Razlan menyumbat pakaian ke dalam beg sandang yang diletakkan di atas katil biliknya. Dalam hati dia menyumpah. Ini semua gara-gara selepas dia mendapat panggilan dari bos tempat kerjanya tadi yang meminta dia segera ke Pulau Pinang supaya menggantikannya menghadiri mesyuarat bersama kesatuan sekerja di sana kerana dia tidak sihat.
“You bertolak malam ini lah. Sebab esok pukul 9 pagi dah start meeting. Kalau esok pagi you bertolak ke Penang takut rushing pula,” kata bosnya.
Razlan sekadar mengiyakan apa yang diarahkan walaupun dalam hatinya telah keluar segala sumpah seranah. Dia bukannya berkira, tetapi bila terima arahan di saat akhir macam ini memang dia menyiraplah.
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan serumahnya, Rosman lantas menghidupkan enjin kereta dan memecut pergi. Dia menjeling jam yang terletak di papan pemuka kereta, sudah pukul 12.15 tengah malam.
Dia jangka dalam tiga jam setengah sampailah ke Pulau Pinang. Tambah pula lebuh raya ketika itu cukup lengang.
Tetapi entah kenapa malam itu dia rasa mengantuk sangat. Puas dia menggeliat dan menyalakan rokok sebatang demi sebatang namun tetap tidak memberi kesan. Lantas dia membelok masuk ke Hentian rehat Jejantas Sungai Buloh untuk membeli minuman.
Setelah meneguk separuh kopi O yang dibelinya, Razlan sambung pemanduan. Untuk 15 minit pertama dia terasa cukup segar, namun selepas itu matanya kembali layu.
Razlan jeling jam di keretanya. Sudah hampir jam 1 pagi. Suasana di luar cukup gelap dan kenderaan juga tidak banyak di jalan raya.
“Ah, tak boleh jadi ini. Baik aku cari tempat berehat. Dapat tidur setengah jam pun jadilah, nanti boleh sambung drive semula,” getusnya perlahan.
Dia pandang ke arah tepi lebuh raya. Nampak ada satu susur keluar kira-kira 500 meter di hadapan. Terus dia perlahankan kenderaan dan beri isyarat lampu untuk keluar dari lebuh raya. Dia memandu dengan penuh berhati-hati. Sempat dia memandang persekitaran. Cukup sunyi dan tenang.
“Ishh, lain macam pula tempat ini. Sunyi betul,” ngomelnya dalam hati. Setelah menyentuh kad pra bayarnya di plaza tol, terus dia beri isyarat lampu masuk ke kawasan rehat berdekatan. Dia tarik nafas lega kerana dapat juga dia berehat di tempat selamat. Sebelum merebahkan kerusi sempat juga dia tinjau sekeliling. Suasana cukup sunyi. Dia pandang ke kiri kanan, nampak tiada sebuah kenderaan pun di situ. Namun dia lega juga kerana sekurang-kurangnya bangunan yang menempatkan tandas, pejabat dan surau yang ada di situ masih diterangi lampu, maka sekali gus mengurangkan rasa takutnya. Sebaik sahaja dia merebahkan badan dan bersedia untuk melelapkan mata tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi. Razlan serta merta memperlahankan radio kenderaannya
Zasss… Zasss… Zasssss…
Dia bingkas bangun sambil tinjau dari mana arahnya bunyi itu. Dari bangunan berdekatan nampak seseorang sedang sibuk memberus lantai tandas menggunakan batang mop panjang. Razlan hela nafas lega. Dia tersengih. Nampaknya dia tidak perlu berasa gusar dan takut kerana sekurang-kurangnya ada juga orang lain di situ.
Dia kembali merebahkan badan. Tanpa sengaja matanya terus terarah pada jam di papan pemuka keretanya. Dilihatnya sudah hampir jam 1.30 pagi. Tiba-tiba otaknya ligat berputar berfikir sesuatu. “Eh, pelik pekerja cleaner di sini. Takkanlah pukul pagi nak cuci tandas pula,” fikirnya.
Dia angkat kepala cuba mengintai dari cermin di pintu keretanya. Memang jelas nampak seseorang sedang memberus lantai di tandas tersebut. Walaupun tubuhnya tidak penuh kelihatan kerana dihadang oleh pintu masuk di tandas tersebut, namun dia boleh melihat sepasang kaki yang memakai kasut but plastik sedang asyik memberus di sekitar lantai di situ
Zasss… Zassss… Zassss…
Bunyi berus jelas kedengaran. Entah kenapa Razlan rasa tidak sedap hati. Terus dia matikan enjin kereta dan membuka pintu. Tergerak hatinya untuk bertanya dengan lelaki tersebut. Namun dia mematikan langkah sebaik sahaja ingin menghampiri bangunan yang menempatkan tandas tersebut. Dia tergamam. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Berkali-kali dia gosok mata untuk meyakinkan apa yang dilihatnya ketika itu adalah realiti.
Iya, benar. Jika tadi dia hanya melihat kaki seorang lelaki yang memakai but sedang mencuci lantai di tandas tersebut, tetapi…
Jika tadi separuh tubuhnya dihadang oleh pintu masuk tandas berkenaaan, tetapi kini keadaannya sudah berbeza. Walaupun sosok tersebut sudah tidak dihadang pintu tetapi apa yang kelihatan sosok itu tiada kepala. Yang kelihatan hanya bahagian leher hingga ke kaki.
Razlan cemas. Manik-manik peluh mula terbit di dahinya. Dia seakan hilang punca, tak tahu apa perlu dilakukan. Dia ingin menjerit sekuat hati namun suaranya seakan tidak keluar. Dalam situasi panik itu dia terus berlari menuju ke kereta dan menghidupkan enjin.
Sebaik menyentuh kad pra bayar di plaza tol, terus sahaja dia pecut menghala ke lebuh raya. Matanya liar meninjau sekeliling. Takut kalau-kalau lembaga tersebut mengekorinya. Tubuh Razlan menggigil. Jantungnya berdegup laju.
Memang dia benar-benar takut. Seumur hidupnya tak pernah lagi dia mengalami situasi menyeramkan seperti itu. Dia memecut kenderaan selaju mungkin. Akhirnya sampai juga dia di hentian rehat Tanjung Malim. Perasaan takutnya sedikit berkurangan apabila melihat banyak kenderaan berhenti di situ. Lantas Razlan ke tandas membasuh muka untuk menyegarkan tubuh.
“Kenapa pucat semacam saja ini bang? tegur seorang lelaki di sebelahnya. Razlan hanya tersengih. Tidak tahu bagaimana dia ingin menerangkan kepada lelaki tersebut. Ketika beriringan keluar dari tandas itu, Razlan lantas menceritakan apa yang berlaku kepadanya tadi.
Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Fazli itu tersengih.
“Saya ini dah lebih 10 tahun bawa lori bang. Memang kami pemandu lori takkan berhenti di kawasan itu. Situ memang keras. Sebab itu abang tak jumpa pemandu-pemandu yang masuk berehat di situ.” katanya perlahan sambil menepuk bahu Razlan.
“Harap lepas ini abang jangan cuba-cuba masuk lagi. Ramai dah terkena bang,” katanya sambil mengucapkan selamat tinggal.
Tidak lama kemudian Razlan kembali menyambung pemanduan. Sepanjang perjalanan bermacam perkara bermain dibenaknya. Dia bukannya risau tentang mesyuarat yang perlu dihadirinya nanti, tetapi pengalaman menyeramkan yang berlaku kepadanya itu. Kini matanya langsung tidak mengantuk dan berasa segar sepanjang jalan. – Mingguan Malaysia
“Ramai orang tak berani berhenti di situ bang…”
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 20 Mac 2022, 1:24 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Tags: kolum seram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm