KALAU kita boleh terus percaya pada testimoni dan jawapan si penjual ubat dan suplemen yang diragui ada kelulusan pihak berkuasa dalam internet, sampai ke sudahlah kita membiarkan diri ditemberang.
Sebab apa saya kata begitu? Percayakah dengan hanya makan ‘ubat’ itu selama tujuh hari, orang tua yang sakit lutut sudah boleh berlari atau yang solat duduk sudah mampu solat berdiri?
Atau telan pil itu selama 3 bulan, setiap sebulan sebotol makna kena beli 3 botol sekali, ia boleh mengeluarkan batu karang dengan sendirinya?
Atau kena beli tiga tin susu, tak boleh beli satu tin, alasannya nanti tidak berkesan dengan harga promosi lebih RM100 boleh menyembuhkan gastrik dan sakit perut itu tidak datang menyerang lagi?
Punyalah luar biasa kesan ‘ubat ajaib’ itu, kalau begitu tak perlulah ada doktor pakar atau tidak payah berhabis duit untuk ubat hospital dan ubat ajaib ini boleh mengelakkan pembedahan yang disyorkan doktor yang kosnya puluhan ribu ringgit! Berapa punya jimat.
Terlalu banyak testimoni yang luar biasa sembuhnya dipaparkan dalam media sosial mungkin dari saudara mara atau kawan terdekat yang kononnya sudah mengambil ubat itu, akhirnya ia memberi harapan palsu kepada ribuan orang termasuk warga tua yang mungkin ibu bapa kita sendiri.
Bukan setakat harapan palsu, ia boleh memudaratkan orang yang memakannya. Daripada setakat sakit lutut atau batu karang dapat pula penyakit lebih kronik seperti sakit buah pinggang dan jantung.
Rupanya ke hospital juga akhirnya kerana terpaksa mendapatkan rawatan rapi akibat percayakan ubat yang tiada pengesahan pihak berkuasa ini.
Hakikatnya terlalu banyak ubat merapu dijual secara online yang tidak layak pun dipanggil ubat yang mendapat sambutan luar biasa kerana ramai kagum dan terpengaruh dengan iklan dan testimoni produk tersebut.
Ayat yang biasa kita dengar ubat atau produk itu diperbuat daripada bahan semulajadi dan tiada kesan sampingan. Walhal si penjual sebagai ejen pun tidak tahu isi kandungan ubat tersebut dan dia pun tidak pernah mencubanya.
Bukan tak mahu menolong orang kita berniaga, tapi agak-agaklah. Juallah produk kegunaan orang ramai yang tiada unsur menipu.
Kalau hendak jual ubat, pastikan ia sudah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM), bukan setakat pergi berkursus seminggu dua tentang produk itu, sudah boleh memanggil diri sebagai pakar dalam segala penyakit.
Pada Jumaat lalu, muka depan akhbar Utusan Malaysia melaporkan tentang 8,145 ubat beracun yang tidak mendapat KKM dalam pasaran yang dijual dalam platform e-dagang.
Pil gugur, ubat pelangsing badan, perangsang seks, suntikan vitamin C dan antibiotik antara termasuk dalam ubat beracun tersebut.
Bahan-bahan terkandung di dalamnya antaranya racun berjadual yang boleh mengundang kesan buruk terhadap kesihatan seperti meningkatkan tekanan darah, risiko serangan jantung dan strok.
Masalahnya ubat tidak berdaftar ini tumbuh macam cendawan selepas hujan dan orang ramai pula begitu tertarik dengan seks dan kecantikan. Maka selagi ada permintaan, bermacam-macam lambakan ubat beracun ini dalam pasaran.
Begitu juga dengan kosmetik. Entah dari mana bahan itu diambil atau dibeli, kemudian hanya tampal label dan gambar sendiri dan kata ia diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi dan telah melalui penyelidikan.
Kita sudah biasa mendengar ramai yang terpaksa dirawat di hospital kerana mahu kurus dan cantik. Begitu juga dengan bahana maka ubat kuat tenaga batin.
Harap KKM bertindak tegas dalam hal ini dengan memantau platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee agar tidak menjual produk yang tidak mendapat kelulusan dan memudaratkan kesihatan orang ramai ini.
Sampai bila mahu kaut keuntungan daripada orang yang tersepit dan terdesak? Soal nyawa jangan dibuat niaga!
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.