Kebetulan di bulan Ramadan yang mulia ini, saya mahu berkongsi cerita yang penuh pengajaran untuk kita semua.
Baru-baru ini, seorang kawan saya yang juga pemandu Grab bercerita tentang satu kisah yang menyentuh hati. Kisah itu mengenai seorang penumpang yang ‘tidak memesan atau dirancang’ menumpang kenderaannya minggu lepas.
Kawan ini saya panggil Az saja. Katanya, ketika itu dia berada di sekitar Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.
“Masa itu aku tak ada penumpang pun, sekadar berlegar-legar di kawasan situ dan lalu di depan sebuah klinik.
“Masa itu dari jauh tiba-tiba aku nampak seorang pakcik melambai-lambai tangan, macam menahan kereta orang. Tak ada kereta berhenti pun.
“Aku rasa kasihan dan aku berhenti tanya. Rupa-rupanya pakcik itu tak berapa nampak dan dia mahu balik ke rumahnya, di kawasan flat dekat-dekat situ juga,” cerita Az.
Lantas tanpa berkira, Az mengambil keputusan untuk menghantar pakcik tersebut balik ke rumahnya.
Walaupun pada awal rasa bimbang juga ditipu, tapi cepat-cepat dimatikan rasa was-was tersebut bila melihat wajah pakcik itu yang begitu mengharap.
“Dalam kereta, aku pun bersembang dengan dia. Rupa-rupanya pakcik ini ada cerita sedih. Dia baru balik dari klinik mengambil ubat.
“Dulu dia ada pekerjaan yang bagus dengan sebuah majlis perbandaran. Tapi dia dibuang kerja kerana ambil rasuah. Sudah hendak pencen pun pada masa itu, jadi dia hilang duit pencen.
“Pakcik itu cakap, walaupun matanya tidak berapa nampak dan ada pelbagai penyakit, dia reda. Dia anggap semua itu kifarah atas semua dosa-dosanya.
“Walaupun hidup susah dan isteri pun tak sihat, dia reda. Dia ada anak tapi duduk jauh. Jadi, mereka berdua sajalah tinggal di rumah.
“Sedih sangat aku bila pakcik itu pesan, jangan buat perkara tak baik, carilah rezeki halal sebab musibah itu tak mampu kita tanggung.
“Dia sendiri cakap apa yang dia lalui hari ini sebab dosa-dosa silam dia yang makan rasuah masa bekerja. Masa aku dengar pakcik itu cakap, aku tahan diri daripada menangis, sebak sangat rasanya.
“Aku hantar depan blok rumah dia. Aku bagi sikit rezeki yang ada walaupun dia tolak pada awalnya. Tapi aku cakap sedekah, mujur dia terima,” kata Az panjang lebar bercerita.
Saya mendengarnya pun rasa terkesan di hati. Begitulah hidup, balasan kebaikan atau kejahatan yang dibuat, tidak mustahil diterima ketika masih bernyawa lagi.
Selamat berpuasa semua. Moga Ramadan kali ini dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam usia kita yang masih berbaki ini. – MINGGUAN MALAYSIA
Balasan dapat di dunia, carilah rezeki halal
- Oleh SHIKIN HASSAN
- 3 April 2022, 11:01 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dia menyanyi pula dah …
6 Mac 2022, 12:00 pm
Badan besar, duduk belakanglah!
20 Februari 2022, 10:50 am
Cair hati tengok Chihuahua
13 Februari 2022, 11:12 am