Saya datang nak tempah batu nisan - Utusan Malaysia

Saya datang nak tempah batu nisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nisan merupakan batu tanda yang diletakkan di pusara orang yang telah meninggal dunia. Bukan sahaja untuk memudahkan saudara mara si mati datang menziarah, malah turut menjadi lokasi pemberitahuan di sinilah tempat arwah disemadikan.
Namun ada satu kisah yang ingin saya kongsikan bersama pembaca sekalian. Kisah tentang seorang lelaki yang bekerja sebagai pembuat batu nisan di kampung saya.
Namanya Azali berusia dalam lingkungan 60-an, tetapi di kampung dia lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Ali. Boleh dikatakan hampir seluruh penduduk di kampung dan pekan mengenali sosok ini, tambah pula dia merupakan orang penting yang akan dicari jika melibatkan kematian.
Tetapi ada cerita menarik tentang kerjayanya. Cerita ini berlaku kira-kira tiga tahun lepas. Begini kisahnya.
Malam itu Pak Ali sedang sibuk menyiapkan tempahan nisan untuk salah seorang penduduk di kampung yang baru sahaja meninggal dunia sebulan lalu. Ikut perkiraannya dalam sehari dua lagi waris arwah akan datang mengambilnya, jadi terpaksalah dia menyiapkan seberapa segera takut jika lambat pula nanti.
Dia toleh jam pada skrin telefon bimbit di meja bangsal bersebelahannya. Sudah menghampiri pukul 1 pagi. Lantas dia mencapai gelas berisi kopi O yang dihantar oleh isterinya tadi. Diteguknya separuh sebelum kembali menyambung kerja.
Sedang dia sibuk memperkemaskan ukiran pada nisan yang dipangkunya, tiba-tiba dia tersentak. Bunyi salakan anjing sayup-sayup memecah kesunyian malam. Pak Ali pandang sekeliling. Tiba-tiba entah mengapa dia berasa seram sejuk, seperti ada yang tidak kena.
“Ahh, esok sahajalah aku sambung,” bisiknya dalam hati.
Terus dia mengemas peralatannya. Namun ketika pandangannya beralih ke arah lorong masuk ke rumahnya, dia tergamam. Dia kecilkan mata untuk melihat dengan lebih jelas objek yang menuju ke arahnya. Sesekali dia gosok mata kerana cuba meyakinkan apa yang dilihatnya ketika itu adalah realiti.
Jelas kelihatan satu sosok sedang menuju ke arahnya. Setelah hampir dengannya barulah dia dapat melihat seorang wanita bertudung biru dan berbaju kebaya menghampirinya.
“Assalamualaikum tuan,” sapanya perlahan.
Pak Ali tersenyum. Serta merta dia bangun sambil mengenakan butang di baju kemeja yang dipakainya.
“Waalaikumsalam,” jawabnya.
“Tujuan saya datang ini kerana nak tempah batu nisan. Kalau dalam seminggu boleh siap tak?” tanya wanita tersebut sambil sesekali menundukkan kepala.
Dia cuba mencongak dalam hati. Sesekali dia curi pandang ke arah wanita muda yang berusia lingkungan awal 30-an itu.
Pak Ali garu kepalanya yang tak gatal. Bukan dia ingin menolak tawaran wanita tersebut tetapi dia cuba mencongak sesuatu, takut kalau-kalau dia tidak dapat penuhi janji.
“Boleh memang boleh tapi sekarang ini saya sedang siapkan tempahan orang lain, takut pula kalau tak sempat nanti,” jawab Pak Ali tertib. Wanita tersebut berdiri tunduk tanpa sepatah kata. Dia seakan memikirkan sesuatu. Pak Ali berasa serba salah. Timbul rasa kasihannya melihatkan wanita tersebut. Dia tahu wanita itu mungkin berasa kecewa dengan jawapannya.
“Tak apalah cik. Saya cuba buat nanti. Insya-Allah saya tolong semampu mungkin,” kata Pak Ali cuba menenangkan keadaan.
Serta merta wanita tersebut mengangkat mukanya dan tersenyum. Terpancar raut ceria dari wajahnya ketika itu.
“Terima kasih tuan.., terima kasih banyak-banyak,” jawabnya berkali-kali. Pak Ali tersenyum. Terus dia hulurkan kertas dan pen kepada wanita tersebut.
“Cik tulis dulu nama penuh arwah, tarikh lahir dan tarikh meninggalnya. Senang saya nak buat nanti,” kata Pak Ali sambil memerhati ke arah wanita tersebut yang sedang khusyuk menulis.
“Ini dia,” kata wanita tersebut sambil menghulurkan kertas yang dipegangnya kepada Pak Ali.
Pak Ali menyambutnya sambil mengucapkan terima kasih. Sedang dia membelek-belek kertas tersebut, wanita di hadapannya lantas meminta diri untuk beredar.
“Saya balik dulu tuan. Dah lewat malam sangat ini,” kata wanita tersebut. Pak Ali sekadar mengangguk dan tersenyum.

Seminggu berlalu
Sedang Pak Ali leka memahat nisan di bangsal rumahnya, tiba-tiba sebuah kereta memasuki halaman rumahnya. Bergegas Pak Ali bangun melihat.
“Assalamualaikum,” sapa seorang lelaki pertengahan umur mengangkat tangan ke arahnya.
“Waalaikumsalam,” jawab Pak Ali sambil menghulurkan tangan bersalaman. Setelah memperkenalkan diri, lelaki tersebut terus menceritakan tujuan kedatangannya.
“Sebenarnya saya nak tempah batu nisan untuk adik perempuan saya. Dia baru sahaja meninggal minggu lepas. Harap bolehlah Pak Ali buatkan kerana nanti kami nak buat kenduri sekali sebelum naikkan batu nisannya,” kata lelaki yang memperkenalkan diri sebagai abang arwah.Pak Ali tersenyum sambil menganggukkan kepala.
“Bila tarikh arwah meninggal dunia tu? tanya Pak Ali lagi.
“Minggu lepas. Tak apalah Pak Ali buat saja perlahan-lahan. Sebulan lagi saya datang ambil,” kata lelaki itu sambil mengeluarkan kertas dari poketnya.
“Ini butiran arwah, kalau ada yang tak lengkap Pak Ali boleh telefon saya. Nombor telefon saya ada di bawah ini,” katanya sebelum meminta diri pulang.
Pak Ali membelek-belek kertas di tangannya sambil tersenyum. Lantas dia kembali semula ke bangsal untuk meneruskan kerja. Sebaik sahaja dia duduk matanya terus tertumpu ke arah sepasang nisan yang sedang berbalut kemas di sebelahnya.
Tiba-tiba dia berasa ada sesuatu yang tidak kena. Lantas dibukanya bungkusan akhbar yang membaluti nisan tersebut. Serta merta juga dia mengeluarkan kertas pemberian lelaki tadi dari poket bajunya.
Darahnya tersirap. Dia bingkas bangun. Seolah tak percaya dengan apa yang dilihatnya ketika itu. Dibelek-beleknya tulisan pada batu nisan itu. Iya, nisan yang telah siap itu mempunyai nama penuh dan tarikh lahir sama dengan apa yang ditulis oleh pemuda yang datang menemuinya sebentar tadi.
“Takkan satu kebetulan pula,” bisiknya dalam hati.
Namun fikirannya merewang jauh ketika itu. Dia lantas teringatkan apa yang berlaku pada malam dia didatangi oleh wanita yang tidak bernama itu.
Memang sehingga hari ini dia masih menunggu kedatangan wanita tersebut kerana pada malam itu dia telah memberikan nama penuh dan tarikh lahir, namun tidak memberikan tarikh kematian.
Dia cuba ingin hubungi wanita itu namun wanita tersebut tidak meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi, malah memang dia kosongkan ruang tarikh kematian pada nisan itu andaikata wanita tersebut datang menemuinya nanti.
Dan apabila dia melihat nama penuh, tarikh lahir dan tarikh kematian pada kertas yang diberikan oleh pemuda tadi, dia tahu sosok yang meninggal dunia itu ialah orang yang sama menemuinya minggu lepas.
Pelbagai persoalan bermain di mindanya. Dan yang benar-benar menaikkan bulu romanya ketika itu jika benarlah tarikh kematian wanita tersebut berlaku seminggu lalu, jadi siapakah wanita yang datang menemuinya sehari awal sebelum itu? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya