MUKADIMAH
YANG Dipertua Dewan Negara, TAN SRI DR. RAIS YATIM memang mempunyai pengalaman bekerjasama rapat dengan bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika parti itu
mengadakan pakatan politik dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46).
Berdasarkan pengalaman Rais yang ketika itu Timbalan Presiden S46 dan penelitiannya terhadap tindak-tanduk veteran DAP yang disifatnya sebagai sahabat lama selepas itu, beliau menyifatkan Kit Siang sebagai seorang pembangkang ikonik dalam Malaysia.
Dalam sembang santai dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam, Rais berpendapat Kit Siang layak diberi anugerah dan penghargaan peringkat nasional kerana beliau bukan seorang komunis sebaliknya dari parti politik pembangkang yang pernah mentadbir kerajaan.
UTUSAN: Selepas 56 tahun dalam politik, Lim Kit Siang umum bersara kelmarin?
RAIS: Apa pun dasar dan kepercayaan politik, bagi seseorang seperti Kit Siang, beliau sudah berada lebih 50 tahun atau setengah abad menjadi wakil rakyat dalam bidang
pembangkangan. Negara harus juga memberi penghormatan kepadanya. Yang saya tekankan begini, politik pembangkangan mempunyai peranan dan dasar Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi selama ini saya juga termasuk di dalam golongan yang kurang menyedari, seseorang yang begitu lama di dalam bidang politik tanah air walaupun menerusi jurusan pembangkangan, kita tidak pernah memberi penghargaan. Kita tengok senarai yang mendapat anugerah ataupun bintang, semuanya dari parti pemerintah.
Kenapa kita tidak beri anugerah seperti di United Kingdom atau pun Eropah? Iaitu, orang-orang yang juga menyumbang dan menjadi pejuang (untuk masyarakat) juga diberi penghormatan.
Perlukah?
Satu persoalan yang saya dapati, sudah lama kita ketinggalan. Jadi, soalnya takkan seseorang yang begitu lama berjuang untuk masyarakat atau Malaysia tidak wajar dipertimbangkan untuk apa-apa penghargaan nasional?
Beliau bukan seorang komunis, dia adalah pembangkang parti politik dan partinya juga pernah bersama mentadbir kerajaan. Ini satu hal saya rasa amat pelik dan seharusnya diambil kira oleh mereka yang mempunyai anugerah.
Berkesankah politik pembangkang di Malaysia?
Saya dapati dengan munculnya politik liberal, wujud suatu penentangan di Malaysia, maka warga muda akan lebih tertarik kepada politik pembangkang. Sebab ada perkara asas yang banyak warga muda dapati dapat mengingatkan pihak berkuasa secara semula jadi.
Seharusnya dengan pengalaman Kit Siang selama ini, apa-apa yang positif dapat dilakukan menerusi perkhidmatannya harus kita lihat. Satu yang saya nampak ialah DAP mempunyai latar belakang pentadbiran partinya yang efisien dan mereka tidak berasas kepada keahlian yang beratus-ratus ribu. Malah, bila pilihan raya mereka jarang kecewa.
Ini saya dapati setelah meneliti DAP dengan kami sesemasa S46 dahulu. Kami terasa bahawa ada dalam DAP yang harus kita lihat sebagai satu perkara positif, iaitu pentadbiran partinya dan ketelusan perjuangan bagi pihak rakyat Tionghoanya. Jadi, wajar kita lakukan perbandingan komprehensif antara parti politik tentang pentadbiran, tidak membazir wang apa-apa.
Dan didapati mereka (DAP) tidak banyak cawangan seperti kebanyakan parti politik lain tetapi pentadbiran mereka menjurus kepada kemasyarakatan dan juga ketelusan tanggungjawab dan sebagainya. Jadi, saya mengatakan, ada nas dalam perjuangan yang diketuai oleh Kit Siang mungkin boleh dijadikan sebagai sains politik baharu kepada beberapa pihak yang mengkaji politik tanah air.
Di universiti kita tidak belajarkah itu semua?
Di universiti saya tengok, kebanyakan kita mengkaji politik. Jadi, politik yang sosialisme yang berasas kepada masyarakat agak kurang dikaji.
Mungkin inilah masanya pengajian sains politik komparatif di Malaysia menerusi kaca mata pembangkangan dilihat dari sudut dalam yang membina. Itu pandangan saya. Saya sebagai seorang sahabat lama Kit Siang di dalam S46 dahulu semasa mengharung beberapa pilihan raya.
Saya menghargai peranannya dan juga walaupun ada masa kritikan partinya itu melulu atau keterlaluan, namun pada keseluruhan saya lihat sumbangannya kepada kesan kesedaran berpolitik secara sosial membina banyak pihak secara khasnya masyarakat Tionghoa, India dan juga sebahagian orang Melayu.
Satu lagi saya dapati, ramai orang Melayu sudah ada dalam DAP yang bertindak bagi pihak kebaikan dan beberapa ahli jawatankuasa pusatnya. Menerusi perjuangan Kit Siang, kita dapat melihat bahawa seseorang tidak perlu memegang apa-apa jawatan di dalam kerajaan untuk mendapat ikonik di dalam politik tanah air. Satu dari penjurusan pemandangan selama berkhidmat.
Saya percaya, Kit Siang akan sentiasa diingat sebagai seorang pembangkang ikonik dalam Malaysia buat dekad mendatang.
Namun, DAP juga tidak dapat lari daripada persepsi tidak cenderung Melayu. Bukankah begitu?
Ia pandangan yang harus dibuktikan sama ada benar atau tidaknya dalam tempoh tertentu. Saya lihat ada benarnya. Tetapi melihat pada perkembangan akhir ini saya tengok orang Melayu sudah cenderung kepada beberapa aspek pentadbiran dan perjuangannya.
Rumusannya mengenai Kit Siang dan DAP?
Terserah kepada saintis politik kita untuk mencerakinkan dan mengkritik. Saya percaya dengan pandangan bahawa itu adalah kelemahan (DAP) tetapi mereka masih survive sebagai parti yang ulung. – UTUSAN