Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, harmonikan Keluarga Malaysia

Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, harmonikan Keluarga Malaysia

RAKYAT berasa amat bersyukur dengan kecemerlangan dan keprihatinan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara dan orang awam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEIRING dengan tema Polis dan  Masyarakat Berpisah Tiada, Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat berbesar hati menjalinkan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO),  sektor swasta dan badan-badan sukarela dalam apa jua program bermanfaat yang mampu menzahirkan kesejahteraan masyarakat, seterusnya mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.” – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

Tanah Semenanjung Emas ini menjadi tumpuan manusia daripada pelbagai latar belakang dan tempat sejak beratus tahun dahulu. Kemakmuran sumber mentah serta urus tadbir yang baik oleh kerajaan yang memerintah membuktikan tanah ini terus subur sejak beratus-ratus tahun sebagai lokasi yang memberikan peluang rezeki kepada pelbagai kehadiran manusia serta mencatatkan pelbagai peristiwa sejarah sehingga terbentuklah Malaysia yang seperti mana kita saksikan pada hari ini. 

Kepelbagaian rakyat yang wujud sudah pasti berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam sesebuah pemerintahan. Kesemua ini tanpa kita sedari telah diperankan oleh satu institusi yang bernaung di bawah pemerintahan yang kukuh dan cemerlang yang dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong.

Institusi keselamatan dan penguatkuasaan yang dinaungi Seri Paduka antaranya ialah Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM. Institusi ini diwujudkan agar dapat mengekalkan kestabilan dari segi keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan bukan sahaja kepada pemerintah tetapi juga meliputi seluruh rakyat. 

Sekalung tahniah kepada seluruh anggota pasukan PDRM bersempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215, tahun ini. Sejarah kepolisan di Malaysia bermula dengan termaktubnya Piagam Keadilan di Pulau Pinang pada 1807. Peranan kepolisan telah bermula sejak awal lagi, iaitu pada zaman kesultanan Melayu di mana wujudnya undang-undang dan penguatkuasaan terhadap undang-undang tersebut. Undang-undang yang wujud pada zaman tersebut lebih menjurus kepada undang-undang adat ataupun undang-undang syariah sementara penguatkuasaan dijalankan oleh institusi Temenggung serta para hulubalang.

Era kini PDRM dilihat menjadi nadi keselamatan dan keharmonian kerajaan dan rakyat. Walaupun ada pelbagai reaksi dan persepsi tentang PDRM, kebanyakan kita berasa amat bersyukur dengan kecemerlangan dan keprihatinan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara dan orang awam. Keprihatinan masyarakat kepada PDRM terserlah apabila banyak perkongsian tentang kemurnian hati anggota PDRM menjadi tular di media-media sosial dan saban tahun, pasti ada sahaja isu berkaitan keprihatinan anggota PDRM diberikan perhatian dan dikongsikan oleh masyarakat sendiri.

Demikianlah hasrat PDRM, agar masyarakat turut berganding bahu untuk bersama-sama mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera di dalam negara ini. Tidak hanya tertumpu kepada pembinaan kepakaran dalam aspek keselamatan dan pertahanan, PDRM juga menyedari peri pentingnya pembinaan kepakaran dalam kalangan anggota PDRM meliputi kepakaran berbahasa. Bahasa juga menjadi lambang kepada profesionalisme anggota serta kesantunan berbahasa amat dititikberatkan agar karisma PDRM akan lebih menyerlah. 

Keprihatinan PDRM menyertai Program Bimbingan Pemantapan Tatabahasa dan Penulisan Dokumen Rasmi untuk pegawai, anggota dan kakitangan am Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) baru-baru ini, menunjukkan semangat PDRM untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dokumen rasmi yang menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memartabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi. Mempelajari bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh oleh PDRM merupakan satu bukti bahawa cabang patriotisme yang tinggi telah ditunjukkan serta disuburkan, khususnya dalam memperkukuh penghormatan kepada Keluhuran Perlembagaan dalam rukun ketiga Rukun Negara. 

Sumbangan karya PDRM berbentuk sajak, puisi atau syair daripada para pegawai kanan, anggota dan pegawai awam telah  dimuat naik ke dalam media sosial rasmi seperti puisi bertajuk Dirgahayu Polis Diraja Malaysia yang ditulis oleh Sarjan Md. Yusaini Teriman adalah antara contoh terbaik kami kongsikan.

Dalam perkembangan lain, seramai 167 orang pegawai kanan wanita dikenal pasti dan telah dilantik sebagai Peace Lady (AMANITA). AMANITA merupakan pendekatan terbaik dalam memperoleh maklumat jenayah yang tidak dilapor dan akan menghubungkan polis wanita dengan persatuan penduduk terutama suri rumah.  PDRM mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai sektor di negara ini, termasuk suri rumah dan hubungan erat dan aktif antara AMANITA dengan masyarakat mampu mengurangkan tahap kebimbangan terhadap jenayah yang membimbangkan kaum wanita pada hari ini.

Selain itu, Volunteer Smartphone Patrol atau lebih dikenali sebagai VSP merupakan satu inisiatif baharu PDRM dalam mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik mencegah jenayah bersama masyarakat tempatan sebagai mata dan telinga pihak polis. 

Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada bertepatan dengan penganjuran program Fun Ride sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215  mengumpulkan seramai 1,000 orang peserta dengan mengayuh basikal sejauh 40 kilometer. Ketua Polis Kelantan merasmikan majlis Program Kayuhan PDRM 215 Kontinjen Kelantan Fun Ride Tahun 2022 yang  berlangsung dengan jayanya dan mencapai matlamat dalam penganjuran dan menyumbang kepada asnaf, anak-anak yatim dan Tabung Pembangunan Masjid Mukim Aur Gading, Kampung Manjor, Kuala Krai merupakan usaha PDRM mendekati masyarakat.  

Semoga Sang Saka Biru Pendukung Watan terus memberi keyakinan kepada masyarakat dengan kesejahteraan dan keamanan di negara tercinta. – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),  Felow Kluster Wanita dan Masyarakat dan Ketua Kluster Media dan Komunikasi CWAL, UniKL. 

Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya