Harga ayam naik lagi

Harga ayam naik lagi

Kerajaan akan menyiasat dakwaan wujud kartel dalam industri perternakan ayam di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Demikian bertalu-talu dugaan yang perlu dihadapi oleh rakyat sejak pandemik Covid-19 melanda. Ekonomi kendiri masih dalam fasa pemulihan, sumber pekerjaan dan pendapatan baru sahaja hendak kembali bernafas, namun kini rakyat dihimpit pula dengan isu harga barangan tidak terkawal terutama harga bahan mentah seperti ayam dan telur.

Susulan negara kita juga sudah kembali beralih kepada fasa endemik dan pintu sempadan juga sudah mula dibuka, maka isu kenaikan harga bahan mentah dan makanan lain sebetulnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana kebiasaannya memang dalam jangkaan kita bahawa harga barang akan naik apabila menjelang musim perayaan selain disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat.

Kita mengharapkan supaya kerajaan khususnya terus konsisten terhadap pemantauan harga bahan mentah di pasaran melalui Ops Pantau 2022 terutama sepanjang bulan Ramadhan ini dan Hari Raya Aidilfitri akan datang berpandukan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

MENGAPA BERLAKU KENAIKAN HARGA?

Harga siling ayam yang ditetapkan kerajaan adalah RM8.90 sekilogram. Namun, ada individu-individu yang mengambil kesempatan dan bertindak melampaui batas apabila harga ayam sekilogram dijual dengan harga RM9.50 mahupun RM10 sekilogram.

Meletakkan harga melebihi harga siling sekalipun melebihi satu sen tetap menjadi satu kesalahan. Pemantauan semasa perlu sentiasa diteruskan dan digandakan terutama apabila menjelang musim perayaan. Kerajaan perlu memastikan penternak, pemborong, peruncit dan penjual mematuhi margin tanda harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pada 2021, laporan Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) merekodkan bahawa harga makanan bagi seluruh dunia naik secara purata sebanyak 30 peratus pada tahun berkenaan. Sejak berlakunya pandemik, negara-negara pengeluar dan pengeksport dikatakan turut mengalami sumber pengeluaran yang terhad, rantaian bekalan makanan menjadi sukar. Justeru, permintaan dalam negara adalah lebih diutamakan berbanding permintaan dari luar.

Asasnya, kenaikan harga ayam berlaku disebabkan pelbagai faktor terutamanya harga dedak yang meningkat ekoran sumber jagung dan soya yang diimport dari negara luar. Selain faktor kenaikan harga pasaran peringkat global, ia juga disebabkan oleh kadar pengeluaran sumber yang rendah. Dan ini dipercayai berpunca daripada faktor cuaca, faktor buruh terhad serta permintaan yang tinggi di pasaran.

LANGKAH PENYELESAIAN TUNTAS

Langkah intervensi kerajaan pada masa kini seperti pemberian subsidi bagi sekilogram ayam atau sebiji telur tidak dinafikan memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat, namun langkah tersebut hanyalah penyelesaian jangka pendek. Justeru, kerajaan perlu mula merangka dasar yang lebih komprehensif untuk menangani isu kenaikan harga barangan makanan secara lebih serius.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyatakan mengenai pengenalan dedak alternatif menggunakan isirung sawit. Sekiranya ia berjaya dikomersialkan secara meluas, maka harga ayam dapat dikawal di samping mengurangkan kebergantungan kita terhadap komoditi import.

Selain itu, dalam konteks keselamatan dan jaminan makanan, terdapat keperluan untuk terus memperkasakan kegiatan pertanian dan penternakan. Guna tanah bagi pembangunan perumahan misalnya, perlu dikawal agar tidak mengakibatkan kawasan yang berpotensi bagi kegiatan pertanian, penternakan, dan penanaman menjadi terhad. Ini penting kerana melalui jaminan sektor-sektor inilah kita boleh ‘meramal’ kadar bekalan makanan dalam negara bagi lima, 10 tahun, bahkan juga mungkin bagi 30 tahun akan datang.

Jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN serta negara jiran yang lain, Malaysia masih ketinggalan di belakang dalam soal tahap sara diri terhadap sumber makanan asas. Oleh itu, sudah tiba masanya yang kritikal untuk Malaysia mula memikirkan solusi tuntas bagi meningkatkan tahap sara diri serta jaminan terhadap bekalan makanan. Justeru, adalah penting untuk menilai keluasan tanah yang diperlukan untuk penanaman jagung bijian bagi mencapai kadar penghasilan yang setanding dengan negara jiran.

Dua hal utama yang menjadi indikator kepada akses makanan ialah ketersediaan dan kebolehcapaian. Dalam konteks kenaikan harga barang ini, ketersediaan terhadap barangan makanan itu mungkin ada serta mungkin juga masih mencukupi. Namun, kebolehcapaiannya terhad disebabkan oleh kadar harga barangan yang tidak berpatutan.

Sehubungan itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan bahawa Malaysia mengalami kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 1.7 peratus, bersamaan dengan jumlah 32,447,385 juta penduduk. Terdapat satu laporan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membangkitkan persoalan pertambahan populasi dengan sekuriti makanan negara. Persoalannya, adakah kita cukup bersedia menampung pertambahan penduduk sekiranya tahap sekuriti makanan negara masih kelihatan seperti telur di hujung tanduk?

Antara tunjang utama dalam maqasid syariah adalah menjaga nyawa dan anggota tubuh badan. Ini jelas menunjukkan pentingnya keperluan terhadap jaminan bekalan makanan yang mencukupi dan boleh diperoleh dengan harga munasabah. Soal ketersediaan dan kebolehcapaian terhadap sumber makanan ini terkait dengan polisi pemerintahan berasaskan siasah al-Syar’iyyah kerana ia menyentuh dasar jaminan dan kawalan. Permasalahan seperti jaminan bekalan makanan, kawalan harga serta kualiti makanan yang baik adalah hal yang hanya boleh dikendalikan oleh pemerintah dan pemegang taruh berkaitan. – UTUSAN

DATUK Seri Salahuddin Ayub ialah Ahli Parlimen Pulai & Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya