Masyarakat antarabangsa telah berpecah dalam krisis Ukraine. Dua kuasa besar yang berbalah Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mula mewujudkan satelit pengaruh yang menyaksikan pertembungan blok Timur dan Barat. Krisis Ukraine adalah kegagalan politik antarabangsa Eropah, tetapi AS telah mengetuai blok Barat dengan mempengaruhi persepsi masyarakat untuk menyokong Ukraine. Melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), AS berjaya mendapatkan sokongan ahli mengutuk tindakan Rusia menceroboh Ukraine. Rusia pula mendapat dukungan dari sekutunya khususnya China.
Dalam kalangan negara ASEAN pula, pendirian negara anggota jelas menunjukkan perpecahan. Myanmar menyokong Rusia manakala Singapura pula menyertai blok Barat mengutuk tindakan tersebut. Majoriti negara anggota seperti Malaysia dan Indonesia, menyatakan pendirian berkecuali.
Malaysia, walaupun berpendirian berkecuali, telah menyokong undi mengutuk pencerobohan Rusia dalam sidang khas PBB baru-baru ini. Seharusnya Kuala Lumpur mengekalkan tidak berpihak agar tidak terjerumus dalam kancah perbalahan politik kuasa-kuasa besar.
Perbalahan politik dan perang seperti ini juga akan memberi impak besar kepada krisis kemanusiaan seperti mana dilalui berpuluh tahun lamanya oleh rakyat Palestin. Laporan media menunjukkan kawasan awam malah hospital menjadi sasaran pengeboman.
Kyiv menuduh Moscow melakukan jenayah peperangan, namun Moscow mempertahankan tindakannya atas alasan kawasan itu dijadikan tempat perlindungan pasukan keselamatan Ukraine. Rakyat Ukraine pula mula menjadi pelarian ke negara jiran seperti Poland. Gencatan senjata sementara yang sedang dikuatkuasa di lima bandar utama Ukraine memberi peluang kepada rakyat negara itu dan warga asing untuk melarikan diri.
Krisis Ukraine adalah rentetan daripada legasi perseteruan era Perang Dingin antara AS dan Rusia, yang dahulu dikenali sebagai Kesatuan Soviet. Keruntuhan Kesatuan Soviet adalah tamparan bukan sahaja kepada Blok Sosialis tetapi juga kepada Rusia iaitu paksi kepada kesatuan itu. Wilayah Soviet seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Ukraine, Balarus dan Maldova, menjadi sebuah negara merdeka. Tetapi mereka masih menjadi wilayah pengaruh Rusia. Walaupun beberapa negara sekutu Soviet sebelum ini seperti Poland, Romania dan Hungary semakin berkiblat kepada blok Barat dengan menyertai Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Rusia memastikan negara-negara bekas wilayah Kesatuan Soviet tidak jatuh ke tangan Barat yang diketuai oleh AS.
Oleh itu apabila Ukraine menyatakan hasratnya menyertai NATO, Rusia mula khuatir. Negara bekas wilayah ini merupakan zon penampan kepada strategi keselamatan dan pertahanan Rusia. Moscow tidak mampu membiarkan negara zon penampannya menjadi alat kepada blok Barat. Moscow malahan pada 1994 menekan Ukraine melalui satu perjanjian untuk menyerahkan senjata-senjata nuklear Soviet kepada Rusia. Melalui perjanjian ini, Moscow akan menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, walaupun demikian, melanggar perjanjian yang dimeterai lebih 28 lapan tahun lalu. Pelanggaran perjanjian ini harus difahami dalam konteks dilema keselamatan Rusia yang melihat AS semakin galak menceroboh ‘belakang rumahnya’.
Presiden Putin menuduh beberapa kali cubaan Washington dan Eropah Barat untuk mengembangkan sayap pengaruh ekonomi dan politik mereka ke atas negara bekas jajahan Soviet.Rusia menganggap Ukraine bukan sahaja mempunyai kedudukan strategik dalam sistem keselamatan dan pertahanannya malahan merupakan wilayah yang penting dalam melindungi identiti Rusianya.
Beberapa wilayah dalam Ukraine yang mempunyai penduduk majoriti etnik Rusia di Donestk dan Luhansk adalah wilayah bergolak yang mahu berpisah dari Ukraine. Wilayah Crimea pula secara unilateral mengumumkan kemerdekaannya dengan bantuan Moscow. Donestk adalah tempat tragedi penembakan jatuh kapal terbang Penerbangan Malaysia MH17, lapan tahun lalu.
Sekatan ekonomi dikenakan AS dan sekutunya setakat ini masih belum berupaya memaksa tentera Rusia berundur dari Ukraine. Apa yang terjadi, Ukraine menawarkan beberapa konsesi kepada Rusia. Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, bersedia menarik balik permohonan negara itu menyertai NATO. Setakat ini Rusia masih tidak termakan umpan tersebut.
Rusia mempunyai kelebihan strategik politik dan ekonomi. Secara politiknya, Rusia mendapatkan dukungan kuat dari China yang tidak sehaluan dengan blok Barat yang diketuai AS. Dukungan Beijing adalah penting untuk Moscow. Sekatan ekonomi menyukarkan perdagangan Rusia dengan dunia luar. China boleh digunakan sebagai negara transit untuk pengeksportan barangan Rusia. Kuasa Barat tidak berani mengenakan sekatan perdagangan kepada China kerana mereka amat bergantung kepada China.
Krisis Ukraine telah menyebabkan harga petroleum dunia melonjak naik. Bagi Rusia ini adalah kelebihan kepadanya. Rusia antara negara pengeluar petroleum dan gas terbesar dunia. Rusia juga pembekal gas terbesar ke Eropah barat. Gas ini disalurkan melalui rangkaian paip yang merentang panjang melalui Eropah Timur. Sekatan ekonomi terhadap Rusia sebenarnya memberi kesan krisis tenaga kepada Eropah Barat kerana pergantungan terhadap gas yang disalurkan.
Washington tahu mereka tidak akan berjaya membawa sebarang resolusi melalui Majlis Keselamatan PBB kerana kuasa veto dimiliki Moscow. Sekatan ekonomi sekarang ini adalah tindakan unilateral Washington dan sekutu Baratnya. Walaupun sekatan ini tidak mempunyai kesan penguatkuasaan antarabangsa, Washington menggunakan tekanan politik kepada masyarakat antarabangsa untuk menyokong sekatan itu.
Apa yang boleh diharapkan agar krisis ini diselesaikan secara diplomasi. Perbalahan politik kuasa besar ini boleh mengheret masyarakat antarabangsa kepada konflik yang lebih besar.
Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor dan Felo Kanan di Institut Hal-Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.