“Betul ke ayah nak beli tanah tepi sungai tu?” tanya Anis ketika berkunjung ke rumah ayah pada hujung minggu. Emak Anis sibuk di dapur menyediakan minuman petang. Tariq, suami Anis duduk bersebelahan Anis.
“Emak dah cakap pada ayah, tak payah beli. Rumah dan tanah ini pun dah luas untuk kami berdua tinggal,” sampuk emak sambil membawa sepinggan kuih cekodok pisang.
“Kamu itu tak berpandangan jauh, Kiah oii! Aku beli tanah itu, nak buat ‘homestay’. Aku nak jadikan tempat tu kawasan pelancongan. Sejak wabak Covid ni, ramai orang melancong dalam negara saja. Kerajaan tak bagi pergi melancong ke luar negara bagi membendung wabak Covid,” ujar Haji Ebrahim menjelaskan perancangannya yang sudah lama menerawang dalam kepala.
Tariq hanya mendiamkan diri. Sebagai menantu, dia tidak mahu mencampuri urusan mertua. Meskipun dalam hati, Tariq semacam ingin menyampuk memberi pendapat.
“Ayah dah fikir habis-habis?” Anis menduga lagi kemahuan ayah. Sudah pasti ayah telah termakan pujuk rayu si penjual tanah.
“Ya, Anis oii. Ayah nak buat ‘homestay’ macam di Janda Baik tu. Lanskapnya ayah nak buat cantik-cantik. Barulah ramai orang akan datang menginap di ‘homestay’ ayah itu!” Haji Ebrahim terbayangkan suasana Janda Baik yang pernah dikunjunginya. Dia terbayangkan air sungai yang jernih mengalir di celah-celah batu. Dia duduk di atas batu sambil kedua-dua kakinya terendam di dalam air sungai yang dingin.
“Tapi ayah, harga tanah itu terlalu mahal. Itu belum lagi harga rumah ‘homestay’ yang akan dibina atas tanah tu!” Anis menyuarakan pendapatnya.
“Saya setuju dengan cakap Anis, bang. Nanti duit awak itu habis buat projek impian awak itu saja” jerkah Hajah Rokiah menyokong kata-kata Anis.
Hajah Rokiah sendiri pelik dengan perubahan suaminya. Tiba-tiba hendak membangunkan projek homestay. Hantu mana yang telah merasuk suaminya. Sekarang ini pagi petang siang malam, suaminya asyik bercakap tentang projek homestay.
“Memang betul itu ayah. Nanti duit ganjaran perkhidmatan ayah habis beli tanah dan buat rumah homestay. Sedangkan duit tu ayah hendak guna menguruskan kehidupan ayah setiap hari. Keperluan makan minum. Keperluan pakaian. Bayar bil api. Bil air. Bil internet.
“Itu belum lagi jika berlaku perkara kecemasan. Mesti memerlukan duit. Jika ayah habiskan duit ayah dalam masa sehari, nanti apa yang tinggal. Ayah tinggal sehelai sepinggang nanti,” luah Anis menyuarakan kebimbangan di hatinya.
Tariq masih tidak bersuara. Dia tidak mahu jika kata-katanya akan membuatkan mertuanya merajuk atau bergaduh dengannya.
“Kamu dengar ini Kiah, Anis, Tariq! Bila rumah homestay itu siap nanti, katalah ayah letak sewa semalam RM600 Jika tiap-tiap Sabtu Ahad ada orang sewa, ayah boleh dapat sebulan RM4,800 Itu dah ibarat gaji ayah sebulan. Kalau tiap-tiap hari ada orang sewa, lagi mewahlah gaji bulanan ayah! Itu pun belum campur hari cuti umum!” Haji Ebrahim menerangkan gambaran keuntungan yang akan diperoleh daripada projek rumah homestay yang akan dibina.
“Tapi ayah, duit itu ayah belum tolak duit penyelenggaraan rumah lagi. Duit gaji pekerja. Ayah sanggup ke uruskan rumah itu seorang diri?” tiba-tiba Tariq menyampuk memberi pandangan.
“Insya-Allah, ayah masih kuat lagi! Kamu semua boleh tengok dengan mata sendiri keadaan ayah ini kan!” Haji Ebrahim menjawab dengan yakin. Dia masih tidak mahu mengalah.
“Abang jangan cakap besar. Saya risaukan awak tu!” ujar Hajah Rokiah perlahan. Suaminya tetap berdegil.
Suasana sepi seketika. Hajah Rokiah menggeleng-gelengkan kepala mengenangkan sikap suaminya yang masih berkeras hendak membeli tanah di tepi sungai kerana ingin membina rumah homestay. Anis dan Tariq berpandangan sesama sendiri tanpa kata-kata.
“Ni ada lagi satu contoh Ayah nak bagi tahu. Ada seorang kawan ayah. Baru setahun lebih pencen. Dia buat rumah homestay di tengah bendang di Tanjung Karang. Tiap-tiap minggu dan cuti umum, rumah itu penuh dengan pengunjung. Sekarang ini, daripada sebuah rumah, dia dah tambah tiga buah homestay lagi.
“Maknanya dia mendapat keuntungan sehingga boleh menambah beberapa rumah! Pada hal rumah itu tak ada sungai jernih yang mengalir macam rumah yang ayah nak buat tu! Atau macam sungai di Janda Baik!” Haji Ebrahim menyampaikan hujahnya untuk meyakinkan isteri, anak dan menantunya.
“Tapi ayah…”
“Sudah! Tak ada tapi-tapi! Ayah tetap akan membeli tanah tepi sungai tu dan akan membangunkan rumah homestay. Ayah pun teringin nak jadi usahawan juga!” Haji Ebrahim membuat keputusan nekad. Isteri, anak dan menantunya hanya diam melongo.
Urusan pembelian tanah berjalan lancar. Hak milik tanah telah ditukar nama. Haji Ebrahim tersenyum puas. Semangat Haji Ebrahim membara-bara setelah tanah tepi sungai menjadi miliknya. Separuh duit di akaun banknya telah menyusut.
Haji Ebrahim mencari kontraktor yang akan mereka bentuk dan membina rumah homestay yang diidam-idamkannya. Dia mahu reka bentuk homestay mengikut cita rasanya. Dia mahu rumah itu memiliki ciri-ciri rumah tradisi orang Melayu. Akhirnya Haji Ebrahim menemui kontraktor yang memenuhi kehendaknya membina rumah homestay yang diimpikannya.
Hajah Rokiah tidak mampu berbuat apa-apa. Suaminya tidak dapat dipujuk lagi. Begitu juga dengan Anis. Ayahnya tekad hendak melaksanakan projek homestay yang telah dicanang ayahnya satu kampung. Mereka tiga beranak hanya mampu berdoa semoga projek homestay berjalan dengan lancar.
Haji Ebrahim begitu teruja pada hari pertama kontraktor melakukan kerja-kerja pembinaan. Dia mengambil beberapa keping gambar untuk disimpan menjadi dokumentasi.
Dia turut menghantar gambar melalui telefon bimbit kepada Hajah Rokiah, Anis dan Tariq dengan tujuan memberitahu perkembangan projek. Setiap hari Haji Ebrahim melihat perkembangan projek pembinaan homestay.
Hari demi hari, minggu demi minggu, projek pembinaan rumah homestay Haji Ebrahim berjalan dengan lancar. Rangka rumah sudah mula nampak.
Haji Ebrahim berasa sangat teruja. Dia sudah membayangkan wajah rumah itu apabila telah siap nanti. Malah, dia sudah mula mencari-cari nama yang sesuai untuk rumah homestaynya.
Masuk bulan keempat, rumah homestay Haji Ebrahim telah siap hampir 90 peratus. Dia juga telah memasukkan duit bayaran pembinaan rumah setakat 90 peratus bayaran seperti yang diminta oleh kontraktor dalam surat perjanjian. Baki bayaran 10 peratus hanya akan dibayar setelah rumah siap dibina 100 peratus.
Petang itu dia mengajak Hajah Rokiah, Anis dan Tariq melihat rumah yang telah tersergam indah di tepi sungai. Hanya tinggal kerja-kerja kemasan di dalam rumah dan lanskap di luar rumah dan di persekitaran sungai.
Haji Ebrahim mengajak isteri dan anak menantunya bergambar di hadapan rumah homestay sebagai bukti dokumentasi dan kenang-kenangan. Wajah Haji Ebrahim begitu ceria dan bibirnya tidak lekang dengan senyuman.
Sewaktu Haji Ebrahim hendak pulang ke rumah, hujan tiba-tiba turun dengan lebat. Cepat-cepat dia mengarahkan Hajah Rokiah, Anis dan Tariq masuk ke dalam kereta. Sebelum Haji Ebrahim menekan minyak kereta, dia sempat menoleh memandang rumah homestay itu dengan agak lama.
Hingga ke tengah malam, hujan masih turun dengan lebat. Tidak ada tanda-tanda yang hujan akan berhenti. Bunyi air mencurah-curah dari atap rumah seperti air terjun yang deras.
Anis dan Tariq tidak jadi balik ke rumah kerana hujan semakin lebat. Sejak petang tadi hujan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Malah lebatnya semakin luar biasa.
Menjelang dinihari Haji Ebrahim dikejutkan bunyi ketukan kuat bertalu-talu di luar pintu rumah diikuti panggilan nama Haji Ebrahim bersahut-sahutan. Dengan mata terpisat-pisat Haji Ebrahim membuka pintu rumah. Isteri, anak dan menantunya turut terjaga.
“Haji!!! Cepat ikut kami berpindah ke tempat yang lebih tinggi! Air telah naik memenuhi kampung kita! Banjir sedang melanda kampung kita, Haji!” teriak seorang pemuda yang amat dikenali Haji Ebrahim. Turut bersama pemuda itu beberapa lelaki berpakaian seragam Angkatan Pertahanan Awam. Sebuah bot telah berada di halaman rumahnya.
“Allahuakbar!!! Cepat Kiah! Ambil dokumen-dokumen penting! Anis tolong emak! Tariq, nanti kamu bawa kereta ke tempat yang lebih tinggi dan selamat!” jerit Haji Ebrahim memberi arahan.
“Dah tak sempat, Haji! Paras air telah menenggelamkan banyak kereta di kampung ini! Yang penting, Haji selamatkan dokumen-dokumen penting dulu!” beritahu pemuda itu. Barulah Haji Ebrahim perasan rumahnya telah dimasuki air separas pinggang.
Mahu tidak mahu, Haji Ebrahim sekeluarga terpaksa akur. Hajah Rokiah menangis tersedu-sedu. Anis memeluk emaknya. Tariq memimpin tangan mertuanya menaiki bot. Kemudian bot meraung meredah malam. Hujan masih tidak berhenti.
Sudah seminggu Haji Ebrahim tinggal di pusat pemindahan banjir. Air banjir telah surut tetapi Haji Ebrahim sekeluarga masih tidak dibenarkan pulang. Wajah Haji Ebrahim begitu sugul. Berpuluh tahun dia tinggal di kampung halamannya, inilah kali pertama bencana banjir besar melanda kampungnya.
Tiba-tiba telefon bimbit Haji Ebrahim berbunyi. Jelas di skrin panggilan daripada kontraktor yang membina rumah homestay Haji Ebrahim. Dia menjawab panggilan itu. Beberapa saat kemudian, telefon bimbit terlepas daripada genggaman Haji Ebrahim. Tidak semena-mena Haji Ebrahim terjelepuk di atas lantai. Badannya lemah longlai.
Hajah Rokiah menjerit. Anis dan Tariq berlari mendapatkan Haji Ebrahim.
“Ayah!!! Kenapa Ayah!!! Apa yang terjadi!!!” Anis memeluk ayahnya.
“Rumah homestay aku habis musnah dihanyutkan air sungai yang deras! Tak ada apa yang tinggal di atas tanah tu! Malah kawasan itu dipenuhi dengan kayu-kayu balak yang datang entah dari mana!!!”
Haji Ebrahim meraung tanpa segan silu. Hajah Rokiah terduduk di sisi suaminya. Anis menangis tersedu-sedu. Tariq hanya mampu memandang dengan mata yang hambar. – Mingguan Malaysia
Rumah
- Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
- 20 Mac 2022, 2:49 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Program Baiti Jannati TNB bantu golongan perlukan rumah selesa
6 Disember 2024, 8:59 am
Posmen melecur di muka, tangan akibat letupan litar pintas
21 November 2024, 9:43 pm
Bandar pintar perlu dana besar, libatkan pelabur
4 November 2024, 7:12 am