan tanah menjadikan dunia mula mengalihkan fokus kepada sumber-sumber di lautan.
Banyak negara menjadikan ekonomi biru sebagai alat dasar bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan. Ia menggariskan keperluan untuk memanfaatkan potensi ekonomi di lautan sambil mengekalkan sumber-sumber di lautan untuk hidangan generasi akan datang.
Sebagai sumber makanan dan mata pencarian kepada sebahagian besar penduduk global serta industri pelancongan, lautan menerusi ekonomi biru berpotensi mencapai beberapa matlamat pembangunan lestari utama seperti tiada kemiskinan, kelaparan sifar dan pemeliharaan kehidupan dalam air.
Sejak 1980-an lagi, beberapa dasar kawalan utama seperti sistem pengezonan, moratorium permit memancing di pesisir pantai dan peraturan peralatan menangkap ikan diperkenalkan bagi mengawal aktiviti penangkapan ikan di laut.
Namun, segala usaha ke arah kelestarian sumber laut akan menemui jalan buntu selagi ada tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab merompak hasil laut dengan rakusnya.
Contohnya, kegiatan pukat tunda secara berleluasa dan tanpa pengawasan pihak berkuasa telah merosakkan habitat dan kawasan pembiakan ikan. Sekiranya kegiatan ini berlaku secara berterusan, kemungkinan besar semua spesies ikan di laut akan pupus menjelang tahun 2048 seperti mana yang dijangka oleh para pakar.
Malah, kesannya akan turut dirasai apabila ramai nelayan yang majoritinya tinggal di kawasan persisiran pantai akan mula kehilangan mata pencarian dan menjadikan agenda pertama dalam matlamat pembangunan lestari (tiada kemiskinan) amat sukar dicapai.
Isu pencemaran juga memberi kesan kepada kehidupan di laut. Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan kebanyakan pencemaran yang berlaku boleh dikaitkan dengan operasi perkapalan dan pelabuhan serta penerokaan minyak dan gas yang dijalankan secara tidak lestari.
Selain itu, antara 1978 hingga 2005, JAS melaporkan sebanyak 476 kemalangan melibatkan kapal dan 144 insiden tumpahan minyak berlaku di Selat Melaka.
Setakat ini, dasar yang menyeluruh dan berintegrasi untuk menjayakan ekonomi biru masih belum ada walaupun kebanyakan sektor ekonomi lautan di dalam negara telah pun mempunyai dasar-dasarnya tersendiri.
Dasar khusus berkaitan ekonomi biru yang menggunakan pendekatan pengurusan berintegrasi amat penting agar ke semua sektor di lautan seperti pengangkutan, pelancongan berteraskan laut, pelabuhan dan sebagainya dapat bekerjasama mendukung usaha memartabatkan sektor ekonomi biru dan pembangunan lestari.
Pemahaman rakyat Malaysia terhadap ekonomi biru masih rendah dan perkara ini sedikit sebanyak merencatkan usaha kerajaan untuk mendukung aspirasi global ke arah pembangunan ekonomi mampan.
Dalam hal ini, kurang bernas sekiranya pihak kerajaan dipersalahkan semata-mata tanpa rakyat menyedari mereka tidak cakna dengan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Penulis ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya