Ini kisah sepasang suami isteri dan seorang anak kecil mereka yang berusia lima tahun. Cerita ini merupakan pengalaman benar yang dialami mereka kira-kira tiga tahun lalu. Begini ceritanya…
Syima dan Zaidi merupakan sepasang suami isteri yang cukup romantik. Sejak mendirikan rumah tangga mereka memang jarang berenggang tambah pula bila dikurniakan seorang zuriat perempuan yang sekali gus melengkapkan kehidupan mereka. Pendek kata, ke mana-mana pun pergi, tiga beranak ini tidak lekang bersama.
Zaidi bertugas sebagai seorang penyelia di kilang elektronik berhampiran bandar tempat tinggalnya di utara tanah air. Jadi dia bekerja mengikut syif. Kebiasaannya setiap kali bertugas syif malam, Syima akan bermalam di rumah keluarganya yang terletak tidak jauh dari kilang tempat Zaidi bekerja.
Namun pada satu malam ketika sedang bertugas, majikannya mengarahkan semua pekerja di kilang tersebut pulang kerana bekalan elektrik terputus dan dijangka pulih keesokkan harinya. Jadi tanpa berlengah Zaidi terus sahaja memecut kereta menuju ke rumah mertuanya untuk mengambil isteri dan anaknya pulang.
Baginya peluang keemasan seperti ini tidak akan disia-siakan tambah pula esok dia bercuti, jadi fikirnya dapatlah dia meluangkan lebih banyak masa bersama isteri dan anaknya. Nasibnya agak baik kerana sebaik sahaja sampai, isteri dan anaknya masih belum tidur. Selepas berbual seketika dengan ibu dan bapa mertuanya Zaidi minta diri untuk pulang.
Perjalanan dari rumah mertua menuju ke rumahnya memakan masa lebih kurang setengah jam. Tetapi disebabkan sudah biasa dengan laluan tersebut masa dirasakan cukup singkat. Maklumlah itu adalah laluan hariannya, jadi dia sudah arif benar dengan selok belok di situ.
Untuk pulang ke rumah dia terpaksa menempuh laluan gelap yang dikelilingi kebun kelapa sawit sepanjang jalan. Walaupun sudah biasa dengan laluan tersebut, namun adakalanya timbul juga rasa seram kerana menurut cerita rakan-rakannya di laluan itu banyak berlakunya kejadian aneh dan menyeramkan.
Namun entah kenapa malam itu dia terasa lain benar dari kebiasaan. Ditoleh ke arah isterinya di sebelah, nampak Syima sedang sibuk membelek telefon bimbit di tangan. Zaidi pandang pula ke arah cermin sisi belakang di hadapannya, nampak jelas anaknya Puteri sedang lena tidur di kerusi belakang.
Sebaik sahaja kereta yang dipandu melewati sebuah kuil lama di ladang kelapa sawit tersebut, tiba-tiba dia tersentak. Lantas dia menggosok-gosok hidungnya. Isterinya juga melakukan perkara yang sama.
“Bau apa ini bang? Busuknya,” tanya Syima sambil menekup hidungnya dengan tapak tangan.
Zaidi tidak menjawab. Dia memperlahankan kenderaan dan meninjau ke arah luar kalau-kalau dapat melihat jika ada bangkai bintang di jalan berhampiran. Namun suasana malam gelap pekat ketika itu menyukarkan pandangannya.
“Tak tahulah, mungkin bau bangkai binatang,” jawabnya perlahan.
Zaidi cuba membuang pelbagai persoalan di benaknya. Dia tahu bau yang diciumnya ketika itu memang agak luar biasa. Bukan sekadar bau busuk yang menerjah ke rongga hidung, malah ada ketikanya dia tercium juga bau kapur barus. Untuk menghilangkan rasa takutnya, lantas dia menukar topik perbualan.
“Tadi makan apa dekat rumah emak?” tanya Zaidi sambil memaut erat stereng di tangannya.
“Macam-macam juga emak masak tadi maklumlah petang tadi Pak Lang sekeluarga datang ke rumah jadi dia jemput mereka makan malam sekali,” kata Syima sambil menguap perlahan.
Zaidi mengangguk sambil tersenyum. Matanya masih tertumpu ke arah jalan raya yang sunyi di hadapannya ketika itu. Namun apabila matanya memandang ke arah cermin pandang belakang di kepalanya dia tersentak. Serta merta jantungnya berdegup kencang.
Dalam samar cahaya bulan dia dapat melihat dengan jelas satu objek sedang duduk di atas bonet kenderaannya. Patutlah sedari tadi dia berasa kenderaan yang dipandunya berat walaupun sudah kuat dia menekan pedal minyak.
Dia mencuri pandang sekali lagi. Sah, kelihatan satu makhluk berambut panjang berpakaian serba putih sedang duduk bertinggung di atas bonet keretanya. Waktu itu hanya tuhan sahaja tahu betapa gugup dan takutnya dia.
“Kenapa kereta kita ini berat semacam saja bang. Macam tak boleh laju pula. Abang isi apa dalam bonet itu? Tanya Syima sambil memandang ke arahnya.
Zaidi tidak menjawab pertanyaan isterinya. Matanya masih mencuri pandang ke arah lembaga menyeramkan yang berada di atas bonet keretanya ketika itu.
Dan ketika Zaidi menoleh buat kali ketiga dilihatnya lembaga tersebut sudah tidak kelihatan lagi. Dia amati teliti sambil membetulkan cermin sisi di atas kepalanya. Perlahan dia hela nafas lega setelah pasti lembaga tersebut sudah hilang dari pandangannya.
Namun tidak sampai beberapa minit kemudian isterinya sekali lagi merungut.
“Eh, makin kuat pula bau busuk ni. Entah-entah abang ada terpijak najis binatang tak?” tanya Syima inginkan kepastian.
Zaidi tersentak. Hidungnya kembang kempis cuba mencari bau yang dikatakan isterinya itu. Iya, memang benar. Bau busuk yang diciumnya tadi tiba-tiba kembali menerjah rongga hidungnya.
“Mana pula datangnya bau ini, pelik betul,” ngomel Zaidi perlahan.
Namun secara tidak sengaja tiba-tiba matanya terpandang ke arah cermin sisi pandang belakang di kepalanya. Terus dia tergamam.
Dari kerusi penumpang di belakang dia jelas melihat satu makhluk sedang duduk bersebelahan dengan anaknya yang sedang tidur. Menggeletar tubuh Zaidi ketika itu.
Dia jeling sekali lagi ke arah makhluk berambut panjang yang berpakaian serba putih itu. Walaupun mukanya tidak jelas kelihatan namun Zaidi tahu makhluk tersebut adalah sosok sama yang dilihat berada diatas bonet keretanya sebentar tadi. Sekali lagi dia gugup. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya ketika itu.
Syima yang masih tidak tahu tentang apa yang berlaku ketika itu terus mengomel.
“Ishh, perlahan sungguh abang bawa kereta ini. Cuba tekan minyak kuat sikit. Saya dah mengantuk,” katanya sambil menjeling ke arah suaminya.
Zaidi tidak berkata walau sepatah. Sebenarnya dia sendiri sudah menekan pedal minyak sekuat hati, namun kenderaannya memang tidak boleh memecut pergi seakan sedang membawa beban bertan-tan beratnya.
Hampir beberapa minit kemudian barulah kelibat lembaga tersebut hilang dari pandangan. Terus dia menoleh ke arah belakang. Dia hela nafas lega apabila melihat anaknya sedang nyenyak tidur.
Dengan pelbagai perasaan bercampur baur, akhirnya kereta yang dipandu sampai juga di pekarangan rumahnya. Zaidi tarik nafas lega. Dengan pantas dia mendukung anaknya dan bergegas
membawa masuk ke dalam rumah.
“Sayang, masuk dalam rumah cepat, sudah malam ini,” laung Zaidi ke arah isterinya yang masih berada dalam kereta.
Malam itu Zaidi tidak boleh tidur lena. Fikirannya masih memikirkan kejadian yang berlaku sepanjang perjalanan tadi. Tidak tahu sama ada dia ingin menceritakan kepada isterinya atau tidak. Dia risau kalau cerita nanti isterinya takut untuk tinggal berseorangan.
Apa yang pasti dia juga tidak akan pulang ke rumah lagi pada waktu tengah malam selepas ini. Kalau ada sebarang kerosakan di kilang sekali pun dia lebih rela menumpang tidur di rumah mertuanya atau di surau tempat kerjanya. – Mingguan Malaysia