Berdasarkan kepada keputusan beberapa pilihan raya negeri yang telah diadakan, ternyata prestasi PKR begitu merudum. Dengan kata lain, PKR sudah hilang bisa. Taring PKR tidak setajam semasa PRU-14 yang menjadi tonggak kekuatan Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Baru mencecah tahun keempat penggal Parlimen ke-14, pelbagai senario politik berlaku. Kerajaan PH sekadar bertahan 22 bulan sebelum Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan. Apa yang jelas, pakatan politik sama ada PH atau PN sangat rapuh. Atas sebab itu, kerajaan PH tidak mampu bertahan. Keadaan sama berlaku dalam kerajaan PN. Buktinya DUN Melaka dan Johor terpaksa dibubarkan.
Di sebalik kerapuhan kerajaan PH dan PN, BN-UMNO mula menunjukkan semula cengkamannya. Di DUN Melaka dan Johor, prestasi BN-UMNO sangat baik apabila menang dengan majoriti dua pertiga. Ramalan saya, selepas ini DUN Kedah dan Perak akan dibubarkan kerana BN-UMNO mahu membuktikan ia kini semakin berbisa dan sudah diterima semula oleh pengundi.
Di sebalik kerapuhan pakatan politik di atas, fokus khusus juga ditujukan kepada prestasi PKR. Dalam PRN Sabah (26 September 2020), Melaka (20 November 2021), Sarawak (18 Disember 2021) dan Johor (12 Mac 2022), prestasi PKR buruk sekali. Semua calon PKR tewas di DUN Sarawak dan Melaka serta nasib baik menang satu kerusi di DUN Johor. Di DUN Sabah, PKR hanya ada 2 kerusi. Ini menunjukkan penolakan besar pengundi kepada PKR.
Apakah penawar kepada kedukaan PKR itu? PKR perlu formula baharu untuk mengukuhkan semula kedudukan dan pencapaiannya dalam PRU-15. Kemerosotan prestasi PKR bermula apabila kumpulan pro Datuk Seri Azmin Ali disingkirkan dan meninggalkan PKR lalu menyertai PN. Prestasi PN pun sama seburuk PKR dalam PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
Di sebalik prestasi buruk itu, adakah kemunculan semula Rafizi Ramli di pentas politik merupakan tonik mustajab kepada PKR? Untuk bertanding dan menang jawatan Timbalan Presiden PKR bukanlah isu besar kepada Rafizi walaupun sebelum ini tewas kepada Azmin. Hal ini hanya melibatkan urusan dalaman PKR. Ahli-ahlinya bakal menentukan nasib Rafizi. Sebaliknya, dalam PRU-15 nasib PKR dan Rafizi ditentukan oleh pengundi.
Transformasi politik perlu dilakukan dalam PKR. Pengukuhan semula kedudukan parti ini dalam politik nasional perlu menjadi agenda utama. Siapa pun menjadi Presiden dan pemimpin PKR pada masa depan, tanggungjawab utama adalah mengembalikan keyakinan dan sokongan pengundi. Tanpa sokongan pengundi, sama ada Rafizi atau Anwar yang menerajui PKR, ia tidak memberi sebarang makna.
Kini sokongan rakyat sudah berpecah kepada BN, PN dan PH serta Warisan. Ternyata rakyat banyak pilihan berbanding PRU-14. Tawaran politik yang menarik boleh menjadi penentu kepada sokongan pengundi. Kegagalan PH sebelum ini dan ketidakmampuan PN menangani isu dan masalah rakyat hingga mengundang keresahan boleh mempengaruhi undi.
Adakah pemimpin lain dalam PKR berani melawan Presiden yang ada hari ini? Atau, haruskah Rafizi menawarkan diri bagi mencabar Anwar di kedudukan nombor satu PKR jika berhasrat membawa perubahan dalam PKR? Jika ini berlaku, ia bukan membawa penyatuan, tetapi perpecahan berterusan yang belum pulih sepenuhnya ekoran peninggalan Azmin dan penyokongnya.
Persoalannya, adakah kemunculan semula Rafizi mampu membawa rahmat dan memperbaiki kedudukan PKR? Kebimbangannya adalah keputusan Rafizi itu boleh dilihat di pihak lain sebagai mengambil kesempatan di atas kemerosotan prestasi PKR itu untuk menempatkan dirinya di kedudukan penting dalam parti.
Sebenarnya situasi ini pernah berlaku dalam pemilihan UMNO selepas PRU-14 apabila ramai pemimpin tidak mempertahankan jawatan mereka. Ini membuka ruang kepada pemimpin lain mengambil alih kedudukan. Apabila UMNO kini sudah mula pulih, ada kumpulan mahu pemilihan parti diadakan segera. Sekumpulan lagi mahu Parlimen dibubarkan.
Diakui Rafizi seorang aktor politik penting dalam PKR. Kekosongan yang ditinggalkan Azmin bukan sebarangan pemimpin boleh mendudukinya kerana ia ada tanggungjawab besar kepada PKR. Walaupun Rafizi boleh menang jawatan Timbalan Presiden, tetapi tanggungjawab untuk membawa perubahan dan menarik sokongan pengundi bukan mudah. Ia perlu melakukan banyak perkara. Antara yang perlu difikirkan, apakah strategi politik PKR dalam PRU-15? Siapakah sekutu politiknya? Bolehkah PKR dan PH bekerjasama dengan BN?
Dalam politik, semua itu tidak mustahil. Matlamat politik adalah kuasa. PH ditubuh untuk kuasa. PN muncul disebabkan kuasa. BN pula terus berusaha untuk menguatkan semula kuasanya. Kemunculan semula Rafizi pun ada kaitan dengan kuasa. Dengan tekad membentuk masa depan politik Malaysia yang progresif dan berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang kecil, tetapi Rafizi perlu bekerja kuat dengan strategi yang ampuh ke arah memulihkan prestasi PKR.
Lagi pun dalam tempoh ini, PKR sebenarnya tidak mampu menunjukkan komitmen dan daya usaha membantu masyarakat khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sangat menyulitkan semua lapisan rakyat.
Rafizi pun tidak begitu menonjol dalam usaha membantu rakyat ketika PKP itu. Sepatutnya Rafizi, PKR dan pemimpin lain PH lebih progresif, aktif dan komited membantu rakyat. Tidak dinafikan memang ada usaha dilakukan ke arah itu. Tetapi, jika ia dilakukan dalam skala kecil-kecilan, ia tidak memberi impak besar kepada rakyat.
Jadi, kembalinya Rafizi ke pentas politik khususnya dalam PKR itu sendiri bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan mampu membawa impak besar. Ia sekadar pengumuman untuk menyatakan hasrat bersedia merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Bahkan berita itu pun kurang mendapat liputan. Tiada reaksi dan maklum balas yang serius pun daripada pesaing politiknya dari dalam dan luar PKR. Jika ini ukurannya, saya berpandangan kemunculan Rafizi ini adalah perkara biasa dalam politik.
Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan Global Political Analyst and Academic Consultant (GoPAC)