Mukadimah
Mutakhir ini semakin kerap berlaku fenomena banjir kilat dan banjir besar. Keadaan cuaca yang semakin tidak menentu terutama peningkatan kadar taburan hujan menjadi faktor utama. Lebih merunsingkan, keadaan itu juga mendorong kesan berantai lain, seperti tanah runtuh yang memusnahkan harta benda dan meragut nyawa.
Cakap soal bencana juga, kekerapan kejadian gempa bumi di Indonesia, yang dirasai sampai ke Malaysia turut mencetus kegusaran. Apakah jaminan kita benar-benar selamat daripada kejadian sebegitu?
Bagi mendapatkan persoalan berhubung isu masalah alam sekitar membabitkan kerugian berbilion ringgit ini, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ menemu bual beberapa pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ia disertai Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, PROF. FREDOLIN TANGANG, Pakar Geologi Struktur dan Tektonik, DR. NORASIAH SULAIMAN serta Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, DR. NOR SHAHIDAH MOHD. NAZER.
MINGGUAN MALAYSIA: Hujan di Malaysia tak menentu sekarang, sampai kerap berlaku banjir kilat malah banjir besar. Kenapa?
FREDOLIN: Rekod menunjukkan tren peningkatan bilangan banjir di negara ini sejak beberapa dekad lalu seiring dengan peningkatan peristiwa cuaca ekstrem dan hujan lebat yang bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi di banyak kawasan seluruh dunia. Keadaan di Malaysia terutama di Semenanjung sejak Disember 2021 sehingga Mac 2022, kita berdepan dengan keragaman iklim yang amat ketara.
Ada beberapa perkara yang menyumbang kepada fenomena ini dan keragaman yang kita alami. Pertama adalah keberadaan fenomena La Nina yang berkategori sederhana sejak tahun lepas hingga kini, mengubah corak suhu permukaan air di laut dan lautan sekitar negara dan rantau Asia Tenggara.
Adakah La Nina saja faktor banjir semakin menjadi-jadi?
Pemanasan global juga memainkan peranan. Peningkatan suhu dunia akan menyebabkan peningkatan kelembapan di atmosfera yang akhirnya turun menjadi hujan ekstrem. Ini bermakna, akibat pemanasan global, ia menambahkan impak keragaman iklim seperti La Nina.
Contohnya?
Jika beberapa dekad sebelum ini, mungkin La Nina tidak membawa impak seteruk ini, tapi kini keadaan menjadi lebih teruk. Bukan saja di Malaysia, malah juga dialami di bahagian barat Australia yang juga mengalami banjir besar baru-baru ini akibat La Nina.
Apa jangkaan pasukan penyelidik di UKM pada masa akan datang? Adakah keadaan akan kembali pulih atau sebaliknya?
Dalam beberapa dekad akan datang, saya menjangkakan trend peningkatan keadaan cuaca ekstrem ini akan berterusan, bukan hanya hujan lebat tetapi keadaan kering dan kemarau disebabkan perubahan iklim. Peningkatan aras laut menjadikan keadaan lebih rumit bagi Malaysia sebagai negara maritim dengan garis pantai dan kawasan pantai yang luas. Risiko banjir meningkat bukan sahaja disebabkan peningkatan hujan lebat tetapi juga aras laut yang semakin tinggi.
MALAYSIA TAK BERSEDIA
Bersediakah Malaysia menghadapi keadaan banjir yang semakin kerap?
Saya berpendapat Malaysia belum dapat bersedia sepenuhnya menghadapi bencana banjir. Saban tahun kita mengalami banjir yang teruk, kerugian harta benda yang mencecah berbilion ringgit dan kehilangan banyak nyawa. Ini bermakna kita masih belum cukup bersedia terutama dari segi infrastruktur tambatan banjir yang boleh meminimumkan banjir mahupun dalam memastikan infra sedia ada berfungsi dengan baik.
Apa buktinya?
Banyak laporan yang menunjukkan banjir yang dialami terutama di kawasan perbandaran, diburukkan oleh keadaan saliran air yang tersumbat oleh sampah sarap yang tidak diselenggara.
Apa mekanisme memperkasa langkah hadapi banjir teruk? Berapa kos? Siapa yang perlu dilibat urus?
Sebagai seorang pakar klimatologi, soalan ini di luar kepakaran saya, pendapat saya mungkin bukan mewakili pendapat pakar yang berautoriti. Namun, saya berpendapat beberapa pendekatan boleh diguna untuk mengurangkan impak banjir dan isu pengurusan banjir.
Pertama pembinaan infrastruktur tambatan banjir pastinya akan dapat mengurangkan impak banjir terutama di kawasan perbandaran. Di Kuala Lumpur kemungkinan ada keperluan tinggi untuk membina kolam-kolam takungan air, saliran yang lebih besar dan juga kemudahan canggih seperti smart tunnel. Bagaimanapun, kemudahan seperti ini memerlukan dana yang tinggi, seperti dinyatakan Menteri KASA sebelum ini.
Kedua, pembangunan, terutama di kawasan perbandaran mestilah mengambil kira aspek perubahan iklim dan tidak meningkatkan pendedahan kepada bencana banjir. Ketiga, aspek peramalan hujan lebat juga perlu diperbaiki. Ini mungkin memerlukan penyelidikan lanjut dan membina sistem ramalan yang lebih berkeupayaan.
Apa peranan di pihak rakyat pula?
Orang ramai perlu memainkan peranan, bukan sahaja memberi perhatian kepada ramalan dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai hujan lebat tetapi juga memastikan pembuangan sampah sarap dilakukan secara teratur.
Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan saliran dan longkang tidak terhalang, tidak tersumbat dan bebas sampah sarap. Mereka juga perlu memberi perhatian kepada musim-musim dan keadaan yang mana curahan hujan dijangka meningkat. Fenomena La Nina misalnya telah pun diramalkan dan berlaku dari tahun lepas. Berapa banyak pihak berkuasa tempatan yang memberi perhatian kepada fenomena ini dan bersedia supaya longkang dan saliran air di selenggara dengan lebih awal?
KEADILAN ALAM SEKITAR
Kumpulan marhaen sering jadi mangsa kesan perubahan alam sekitar, misalnya banjir. Sedangkan kapitalis buat untung, namun rumah yang hancur akibat pembalakan haram ialah rumah rakyat jelata di kampung dan desa. Komen?
Saya bersetuju. Anologinya sama. Peningkatan gas rumah hijau di atmosfera kebanyakannya disumbang oleh negara-negara maju dan besar, namun negara-negara kecil, miskin dan membangun pula yang lebih terkesan. Malah kesan lebih buruk, negara kepulauan kecil mungkin akan lenyap dan tenggelam.
Analoginya sama jika kita lihat di negara kita sendiri. Rakyat yang menerima impak. Pihak pemerintah harus menangani isu perubahan iklim dan mengurang bencana secara serius dengan menggunakan pendekatan dan data saintifik. Memastikan infrastruktur banjir dapat dibina dan menampung keadaan hujan yang semakin meningkat. Pihak berkuasa tempatan juga harus memainkan peranan mereka memastikan kita bersiap siaga.
Siap siaga untuk apa? Apakah bakal berlaku bencana membimbangkan?
Yang membimbangkan adalah dunia tidak dapat mengekang pemanasan global di bawah 1.5 celcius dan dua celcius seperti yang disasarkan di bawah Perjanjian Paris. Kita tidak boleh mengharap dunia semata-mata.
ISU GEMPA BUMI:
Sekarang, semakin kerap berlaku kejadian gempa bumi di negara jiran, yang mana kesannya semakin dirasai Malaysia. Kenapa?
DR. NORASIAH: Lapisan luar bumi terdiri daripada kepingan-kepingan tektonik yang sentiasa bergerak secara perlahan. Gempa lazimnya berlaku di sempadan antara kepingan tektonik ini akibat pelepasan tenaga yang terkumpul kerana patahan sesar. Gempa bumi mencetuskan gegaran yang boleh dirasai, yang mana impak gegaran bergantung kepada magnitud gempa dan jarak dari pusat gempa.
Gempa bumi bermagnitud kuat boleh mencetuskan impak gegaran yang boleh dirasai sehingga 1,000 kilometer dari pusat gempa. Malaysia secara amnya terletak di atas platform yang stabil di luar lingkaran tektonik aktif di Lautan Pasifik atau dikenali sebagai “Ring of Fire”. Namun, kita berada berhampiran dengan sempadan keping aktif iaitu antara keping India-Australia dan keping Filipina dengan keping Eurasia yang sinonim dengan gempa bumi bermagnitud kuat.
Semenanjung Malaysia contohnya, berada kira-kira 200 ke 300 kilometer dari sesar aktif Sumatera dan 500 ke 600 kilometer di belakang Parit Sunda iaitu sebahagian daripada zon Subduksi Sunda-Java-Sumatra yang merupakan salah satu sempadan keping yang paling aktif di seluruh dunia dan sinonim dengan gempa bumi berskala kuat.
MALAYSIA ALAMI LEBIH
60 GEMPA BUMI
Berapa kerap kejadian gempa bumi di rantau ini sekarang, berbanding 10 tahun dulu? Apakah ramalan dan analisis pada masa akan datang?
Berdasarkan data taburan gempa bumi di semenanjung Malaysia dari MetMalaysia dan IRIS, lebih 60 gempa bumi direkodkan di semenanjung Malaysia sejak 1970. Namun, kebanyakan gempa bumi yang direkodkan berlaku selepas 2006, berikutan gempa bumi besar pada 2004 di Sumatera.
Ramai penyelidik percaya bahawa aktiviti seismik di Sumatera, seperti Gempa Mw 9.2 Sumatera-Andaman (26 Disember 2004), Gempa Mw 8.6 Nias (28 Mac 2005), Gempa Mw 8.4 Bengkulu (12 September 2007) dan Gempa Mw 7.6 Sumatera Selatan (30 September 2009) telah mengaktifkan semula sesar utama di Semenanjung Malaysia seperti Sesar Bukit Tinggi, Sesar Lepar dan zon Sesar Seremban.
Apa kesan akibat fenomena itu?
Ia mengakibatkan beberapa siri gempa bumi bermagnitud lemah di Bukit Tinggi, Jerantut, Manjung dan Kuala Pilah yang lazimnya tidak menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan teruk.
Ada kaedah meramalkan bila dan berapa kekuatan gempa yang mungkin berlaku?
Setakat ini tiada kaedah yang dapat meramal dengan tepat bila dan berapa kekuatan magnitud gempa bumi yang akan berlaku. Begitupun, maklumat sains yang terkumpul sejak ratusan tahun dapat memberikan tafsiran dan unjuran kadar berulang gempa dan magnitudnya. Namun, unjuran aktiviti gempa bumi pada masa hadapan di Malaysia masih memerlukan data gempa yang lepas, selang berulang gempa, kadar gelinciran, sifat cangaan sesar untuk mengunjur dan menafsir aktiviti dengan lebih tepat.
Maksudnya, perlukah kita berasa risau?
Begitupun, ancaman pengaktifan semula sesar utama di Semenanjung Malaysia tidak boleh dipandang terlalu ringan. Kajian terperinci dan pemantauan terhadap aktiviti gempa bumi terutamanya sesar aktif perlu dipergiatkan. Ini bagi memahami sifat cangaan sesar di rantau ini. Perancangan pembangunan masa hadapan juga sebaiknya mengambil kira kejadian bencana gempa dengan langkah-langkah pengurangan risiko bencana.
ISU TANAH RUNTUH:
Dengan keadaan hujan semakin tak menentu, apakah akan berlaku lebih banyak kejadian tanah runtuh?
DR. NOR SHAHIDAH:Tidak dinafikan, tanah runtuh mempunyai kesan lansung daripada kehadiran hujan kerana air merupakan antara elemen utama yang menyumbang kepada kelemahan struktur tanah. Ini dikaitkan dengan kehilangan kekuatan tanah apabila air masuk ke dalam liang tanah dan menyebabkan tanah tepu air. Bagi cerun tanah mahupun batuan, kekuatan tanah ini, yang disebut kekuatan ricih, ditandai oleh dua parameter utama iaitu sifat kohesif dan sudut geseran.
Antara keduanya, kohesif ini lebih sensitif terhadap kehadiran air di mana ia merupakan suatu ikatan elektrokimia di dalam tanah lempung (tanah liat) yang bertindak memegang butiran-butiran tanah. Jadi apabila hujan turun, air hujan berfungsi mengurangkan ikatan kohesif antara tanah menyebabkan tanah mula longgar lalu merekah dan akhirnya runtuh.
Apakah mungkin kita akan menyaksikan lebih banyak kejadian tanah runtuh akibat faktor yang dijelaskan tadi?
Untuk menafsirkan kestabilan cerun dengan lebih tepat, banyak lagi elemen lain perlu diambil kira sebelum potensi runtuhan dapat dijangka. Namun demikian, di dalam keadaan hujan yang semakin tidak menentu, adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan setiap cerun mempunyai potensi untuk gagal dan semua pihak perlu bersedia untuk menghadapi keadaan yang sukar diramal ini.
Bagaimana nasib penghuni rumah di lereng bukit dalam situasi perubahan iklim yang semakin mengganas?
Sebenarnya, tanpa perubahan iklim yang ekstrem sekalipun, perumahan di lereng bukit atau di puncak bukit amat terdedah kepada risiko kejadian gelinciran tanah. Perlu diingat, kejadian tanah runtuh tidak boleh dihentikan sama sekali, namun yang boleh dibuat adalah mengurangkan impaknya kepada masyarakat. Jadi, di dalam keadaan perubahan iklim yang makin mengganas ini, risikonya pasti meningkat berkali-kali ganda bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko. Kejadian yang sama berlaku sekarang iaitu tanah runtuh besar yang mengorbankan nyawa, ini boleh berlaku di tempat lain dan ia tidak akan berhenti. – Mingguan Malaysia