Isu lapuk, tiada siapa yang kisah? - Utusan Malaysia

Isu lapuk, tiada siapa yang kisah?

PETROL adalah antara bahan bersubsidi yang paling banyak disalahgunakan termasuk oleh warga asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA tiga tahun lalu, semasa kunjungan bulanan saya ke Johor Bahru, saya keluar makan bersama dengan rakan sekolah yang kini menetap di Singapura.
Menurut kawan saya itu, rakyat Malaysia tidak sedar betapa kayanya negara kita ini.
Katanya, harga bahan api adalah salah satu kos kehidupan tertinggi di mana-mana negara maju. Harganya, walaupun bebas mengikut pasaran, ia akan tetap dikenakan cukai jualan yang tinggi.
Dengan cara itu, pengguna akan lebih menghargai bahan api, dan industri akan terkejar-kejar mencari alternatif yang lebih mapan dan bersih.
“Tapi di Malaysia, anda siap boleh jual bahan api kepada pemandu dari Singapura, tanpa sesen cukai! Dan tanpa pantauan yang kuat, ramai yang curi-curi mengisi minyak RON95 yang diberi subsidi,” ujarnya lagi.
Saya tersenyum, kerana isu subsidi bahan api sudah mula saya timbulkan dalam media sejak 20 tahun lalu. Memberikan subsidi untuk satu sumber yang semakin pupus adalah satu kerja gila kerana subsidinya hanya akan meningkat.
MAKSIMUM SUBSIDI
Berapakah tahap maksimum subsidi yang mampu kerajaan berikan sebelum kita mengangkat bendera putih untuk mengatakan kita tidak mampu? Ini adalah satu soalan yang mana setiap ahli politik akan berharap penggantinya yang mampu menjawab.
Kemudian kita lihat pula dari segi pengagihan subsidi. Untuk minyak petrol RON95 (pam kuning), tidak ada sekatan pembelian. Ini bermakna semua warga negara Malaysia boleh membeli petrol RON95 dengan harga subsidi dan jika kita mengikut harga pasaran bahan api sekarang, subsidi yang diberikan oleh kerajaan untuk bahan api itu sudah mencapai nilai lebih daripada RM1 untuk setiap liter.
Ini bermakna jika anda menggunakan kenderaan SUV mewah dengan tangki sebesar 80 liter, pihak kerajaan memberikan anda subsidi bernilai RM80.
Bagaimana dengan rakyat B40 yang hanya bermotosikal? Tangki mereka hanya sebesar 4 liter – adakah adil mereka menerima subsidi sebanyak RM4 dan anda dengan SUV mewah menerima RM80? Ini bukan kerja bodoh, tetapi kerja gila.
SUBSIDI KEPADA
YANG LAYAK
Beberapa tahun lalu, ada usaha untuk memastikan subsidi bahan api hanya untuk mereka yang layak. Saya ada juga terbabit dengan beberapa cadangan itu tetapi rata-rata ke semua cara yang dicadangkan itu akan menelan belanja yang sangat besar serta tidak praktikal.
Penggunaan MyKad ter­nyata tidak boleh kerana tidak semua stesen bahan api mempunyai penerimaan da­ta yang bagus. Kos storan data juga terlalu mahal dan mem­bebankan. Sistem pengecaman nom­bor plat pula adalah satu benda yang mengarut kerana sangat mudah untuk membuat plat palsu (dan ini pun satu lagi isu lapuk – plat nombor Malaysia).
Akhirnya, pergolakan politik menjadikan isu pengagihan subsidi itu terkubur dan wang rakyat terus digunakan dengan cara yang tidak efektif.

SKRIP LAPUK
Kementerian yang diper­tanggungjawabkan untuk men­jaga subsidi ini juga dilihat menyepi, bersiap-sedia dengan skrip lapuk mereka setiap kali isu bahan api kita ‘dicuri’ oleh rakyat asing. Walaupun menteri silih berganti, skrip yang sama terus digunakan tanpa mengendahkan komen-komen dari rakyat.
Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata akan mengambil tin­dakan tegas terhadap peng­usaha stesen minyak yang didapati menjual pet­rol bersubsidi kepada ken­deraan asing setelah gambar mengenainya tular dalam media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berka­ta, mana-mana pihak yang me­langgar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) akan dikenakan penalti.
Jelasnya, pemilik stesen minyak berdepan penalti berjumlah tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali manakala bagi perbadanan atau syarikat akan didenda tidak melebihi RM2 juta.

SAPU ISU DALAM TIKAR
Saya cukup memahami keadaan ini kerana antara isu polemik orang Melayu adalah tabiat kita yang suka menyapu masalah ke bawah tikar. Mantera – “benda yang kita tidak lihat, bermakna ia bukan satu masalah” memang cukup sinonim dalam kehidupan kita. Malangnya, setiap yang disorok itu akan muncul kembali sehingga kita benar-benar menyelesaikannya.
Bahan api adalah satu sum­ber yang semakin pupus, dan ini bermakna harganya meningkat dan jumlah subsidi turut meningkat. Kerajaan kita memperuntukkan sebanyak RM3.78 bilion bagi 2021 untuk subsidi petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak.
Dengan harga pasaran global semasa yang meningkat, kerajaan dijangka menampung kos subsidi sehingga RM8 bilion, iaitu RM4.22 bilion lebih tinggi daripada diperuntukan.
Ini bukan jumlah kecil, dan jujur saya katakan, ini kos yang tersangat tinggi untuk menjamin jumlah pengundi yang menyokong ahli politik. Rakyat perlu diajar untuk menghargai bahan api, dan untuk perlahan-lahan menerima kenyataan bahawa subsidi bahan api adalah sesuatu yang membebankan negara.
Saya percaya suatu hari nanti subsidi bahan api ini akan terhenti dan kerajaan sedar duit untuk subsidi itu lebih bagus dilaburkan pada pendidikan dan kesihatan rakyat. Cuma saya berdoa, jangan ia dilakukan bila negara sudah berada di ambang bankrupsi dan semuanya sudah terlambat.

PENULIS ialah Penganalisis automotif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya