Percepat PRU15, stabilkan politik, pulih ekonomi

Percepat PRU15, stabilkan politik, pulih ekonomi

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCEPATKAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kembalikan kestabilan politik dan perlunya usaha berterusan untuk memulihkan ekonomi negara antara inti pati yang menjadi tumpuan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 berakhir semalam. Perbahasan ketiga-tiga isu seperti menjurus kepada dua suara dalam UMNO itu satu di pasukan Presiden dan satu lagi
penyokong Perdana Menteri.

Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, AZNAN BAKAR, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua, DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI menegaskan, apa sahaja yang dibangkitkan oleh para perwakilan sebenarnya kerana mereka mahukan  kestabilan politik dan pemimpin UMNO tidak bermusuhan sesama sendiri. Katanya, elemen ini penting jika UMNO/Barisan Nasional mahu mencapai kejayaan pada PRU15.

Hanya dengan kemenangan UMNO/BN kestabilan politik boleh dikembalikan dan seterusnya fokus kepada pemulihan ekonomi negara yang mana ketika ini Malaysia terkebelakang berbanding negara-negara ASEAN lain.

JOHARI Abdul Ghani ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

MINGGUAN Malaysia: Datuk setuju dengan desakan supaya PRU15 diadakan lebih awal? Kenapa UMNO desak diawalkan PRU15? Kenapa tidak tunggu habis penggal?

JOHARI: Saya secara peribadi bersetuju PRU15 diadakan awal. Ia bersangkut paut mengenai isu kestabilan politik. Walaupun kerajaan hari ini diterajui oleh pemimpin UMNO, tetapi kita masih bergantung kepada sokongan pembangkang. Kerajaan ini tidak ada legitimasi.

UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya ada 42 kerusi parlimen. Selainnya dikuasai oleh pembangkang. Ketidakstabilan ini menyebabkan banyak polisi atau dasar yang hendak diperkenalkan tidak
dapat dilaksanakan. Setiap parti pembangkang pula mempunyai ideologi berbeza. Keadaan ini juga tidak dapat meyakinkan pelabur-pelabur dalam dan luar negara untuk melabur.

Adakah kalau PRU15 diadakan lebih awal BN akan menang. Jika pembangkang menang bagaimana?

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, yang kita cari adalah kestabilan politik untuk negara. Sama ada BN atau pembangkang yang menang, itu tidak penting. Yang kita perlukan ialah pihak yang menang mesti boleh mewujudkan suasana politik yang stabil. Bila gabungan pembangkang menang waktu PRU14 lalu, mereka gagal memberikan kestabilan politik seperti yang dilakukan oleh BN selama 61 tahun, sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ini kerana ideologi politik setiap parti komponen pembangkang sangat berbeza antara satu sama lain, sehingga mereka bergaduh sesama mereka. UMNO/BN juga terkesan dengan budaya katak
lompat ini. Ramai daripada ahli-ahli parlimen yang menang atas tiket BN juga melompat ke parti pembangkang. Dengan undang-undang antilompat akan diperkenalkan oleh Parlimen nanti, secara tidak langsung akan memberi isyarat jelas kepada bakal-bakal ahli Parlimen pada PRU15. Mereka tidak boleh lagi membudayakan perangai lompat-lompat ini.

Apa fokus utama sepatutnya diberikan oleh pemimpin dan perwakilan UMNO pada persidangan kali ini? Adakah PRU15?

Pemimpin dan perwakilan perlu memfokuskan kepada penerangan mengenai kegagalan parti-parti pembangkang ketika menerajui kerajaan. Iaitu selama 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan 18 bulan di bawah Perikatan Nasional (PN). Ini selepas kekalahan UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Isu-isu yang yang dibangkitkan oleh perwakilan sama ada  Pemuda, Wanita, Puteri mahupun perwakilan perhimpunan agung adakah selari dengan situasi semasa UMNO dan situasi semasa negara kini?
Banyak isu yang dibangkitkan oleh perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri berkisar kepada perlunya pemimpin-pemimpin UMNO tidak bermusuhan sesama sendiri. Musuh politik kita adalah parti-parti pembangkang yang bertungkus lumus untuk mengalahkan UMNO/BN. Kita perlu kuatkan kesepakatan kita untuk berhadapan dengan mereka pada PRU15 akan datang. Bila menang insya-Allah pemimpin-pemimpin MNO yang berpengalaman, berkebolehan dan berkualiti akan ada tempat masing-masing untuk sama-sama membangunkan negara ini sebagai satu pasukan.

Kelihatan majoriti perwakilan datang ke perhimpunan agung kali ini dengan agenda untuk mendesak supaya dipercepatkan PRU15, ini ekoran kemenangan selesa BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Adakah Datuk setuju dengan pandangan ini?

Saya rasa mereka hanya ingin memastikan negara mempunyai kestabilan politik supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha membangunkan semula negara. Ini kerana negara kita telah tertinggal ke belakang jika dibandingkan dengan negara-negara jiran. Dalam masa sama, mereka juga tidak mahu pemimpin-pemimpin UMNO berpecah dari dalam jika pemilihan parti diadakan terlebih dahulu sebelum PRU15.

Lazimnya apabila ada pemilihan sudah tentu ada pergolakan dalaman parti. Ada yang menang dan ada yang kalah. Ada yang puas hati dan ada yang tidak puas hati. Selalunya proses  reconciliation akibat pergolakan ini mengambil masa. Sedangkan tarikh PRU15 sudah terlalu dekat. Ini boleh menjadi punca ketidakstabilan parti kita.

Perkara ini bukan hanya berlaku dalam parti UMNO, malah parti-parti pembangkang juga berhadapan situasi sama. Mereka juga mengelakkan daripada mengadakan pemilihan parti sebelum PRU15. Pergolakan dalaman parti jika berlaku hanya akan menyebabkan parti menjadi lemah.

Daripada komen dan hujah nampak ada dua suara dalam UMNO. Adakah perhimpunan agung ini lebih mendedahkan perpecahan dalaman UMNO? Adakah perhimpunan agung ini mendedahkan pasukan Presiden dan pasukan Perdana Menteri?
Perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Kita semua dalam parti yang sama. Semua kena bertanggungjawab menjaga parti ini supaya tidak dirobek dari dalam. Kita mesti mempertahankan kestabilan parti kita. Bagi peluang untuk parti kita meraih kemenangan pada PRU15. Selepas PRU15 kita boleh adakan pemilihan dalam parti. Mana-mana yang menang pilihan raya boleh diberi peluang untuk menjawat  jawatan tertinggi dalam parti. Ini supaya perjalanan parti selari dengan dasar-dasar kerajaan.

Kalau tidak ia hanya akan mengundang berlakunya ketidaktentuan seperti hari ini di mana Perdana Menteri tidak mendapat sokongan mutlak daripada ahli-ahli Parlimen. Ia hanya akan  menyusahkan Perdana Menteri dalam menjalankan tugas beliau. Tambahan lagi, sokongan parti-parti pembangkang bukannya kekal. Sokongan mereka hanya bersifat sementara.

Pada  perhimpunan agung ini ada juga keluhan-keluhan perwakilan mengenai ekonomi negara. Apa pandangan Datuk tentang kedudukan ekonomi negara kita sekarang? 
Kedudukan ekonomi negara  sungguh membimbangkan saya. Kalau kita lihat beberapa indikator ekonomi, ia tidak menunjukkan kita berada dalam kedudukan yang selesa. Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2021, ekonomi kita berkembang paling corot jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain (selain Singapura).

Kita hanya berkembang 3.1 peratus. Berbanding Filipina 7.4 peratus, Kemboja 6.8 peratus,Vietnam 6.7 peratus dan Indonesia 6.1 peratus. Daripada segi pendapatan per kapita dari 2018 hingga 2021, angkanya juga agak  membimbangkan kerana sekali lagi kita di kedudukan tercorot berbanding rakan-rakan lain di rantau ASEAN.

Pendapatan per kapita Malaysia hanya berkembang 0.3 peratus manakala Vietnam 4.4 peratus dan Indonesia 4.0 peratus. Daripada segi hutang negara pula, ia menunjukkan penambahan begitu mendadak bermula 2018 hingga 2021. Daripada hutang RM686 bilion pada 2018 telah mencecah lebih RM1 trillion iaitu peningkatan RM320 billion.

Dengan hutang-hutang yang begitu tinggi, pembayaran faedah juga makin bertambah sehingga mencecah lebih RM42 bilion setahun. Sedangkan pendapatan negara tidak berkembang selari dengan perbelanjaan kerajaan. Pelaburan Langsung Asing (FDI) negara kita juga sudah terkebelakang jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain (selain Singapura).

Pada tahun 2021 kita hanya mendapat FDI AS$11.1 bilion berbanding Vietnam AS$31.1 bilion dan Indonesia AS$31.6 bilion. Sedangkan sewaktu BN memerintah dahulu negara kita merupakan pilihan utama pelabur-pelabur yang datang ke rantau ASEAN.  Kesan daripada indikator ekonomi di atas ialah taraf penarafan negara kita telah jatuh dari -A ke +BBB.

Apakah usaha yang perlu dilakukan untuk membaik pulih kedudukan ekonomi kita ini?
Sebenarnya bukan mudah untuk membaik pulih ekonomi yang sudah jatuh dan tertinggal ke belakang ini. Jika kita tidak mempunyai strategi jangka pendek dan panjang, agak sukar kita mahu mengatasinya.

Yang pastinya kita perlu ada tiga perkara penting iaitu kestabilan politik – dengan mendapat mandat baharu dan yang meyakinkan, supaya kerajaan boleh menggubal dan melaksanakan polisi-polisi yang tidak popular bagi membaik pulih semula ekonomi ini tanpa menyebabkan kerajaan itu akan dijatuhkan.

Negara juga memerlukan pemimpin-pemimpin yang mempunyai pengalaman dan cekap (competency) dalam urusan membaik pulih ekonomi ini. Negara juga perlu mempunyai pemimpin-pemimpin yang berintegriti dan dipercayai rakyat.

Ia sangat penting kerana apabila rakyat percaya kepada pemimpin, maka sesuatu polisi yang dibuat dan dilaksanakan oleh pemimpin tersebut untuk kepentingan masa
depan negara akan mendapat sokongan rakyat, walaupun polisi itu tidak popular, tetapi memberi kebaikan untuk generasi akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya