Nama aku Salikin dan usiaku baru sahaja menjangkau 30 tahun. Aku seorang lelaki yang langsung tidak mempercayai kewujudan hantu. Bagi aku cerita hantu dan sebagainya adalah omong kosong dan karut semata.
Tetapi ada satu kisah yang berlaku padaku sebelum ini telah memberikan kesan dan pengajaran buatku. Perkara yang membuatkan aku tidak lagi bercakap besar. Begini ceritanya…
Pada penghujung Mei 2017, aku ditugaskan majikan ke utara tanah air untuk memantau satu projek pembangunan yang sedang dijalankan di situ.
Aku bertolak dari ibu kota lebih kurang pukul 11 malam. Bagiku memandu di waktu malam lebih tenang tanpa kesesakan jalan raya.
Selepas tiga jam memandu tiba-tiba aku rasa lapar yang amat sangat. Perut semakin berbunyi, lantas aku ambil keputusan untuk pandu keluar dari lebuh raya dan ikut jalan kampung.
Fikirku mungkin ada warung-warung yang masih beroperasi untuk aku singgah mengalas perut ketika itu.
Hampir 15 minit memandu dari susur keluar Selama, akhirnya aku terpandang sebuah warung yang masih terang benderang di pinggir ladang getah berdekatan. Terus aku perlahankan kereta dan matikan enjin. Bergegas aku keluar, takut kalau-kalau peniaganya mahu menutup perniagaan sebentar lagi.
“Wah, nampaknya saya seorang sahaja pelanggan yang ada ini,” kataku kepada pelayan wanita yang berdiri di sebelahku ketika itu.
Dia hanya tersenyum tanpa membalas kata-kataku. Selesai mengambil pesanan wanita yang ku kira berusia dalam lingkungan 40-an itu terus berlalu ke belakang. Sementara menunggu pesanan tiba aku lantas keluarkan telefon bimbit dari saku.
“Ceh, tak ada line pula di sini,” getusku perlahan.
Aku pandang sekeliling. Suasana cukup sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi bising unggas dan cengkerik dari hutan berdekatan. Aku lihat jam di tangan, sudah hampir pukul 2.30 pagi.
Meja-meja di sekitarku kosong belaka. Mungkin di waktu begini sudah ramai pelangan pulang.
Namun yang peliknya warung ini seakan kosong tanpa banyak barang jualan kerana kebiasaannya jika di warung-warung pasti terdapat bungkusan keropok yang tergantung atau biskut-biskut yang diletakkan di dalam balang, tetapi warung ini amat berbeza sama sekali.
Aku cuba berfikir positif, mungkin semuanya telah dikemaskan oleh tuan kedai tersebut memandangkan hari sudah lewat malam. Lagipun siapalah yang ingin datang membelinya, fikirku dalam hati.
“Ah, janji makanan yang aku pesan masih ada lagi cukuplah,” getusku dalam hati.
Sedang mengelamun sendirian, tiba-tiba aku tersentak. Pelayan wanita tadi datang membawa pesanan. Dia hanya meletakkan hidangan di atas meja tanpa sepatah kata. Pelik! Mungkin dia bisu agaknya, fikirku dalam hati.
Aku makan dengan sedikit gelojoh. Maklumlah lapar sangat. Tidak sampai 15 minit, mi sup yang ku pesan sudah habis di pinggan.
“Berapa harga makanan saya semua tadi kak?” tanyaku sambil mengambil dompet di poket.
“Lima ringgit,” katanya perlahan. Aku tersenyum sambil mengeluarkan wang RM5 dari dompet. Nasib baik dia boleh bercakap, bisikku dalam hati.
Sebelum melangkah menuju ke kereta aku minta kebenaran untuk menggunakan tandas yang berada di belakang. Wanita tersebut mengangguk sambil jarinya ditunjuk lurus ke arah pondok kecil yang berada di luar kedai.
Bergegas aku menuju ke belakang. Dan setelah selesai membuang air aku keluarkan sebatang rokok dari kotak di poketku, dan sebaik sahaja aku ingin menyalakan api tiba-tiba mataku terpandang ke arah dapur di belakang warung tersebut.
Darahku tersirap. Aku gosok mata berkali-kali untuk memastikan apa yang ku lihat di ketika itu tidak benar belaka. Iya, jelas kelihatan beberapa sosok sedang bertungkus lumus di dapur namun sosok tersebut amat jauh berbeza berbanding manusia biasa.
Pakaiannya compang camping dan kotor. Rambutnya mengurai panjang mencecah lantai, mukanya putih kosong tanpa mata, hidung dan mulut. Aku tergamam.
Aku atur langkah menuju ke dapur untuk pastikan apa yang ku lihat ketika itu adalah sahih. Dan ternyata tidak meleset. Tiga sosok berambut Panjang yang tidak berwajah itu sedang khusyuk memasak di dapur.
Tubuhku menggeletar. Makhluk apa pula yang berada di hadapanku ini? Aku kuatkan semangat untuk mengatur langkah menuju ke kereta. Namun tiba-tiba aku terdengar suara merengus. Bunyinya kuat bertalu-talu seakan mereka sedang berbicara. Dan yang pasti aku perasan salah satu daripada sosok tersebut sedang menjengahkan muka ke arahku melalui jaring kawat besi di dinding dapur.
Aku berlari sekuat tenaga menuju ke kereta. Ketika ingin menghidupkan enjin, aku terperasan pelayan wanita yang mengambil pesananku tadi sedang memandang tepat ke arahku. Dan tanpa disangka tiba-tiba dia berjalan menuju ke arahku.
Aku tergamam. Nampak dia berjalan laju sambil merenung tepat ke arahku. Peluh di tubuhku tidak boleh diseka lagi. Rasanya baju pun sudah lenjun. Dengan pantas aku pecut kereta meninggalkan warung tersebut.
Belum pun sempat keretaku bergerak 100 meter ke hadapan aku terdengar bunyi hilaian kuat dari arah belakang. Hilaiannya cukup panjang dan menyeramkan. Menggigil seluruh anggota tubuhku.
Aku memandu dengan jantung yang berdegup kencang. Nasibku baik kerana tidak lama kemudian kereta yang ku pandu sampai di pekan berdekatan. Terus aku belok ke arah stesen minyak yang ada di situ.
Selesai membasuh muka aku berehat sebentar di kawasan parkir di situ. Fikiranku merewang jauh teringat kejadian yang baru ku lalui sebentar tadi.
“Assalamualaikum pak cik, saya nak tumpang tanya.. kalau saya nak ke Pulau Pinang ikut jalan kampung ini jauh lagi tak? Agak-agak berapa lama lagi sampai?” tanyaku pada lelaki yang bertugas di stesen minyak tersebut.
“Waalaikumsalam, Oh, taklah jauh sangat. Dalam 45 minit sampailah. Tapi jalan dalam ini gelap. Maklumlah jalan kampung, lepas itu bukannya elok pula,” terang lelaki tersebut sambil tersenyum.
“Kalau nak cepat masuk saja highway, encik ikut jalan depan ini. Dalam 20 minit sampailah,” sambungnya lagi.
Aku terdiam sambil berfikir. Rasanya tak mungkin aku akan berpatah balik kerana jika aku ingin menuju ke lebuh raya pasti aku akan melalui jalan raya di hadapan warung berhantu di kebun getah tadi.
“Tapi rasanya elok encik lalu jalan kampung sahaja sebab lewat malam macam ini bahaya juga. Jalan nak pergi ke lebuh raya tu lain macam sikit,” kata lelaki tersebut berkias. Aku terdiam. Mungkin lelaki itu dapat meneka apa yang ada di fikranku.
“Lain yang macam mana itu pakcik? tanyaku inginkan kepastian. Lelaki itu diam seketika sebelum menyambung kata-kata.
“Ramai orang kata kalau lalu di jalan itu tengah-tengah malam begini macam-macam ‘benda’ muncul. Ada yang pernah jumpa perempuan berjalan seorang diri, ada yang pernah jumpa orang usung keranda, ada juga yang jumpa warung berhantu,” katanya lagi sambil matanya liar memandang sekeliling.
Aku kelu tanpa kata-kata. Nampaknya bukan aku seorang yang pernah melalui keadaan itu, rupanya ramai juga sudah ‘terkena’. Aku cuba ingin membuka cerita, namun lidahku tiba-tiba berasa kelu. – Mingguan Malaysia
“Orang tak berani lalu jalan itu…”
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 27 Mac 2022, 2:40 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm